*KISAH Mohamad Thaqif Amin memang menyayat hati. Dapat dirasakan betapa menderitanya kanak-kanak yang masih terlalu muda itu, baru 11 tahun.

Kedua belah kakinya menjadi hitam kerana jangkitan kuman. Doktor tiada pilihan, kecuali memotong kedua anggota tubuh yang amat berharga itu.

Masih dalam koma dan terlantar kesakitan, jangkitan kuman terus menyerang bahagian-bahagian lain tubuh. Doktor mengesyorkan supaya tangannya pula dipotong.

Tetapi, belum sempat tangan dipotong – dan tanpa sempat sedar dari koma untuk melihat wajah-wajah tersayang – anak malang tidak berdosa itu dijemput Pencipta Yang Maha Pengasih lagi Penyayang.

Dan, seluruh negara menangis...

*TANGISLAH sebanyak mana, walau dengan air mata darah sekali pun, anak kesayangan keluarga @ pelajar gigih di sebuah madrasah tahfiz di Kota Tinggi itu tidak akan hidup semula.

Sesedih-sedih orang lain, tentu sedih dan pilu lagi sanak-saudara – lebih-lebih lagi ibu dan ayah – yang ditinggalkan. Anak yang ceria dan bercita-cita besar, tiba-tiba tiada; yang tinggal kini hanya kenangan...

Juga yang tinggal hanyalah pertanyaan-pertanyaan yang memerlukan jawapan segera: Mengapa pihak pentadbiran sekolah gagal mengesan dan bertindak bagi menghalang penderaan ke atas pelajar yang dikatakan telah lama berlaku?

Mengapa pembantu warden sebuah sekolah agama tergamak berlaku kasar memukul kaki si kecil dengan getah paip sehingga begitu teruk?

Seperti yang dilaporkan media, pembantu warden berusia 29 tahun, mempunyai rekod jenayah dan pernah dipenjara 30 bulan itu, kini masih direman bagi membantu siasatan.

Semoga siasatan polis segera merungkai misteri ketakutan dan kengerian sebahagian pelajar-pelajar di madrasah tersebut.

*TENTU sekali tragedi sebuah madrasah tahfiz di Kota Tinggi, Johor itu boleh menjejaskan imej sekolah-sekolah agama – termasuk sekolah pondok – baik yang berdaftar dengan kerajaan mahu pun yang ditubuhkan secara persendirian.

Warga siber yang marah-marah telah mengungkit beberapa kes negatif – buli, dera, keganasan – yang terjadi di sekolah dan madrasah agama di seluruh negara sebelum ini.

Mereka berhujah, sekolah agama, termasuk maktab tahfiz, sepatutnya mementingkan aspek-aspek murni agama, dan menghindarkan diri dari gejala-gejala negatif dan kekasaran sehingga boleh membunuh.

Sebenarnya kekasaran sudah menjadi perkara biasa dalam sekolah-sekolah kita, baik sekolah agama mahu pun sekolah biasa. Di sekolah kerajaan pun sentiasa ada kes-kes keganasan seperti ini.

Guru merotan murid hingga lebam, guru tumbuk murid hingga cedera, guru lempang murid hingga pecah gegendang telinga, macam-macam.

Memang telah lama ada peraturan, ada undang-undang. Tetapi sentiasa ada yang melanggar peraturan dan undang-undang. Masalah disiplin bukan berlaku di sekolah agama sahaja. Semua orang tahu disiplin murid – juga sesetengah guru! – semakin menjunam.

Jadi, jangan hanya prejudis terhadap sekolah agama!

*SIAPA yang betul? Seorang menteri berkata restoran India Muslim @ mamak cekik darah pelanggan. Seorang menteri lagi menafikan dengan berkata harga di restoran mamak berpatutan.

Pada 15 April, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata, ada restoran mamak yang menaikkan harga teh tarik sebanyak 50 sen segelas, dan ini tidak patut.

Tetapi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, restoran mamak seluruh negara mengenakan harga yang berpatutan bagi makanan dan minuman.

Kata Hamzah, seperti yang dilaporkan media: “Saya tidak faham mengapa isu ini boleh dibangkitkan, termasuk oleh rakan Kabinet saya...”

Alkisah, lain menteri lain pandangan dan pengalaman mengenai harga. Tetapi bagi rakyat jelata, tidak kira di mana berada, mereka hanya mempunyai satu pandangan dan pengalaman: bahawa harga makanan memang tidak patut, dan cekik darah.

*TINJAUAN yang dilakukan oleh akhbar The Star di sebuah restoran mamak di Petaling Jaya mendapati harga sepinggan nasi putih, lauk seketul ayam dan sedikit sayur ialah RM7.30 tanpa GST. Sekeping roti canai RM1.20, dan segelas teh tarik RM1.80.

Di sebuah restoran lain yang mengenakan GST, harga nasi dengan lauk yang sama ialah RM8.90, sementara roti canai dan teh tarik RM3.60.

Tanya pada menteri, tanya pada rakyat, tanya pada diri sendiri, adakah harga ini berpatutan? Tepuk dada, terbantut selera.

*AKHIR kalam, Ibrahim Mat Zain yang mendakwa diri sebagai Raja Bomoh Antarabangsa me-ngaku bersalah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan atas pertuduhan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.

Ibrahim, 66, mengaku bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 7(a) Akta Kesalahan Jenayah Syarikah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

Dia mengaku bahawa semua perbuatan ritual perbomohannya merupakan kesalahan dan menyalahi akidah Islam. Dia bertaubat...