ALKISAH, terbukti sudah walaupun sama seagama tidak semua orang boleh mengadakan iftar di masjid. Ini yang terjadi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin @ Ahli Parlimen Pagoh.

Bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Timbalan Presiden Umno itu dihalang mengadakan majlis berbuka puasa serta menyampaikan sumbangan beras di Masjid An-Nur, Pekan Kundang Ulu, Tangkak, Johor yang sepatutnya diadakan petang ini.

Kata yang empunya cerita, larangan itu disampaikan melalui surat yang difakskan ke pejabat pusat komuniti Parlimen Pagoh oleh Pejabat Kadi Daerah Tangkak.

Maka dengan perintah pejabat kadi itu, Muhyiddin tidak boleh berbuka puasa bersama saudara-saudara seagama di masjid yang sebelum ini sentiasa mengalu-alukan kedatangan beliau.

Arakian, meski datang atas nama Islam, nasib Muhyiddin ternyata lebih malang dari nasib Sivarasa yang bukan Islam itu.

*ADA pun perihal Sivarasa @ bukan Islam @ Ahli Parlimen PKR itu tidak sahaja dibenarkan berbuka puasa, tetapi dipelawa pula masuk ke ruang solat Masjid An Nur Kampung Melayu Subang, Selangor. Nama masjid pun sama seperti yang di Johor!

Kehadiran YB berkenaan ialah untuk menyampaikan sumbangan wang kepada masjid berkenaan yang berada di dalam kawasan parlimen yang beliau wakili.

Bagaimana pun ada pihak beranggapan YB itu sudah ter‘over’ kerana memegang mikrofon pada acara tersebut. Arakian, dia pun dituduh bercakap politik dalam rumah ALLAH.

Maka hal bukan Islam buka puasa, beri sumbangan masjid, masuk ke ruang solat, dan pegang mikrofon itu pun mencetuskan kontroversi.

Tetapi Sivarasa berkali-kali menegaskan kepada media beliau tidak bercakap politik, dan tidak menganggap kehadirannya malam itu sebagai ter‘over’. Apa pun YB berkenaan dikira bernasib baik sebab ‘Mat Over’ tidak ada di situ.

*SYAHDAN, perihal bercakap politik dalam masjid bukanlah isu baharu. Sejak dulu lagi pun sama ada bermikrofon atau tidak hal-hal politik sudah sering menjadi alkisah di masjid dan surau.

Ustaz dan agamawan yang berkuliah di rumah ALLAH itu, menyelitkan hal-hal politik sama ada secara beralas @ berbasa-basi, atau secara terus terang.

Dalam mesyuarat AJK pun pengerusi ada masukkan politik, sama ada secara konar-konar, atau diluahkan dengan jelas. Budak kecil pun faham ada benda politik dicakapkan.

Hatta, ketika bermikrofon di atas mimbar semasa khutbah solat Jumaat pun ada khatib yang terkeluar dari teks asal, dan berhikayat panjang tentang politik.

Dalam kes Muhyiddin, dulu-dulu jangankan pejabat kadi, pejabat OCPD pun tidak akan menghalang sekiranya beliau hendak beriftar dan memberi sumbangan wang, kurma, beras, lembu korban dan lain-lain.

Seyogia diingat YB Pagoh itu sekarang ialah orang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Itulah masalah sebenarnya...

*NOTIS 14 hari telah diberikan, sekiranya gagal membuat rayuan munasabah, sebuah syarikat pengurusan umrah akan berdepan tindakan lesen perniagaan dibatalkan.

Demikian tegas Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengenai sebuah syarikat yang menyebabkan 147 bakal jemaah umrah terkandas di KLIA, 8 Mei lepas.

Bakal jemaah kecewa hasrat suci tergendala, atas alasan syarikat bahawa tidak ada penginapan di Makkah kerana semua hotel telah penuh.

“Tidak munasabah,” kata Mas mengenai alasan tersebut. “Pihak syarikat sepatutnya mengambil langkah awal sebab sudah sedia maklum bahawa bulan Ramadan adalah waktu puncak.”

Timbalan menteri itu menambah: “Ini satu bentuk penganiayaan kepada mangsa.” Sebenarnya sudah beribu orang ditipu oleh syarikat pengurusan umrah sebelum ini.

Wang beribu telah dibayar, penerbangan tidak jadi, mangsa terdampar di lapangan terbang. Buat laporan pihak berkuasa, tidak ada kesan. Wang tidak dikembalikan, pejabat syarikat ditutup.

Sampai bila bakal jemaah terus menjadi mangsa? Tidak perlu bagi notis, kalau sudah terbukti penipu, tarik sahaja lesen. Semakin banyak notis semakin ramai yang kena tipu!

*AKHIR kalam, seperti yang dilaporkan kerusi Dun Nenggiri (Kelantan) menjadi kosong berikutan wakilnya Datuk Mat Yusoff Abdul Ghani (Umno) diisytiharkan muflis.

Pengerusi badan perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam pada itu menegaskan BN Kelantan akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi di Dun berkenaan.

Pendek kata walaupun kerusi kosong, tidak ada lagi YB, Tok Pa akan bantu mana yang terdaya...