*TABIK saya pada Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang tegas mempertahankan pemakaian tudung oleh pekerja wanita Islam dalam sebarang kerjaya.

Sebelum ini Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu membidas – dan marah-marah – terhadap tindakan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) melarang wanita bertudung bertugas di frontline hotel. Sampai sekarang MAH tidak terkata apa-apa.

Terkini Nazri mencadangkan bahawa pramugari beragama Islam yang berkhidmat dengan penerbangan nasional – MAS –harus dibenarkan memakai tudung.

Saya percaya ramai yang menyokong cadangan berkenaan, dan ingin melihat pramugari kita menampilkan wajah dan perkhidmatan bernilai Islam.

*TETAPI Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) nampaknya belum bersedia dengan cadangan menteri berkenaan.

Antara yang dipersoalkan oleh kesatuan berkenaan ialah: “Bagaimana dengan AirAsia X atau Malindo Air, apakah syarikat penerbangan itu akan mengikutinya? Apa yang berlaku jika tidak?”

Ada yang bertanya balik pada Nufam: Kenapa MAS perlu mengikut AirAsia X, atau Malindo Air, atau syarikat-syarikat penerbangan lain?

Apa salahnya jika MAS membentuk identiti sendiri? Apakah seperti MAH, Nufam pun ada SOP international yang mesti dipatuhi oleh semua syarikat penerbangan?

*SEPERTI tahun-tahun sebelumnya, keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini pun diceriakan dengan penonjolan murid-murid yang mendapat banyak A.

Baik sekolah bandar mahu pun sekolah kampung, murid yang mendapat semua A digahkan macam selebriti. Guru besar megah, guru darjah megah, kakitangan sekolah pun megah.

Paling megah tentulah ibu bapa – lebih-lebih lagi ibu! – yang menguar-uarkan anak dapat semua A pada kawan-kawan di pasar, di surau, di stesen LRT, hatta di tandas awam.

Memang, dalam hal-hal macam ini emak yang selalu terlebih!

*MAKA setuju benar saya dengan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mahu pihak sekolah meraikan semua  murid UPSR, bukan hanya tertumpu yang dapat semua A.

Jika hanya yang dapat semua A sahaja diraikan, tentu mereka yang tidak dapat A kecewa. Mungkin yang dapat semua E lagi kecewa sehingga sanggup bertindak negatif.

Lagi pun apa yang hendak dimegahkan sangat semua A dalam UPSR. Perjalanan mereka masih panjang. Lainlah kalau dapat semua A pada peringkat universiti.

*MAAF cakap, sesetengah emak-emak kita, jangankan di peringkat UPSR, anak-anak kecil di peringkat tadika pun hendak dimegahkan dan dihebohkan dalam media sosial.

Sebab itu sekarang sudah menjadi trend budak tadika pun ada majlis konvokesyen. Pakai jubah, pakai topi empat segi, dapat skrol ‘ijazah’.

Baru belajar A,B,C, baru tahu eja ‘ayam’, baru kenal buah epal, baru tahu lagu ‘Ba Ba Black Sheep’, sudah sibuk hendak konvo. Sesetengahnya buat di hotel besar.

Sesetengah orang kita bermegah tidak kena pada tempatnya!

*SEPERTI  yang diketahui seluruh dunia, Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe akhirnya meletakkan jawatan selepas 37 tahun memerintah.

Pemimpin berusia 93 tahun yang selama ini paling berkuasa itu, tiba-tiba terkedu tidak berdaya apabila  menghadapi pelbagai tekanan termasuk rampasan kuasa oleh tentera dan undi tidak percaya di parlimen.

Biasalah apabila sudah terlalu lama berkuasa, banyak yang tidak betul dilakukan, dan sentiasa diperhatikan rakyat. Tindakan paling menyakitkan hati umum adalah apabila Mugabe hendak menjadikan isterinya Grace penggantinya sebagai Presiden.

Terbukti kini, besar dan hebat mana pun kuasa seorang Presiden, kuasa rakyat lebih hebat.

*AKHIR kalam, mengenai durian di Pulau Pinang. Seperti kuasa manusia, kuasa buah pun turun naik juga. Peringkat kedua musim durian menunjukkan tanda-tanda buah berduri itu telah jatuh harga.

Seperti laporan media musim peringkat pertama beberapa bulan dulu Musang King dijual hingga RM100 per kilo, tetapi kali ini sudah jatuh pada RM55 – RM65.

Pemilik dusun mengeluh sebab harga jatuh. Tidak sahaja raja musang, jenis-jenis lain seperti 'Ang Heh', 'Orchi' dan 'Hor Lor' semua turun harga, gara-gara dusun terlalu lebat.

Tetapi pada hemat saya RM55 – RM65 per kilo bagi durian, masih terlalu mahal. Orang kita masih tidak mampu. Jual sahajalah pada Jack Ma!

* TOK PERAK