*PARLIMEN membenarkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuka semula siasatan 1MDB yang failnya telah ditutup pentadbiran dulu.


Maka BNM akan meneruskan untuk menyelaraskan dengan pelbagai agensi di bawah pasukan petugas khas yang dibentuk bagi menyiasat syarikat berkenaan.


Barulah terbuka bahawa bank pusat itu pernah mengenakan denda sebanyak RM15 juta terhadap 1MDB, tetapi kata Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus pada waktu itu kerajaan tidak membenarkan jumlah denda itu diumumkan.


Ertinya BNM telah menjalankan tanggungjawab, dan telah pun mengenakan tindakan terhadap syarikat berkenaan. Cuma, ada pihak yang degil dan cuba menutup isu kontroversi itu. Sekarang fail telah dibuka semula, maka dedahkan apa yang selama ini ditutup. Bangkai gajah mana boleh ditutup!

*SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengharamkan beberapa perkataan yang biasanya digunakan untuk mengutuk musuh politik di alam maya.


Dalam panduan ‘Bahasa Terlarang’ yang baru diterbitkan suruhanjaya tersebut ingin menyekat perkataan-perkataan kesat yang digunakan di alam maya.


Ini termasuk perkataan ‘Maha Firaun’ yang digunakan untuk mengkritik Perdana Menteri Tun Dr Mahathit Mohamad, ‘DAPig’ untuk mengutuk DAP, ‘Umngok’ untuk menghina Umno dan ‘Pascai’ untuk menghina Pas.


Tersenarai juga sebagai perkataan terlarang ialah ‘Fuckatan’ yang merujuk kepada Pakatan.


Setuju benarlah saya sekiranya larangan tersebut dikuatkuasakan, mudah-mudahan panglima dan pahlawan siber menjadi lebih sopan.


Cuma, soalannya ialah: apakah SKMM berupaya untuk menyekat, dan menghukum panglima, pahlawan, pendekar, dan beribu-ribu wira tidak berwajah itu?



*KALAU mengikut undang-undang, selepas ini wira dan panglima tidak berwajah yang terus menggunakan perkataan terlarang boleh diambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.


Kata Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM Zulkarnain Mohd Yasin, akta itu perlu dirujuk bersama:
Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan 
Garis Panduan Penapisan Filem, Kementerian Dalam Negeri 2010.


Selama ini pun kita ada akta, dan macam-macam garis panduan. Tetapi semuanya macam tidak berkesan. Contoh: ada beribu-ribu fitnah dan hasutan disebarkan di maya, yang diambil tindakan hanya seorang dua.
Kita hanya cepat – dalam masa 24 jam! – bertindak sekiranya pihak yang kena fitnah itu orang tertentu, termasuk pihak istana.


Saya ingin lihat siapa agaknya wira siber pertama yang akan ditangkap dan diambil tindakan kerana menggunakan perkataan ‘Umngok’.



*PERIHAL perkataan terlarang kita jangan asyik menuding jari dan marah-marah pada wira siber. Sebab di alam nyata pun orang kita suka berbahasa kesat.


Penutur perkataan-perkataan lucah, tidak sopan, biadab bukan sahaja orang tidak bersekolah, malah bahasa seperti itu digunakan juga oleh mereka yang terpelajar.


Guru, penjawat awam, malah ustaz pun ada ketikanya sama ada sengaja atau tidak, menyebut istilah-istilah yang tidak sepatutnya.


Hatta para wakil rakyat pun terikut-ikut menggunakan perkataan kesat dan lucah – ‘kepala bapak’, ‘p...mak’, dan sebagainya – ketika berdebat di Dewan yang mulia.


Seperti yang kita tahu ada beberapa Ahli Yang Berhormat terkenal bukan kerana idea yang bernas ketika berdebat, tetapi kerana berani – dan megah – menyebut kata-kata tidak senonoh.



*BERITA baik: Kerajaan membatalkan semua saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang belum berbayar.
Berita tidak baik: Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata, operasi kamera dan saman AES akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 1 September depan.


Menteri memberi amaran: “Mulai 1 September ia akan dikuatkuasakan dengan tegas dan tiada lagi diskaun.” Ertinya, dulu dikendalikan oleh syarikat konsesi, ramai pesalah trafik yang terlepas. Lepas ini kerajaan sendiri kendalikan, tidak ada main-main lagi!



*AKHIR kalam, ada pihak yang menulis pada media, mengomel di alam siber, dan bercakap di pentas, marah-marah kepada kerajaan PH kerana gagal menunaikan janji manifesto dalam masa 100 hari memerintah.


Ada yang bersemangat mengungkit dalam tempoh bulan madu itu ekonomi tidak dapat dipulihkan, harga tidak dapat diturunkan, orang Melayu masih di takuk lama. Hairan, ada orang yang buta mata dan buta hati, dan berfikiran seperti kartun. PH baru 100 hari memerintah mustahil untuk merobah semuanya dalam sekelip mata.


Ada parti yang sudah lebih 60 tahun memerintah pun tidak dapat mengubah nasib Melayu, malah jual tanah Melayu, hampir gadai negara...



TOK PERAK