SETAKAT semalam Datuk Seri Najib Razak belum mengambil sebarang tindakan ke atas akhbar The Wall Street Journal (WSJ) yang begitu celopar membuat tuduhan terhadap Perdana Menteri.

Seperti yang diketahui, akhbar berkenaan menyiarkan laporan yang mendakwa sejumlah hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Ini satu tuduhan berat melibatkan sejumlah wang yang begitu besar. Semua orang mahu kerajaan Malaysia, khasnya PM, mengheret akhbar tersebut ke muka pengadilan.

Najib pernah menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ, untuk membersihkan nama beliau. Tetapi sampai sekarang belum ada tindakan, maka akhbar berkenaan nampak lebih berani.

*ANTARA orang yang sangat menyokong tindakan menyaman WSJ ialah Tan Sri Noh Omar, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Pembangunan Wilayah.

Beliau awal-awal menegaskan, seperti yang dilaporkan media: “Umno Selangor sokong Perdana Menteri bertindak tegas untuk menyaman WSJ dan Sarawak Report.

“Kita minta Perdana Menteri mesti ambil tindakan demi mencari keadilan untuk beliau. Cara nak buktikan (tuduhan) ialah ke mahkamah,” tambah Noh.

Menteri sokong, rakyat pun setuju dan menunggu tindakan tegas terhadap akhbar yang celopar itu. Terpulanglah kepada Najib bila hendak bertindak ke atas WSJ. Elok cepat diambil tindakan, supaya kes ini selesai.

*BAGI sesetengah pihak kemelut 1MDB yang bermula setahun lalu telah selesai. Mereka kata laporan dan fakta palsu yang disebarkan oleh akhbar asing, terutama WSJ dan Sarawak Report, tidak disertakan dengan bukti-bukti kukuh.

Tuduhan palsu itu sengaja dibuat semata-mata untuk menjatuhkan PM dalam sebuah negara berdaulat. Bagi mereka kerajaan mahu pun PM tidak perlu melayan fitnah dan kepalsuan tersebut.

Tetapi bagi sesetengah pihak isu hangat ini yang dikatakan melibatkan wang begitu besar, belum selesai dan akan terus dihangatkan oleh media luar.

Malah, dengan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, yang menyebut beberapa nama, termasuk Malaysian Official 1 (MO1), ramai bersetuju isu ini belum berakhir, sebaliknya baru hendak bermula.

*TINDAKAN saman oleh DOJ menimbulkan satu teka-teki dalam kalangan orang ramai.

Mereka ingin tahu siapakah gerangan MO1 yang disebut sebanyak 36 kali dalam dokumen mahkamah DOJ?

Namun bagi Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan, tidak ada apa yang misteri mengenai MO1. Katanya, setiap orang yang membaca dokumen-dokumen mahkamah atau mengetahui isu berkenaan akan tahu siapa orang yang sedang dirujuk.

“Tidak ada misteri tentang MO1, hanya orang bodoh tidak tahu siapa orang itu,” katanya kepada media.

“Soalan yang paling penting ialah mengapa mereka meletakkan MO1 (dalam kertas mahkamah dan bukannya terus menamakannya)? Mengapa DOJ tidak menamakan dia tetapi nama MO1...?”

Rahman menambah, seperti yang disiarkan media: “Sebab mengapa orang itu tidak dinamakan sebagai Najib adalah kerana beliau (Najib) tidak terlibat atau sebahagian daripada siasatan.”

Jawapan Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, semakin menambahkan teka-teki dan misteri...

*SELURUH dunia menjadi kelam-kelibut. Ada yang melanggar tiang lampu ketika berjalan, ada yang merempuh pembahagi jalan ketika memandu, ada yang masuk ke dalam tasik. Semuanya gara-gara Pokemon Go @ PG.

Malaysia pun mula diserang permainan di internet yang amat mengasyikkan. PG menjadi satu kegilaan baharu, terutama dalam kalangan remaja. Lupa makan, lupa minum dan lupa segalanya sebab mengejar PG.

Ulama berbelah pendapat. Ada yang mengatakan PG haram, ada yang kata tidak. Apa yang jelas PG mula menguasai fizikal dan mental orang ramai. Oleh sebab khayal, ramai mula lupa tentang GST, 1MDB, DOJ, FBI, MO1.

Sepatah kata Datuk Nadzim Johan, aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), sebab berkhayal dengan PG, isu-isu global yang lebih besar dan penting, termasuk isu Palestin, tidak ada lagi dari peta Google.

*AKHIR kalam, sama seperti 1MDB, kemelut politik di Terengganu pun belum beres, malah ada tanda-tanda akan menjadi lebih panas dan meruncing. Semuanya gara-gara dua Ahmad.

Yang satu Ahmad Razif Abdul Rahman selaku Menteri Besar, seorang lagi Datuk Seri Ahmad Said selaku bekas Menteri Besar.

Dua-dua sama nama, sama-sama kuat, sama-sama tidak mahu mengalah. Rakyat @ pengundi mula bosan, dan bertanya: sampai bila dua Ahmad hendak berkelahi?