*APA yang keruh nampaknya sudah menjadi semakin jernih. Kebimbangan dan kesedihan bertukar menjadi kelegaan dan kegembiraan. Setakat ini semuanya kelihatan beres.

Seperti yang dilaporkan media, sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini dihalang daripada meninggalkan Korea Utara, selamat tiba di tanah air, Khamis lalu, semua dalam keadaan sihat sejahtera.

Semua petugas kedutaan Malaysia di Pyongyang dan ahli keluarga masing-masing, menaiki pesawat khas, dan tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.03 pagi dan disambut ahli keluarga masing-masing.

Maka berakhirlah drama separuh suspens mengenai rakyat kita yang dijadikan tebusan di kedutaan kita di luar negara itu.

*ORANG berbudi kita berbahasa.... Rakyat kita di Korea Utara dibebaskan, maka sebagai balasan warga negara tersebut yang berada di negara kini juga kini dibenarkan untuk pulang ke negara asal mereka.

Tidak sahaja pegawai, kakitangan, dan keluarga di kedutaan di Kuala Lumpur yang ditahan kira-kira sebulan, semua warga Korea Utara di Malaysia – ada lebih 1,000 – bebas untuk pulang ke Pyongyang pada bila-bila masa.

Sebahagian besar orang Korea Utara yang berada di negara ini bekerja dalam pelbagai sektor, kebanyakannya di Sabah. Mereka bebas mencari rezeki dengan aman, bergerak ke merata tempat dengan selesa, dapat bercampur gaul dengan rakyat tempatan, tanpa sekatan. Malah jika rajin boleh mengumpul kekayaan pun. Tetapi, sekiranya mereka hendak pulang juga ke Korea Utara, silakan...

*KRISIS dan sedikit ketegangan Kuala Lumpur – Pyongyang tercetus berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin negara itu Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.

Berikutan pembunuhan misteri itu, pihak KL dan Pyongyang mengeluarkan kenyataan dan bertindak di luar semangat setia kawan, almaklumlah sama-sama marah, sama-sama emosi. Bila sama-sama emosi, hilanglah diplomasi.

Tetapi akhirnya yang tegang dapat dikendurkan. Dengan saluran diplomasi juga sembilan rakyat kita berjaya kembali ke bumi tercinta.

Maka, seperti yang diumumkan PM Datuk Seri Najib Razak “krisis diplomatik Putrajaya - Pyongyang berakhir.” Tidak sahaja rakyat mereka dibenarkan pulang, mayat Kim Jong-nam juga akan dikembalikan ke negara asalnya.

*SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, memandu sendiri kereta api dari Johor Baharu ke Kuala Lumpur, dan dijangka menemui pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyerahkan nama orang yang dikaitkan dengan cubaan merasuah baginda.

Tetapi individu berkenaan sendiri menyerah diri di ibu pejabat SPRM di Putrajaya. Individu itu kini sedang disiasat berhubung dakwaan cubaan merasuah RM2 juta kepada baginda untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran ‘Tan Sri’ daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Siasatan sedang dijalankan,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi beberapa jam selepas beliau mengeluarkan amaran serah diri terhadap lelaki berumur 54 tahun itu.

Syabas kepada Sultan Johor yang ikhlas tampil ke hadapan untuk membanteras ‘si kaki busuk’ yang cuba merasuah pihak istana untuk mendapatkan gelaran kebesaran.

Semoga dengan tindakan Sultan Johor itu selepas ini ada lagi pihak istana yang berani memberi tahu SPRM mengenai usaha memujuk dan membeli darjah-darjah kebesaran dari negeri-negeri lain.

*AKHIR KALAM ada yang jual gelaran dan darjah kebesaran, tetapi ada juga yang menjual doa, menerusi ‘Valet Doa’. Bayar sekian-sekian jumlah wang, ada pihak yang akan mendoakan untuk sebarang hajat anda.

Tetapi kegiatan menjual khidmat  doa ini telah disekat. Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) telah memanggil penganjur valet doa bagi memberikan nasihat kepada pihak terbabit berhubung perkhidmatan tersebut.

Seperti yang dilaporkan media, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, tindakan penganjur perkhidmatan valet doa yang menyediakan pelbagai tawaran sebelum ini dapat menimbulkan impak negatif kepada kesucian Islam dan mengundang salah faham serta merosakkan akidah.

“Oleh kerana alamat penganjur itu adalah di Selangor, maka Jais dan JMNS telah memanggil penganjur terlibat untuk memberi nasihat agar mereka menghentikan perkhidmatan itu,” katanya bagi menjawab pertanyaan di Parlimen.

Sebelum ini, isu valet doa mula menjadi semakin panas apabila penganjur menawarkan pihak tertentu di media sosial pakej berdoa di Tanah Suci dengan harga sehingga RM2,500.

Agaknya bagi sesetengah orang berduit, hendak berdoa secara sendiri-sendiri pun malas, lebih baik upah sahaja orang untuk berdoa. Padahal doa sendiri-sendiri itu lebih baik. Kita bercakap terus dengan ALLAH.