*SEMALAM Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dihadapkan ke mahkamah atas 45 pertuduhan jenayah pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram mencecah RM114 juta.

Seperti dilaporkan media, jumlah pengubahan wang haram sahaja mencecah RM70 juta termasuklah pembelian dua banglo di Kajang berjumlah RM5.9 juta.

Presiden Umno itu minta dibicarakan atas semua pertuduhan, dan dikenakan ikat jamin RM2.

Di luar mahkamah, mantan Timbalan Perdana Menteri itu memberitahu penyokongnya, seperti yang dipetik media: “Saya rasa macam apa juga kerja amal yang saya buat selama ini dianggap sebagai melanggar undang-undang.”

Beliau menambah: “Mahkamah adalah tempat terbaik untuk saya membela diri...”

Maka satu Malaya kini menunggu hari perbicaraan untuk mengetahui siapa salah siapa betul.

*MACAM mana kedudukan Dr Ahmad Zahid dalam parti? Majlis Tertinggi Umno mengambil ketetapan tidak akan menggantung keahlian Presiden dan mantan Presiden Datuk Seri Najib Razak kerana menganggap tuduhan jenayah terhadap mereka bermotifkan politik.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi, Tajuddin Abdul Rahman, kes jenayah terhadap kedua tertuduh tidak sama dengan yang dihadapi oleh beberapa ahli parti yang digantung keahlian mereka selepas didakwa di mahkamah.

Tetapi menurut Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hassan, Dr Ahmad Zahid mungkin perlu berehat sementara daripada menjalankan tugas parti.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pada 2009 yang memerlukan pemimpin tertinggi bercuti jika mereka berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.

Dengan presiden dan mantan presiden dua-dua menghadapi pertuduhan berat di mahkamah, ramai kini bertanya: apa sudahnya Umno?

*TIBA-TIBA ada cadangan supaya projek Jambatan Bengkok ilham Tun Dr Mahathir Mohamad yang dihentikan sejak 2006 diteruskan semula.

Menurut Menteri Besar Johor Osman Sapian, jambatan sepanjang 1.4 kilometer yang menghubungkan Semenanjung-Singapura itu, dapat mengatasi masalah kesesakan di Tambak Johor sekarang.

Hasrat Menteri Besar itu mungkin baik, tetapi tidak sesuai dengan keadaan kewangan negara sekarang. Projek tersebut dijangka menelan belanja RM1.1 juta pada 2003.

Kalau mengikut kadar semasa, harga projek berkenaan mungkin tiga atau empat kali ganda lebih mahal, pendek kata RM berbilion-bilion.

Ketika kita menangguh atau membatalkan terus beberapa projek mega kerana kesempitan kewangan, kenapa kita perlu tergesa-gesa berbelanja besar untuk sebuah Jambatan Bengkok?

Maka saya bersetuju dengan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali bahawa “buat masa ini pembinaan Jambatan Bengkok bukanlah satu keutamaan.”

*LAGI-LAGI politik wang! Rafizi Ramli mendedahkan gejala negatif dan busuk ini sudah melanda PKR, parti yang mendominasi kerajaan PH.

Naib Presiden PKR itu mendakwa wang telah digunakan untuk membeli undi pada pemilihan parti yang sedang berjalan sekarang.

Menjadi tumpuan pada pemilihan kali ini ialah pertandingan satu lawan satu bagi jawatan Timbalan Presiden antara Azmin (penyandang) dengan Rafizi.

Azmin menegaskan politik wang tidak boleh dibiarkan, dan perlu dihapuskan segera sebelum ia menular menjadi barah yang akan merosakkan parti.

Katanya PKR jangan jadi seperti Umno, sebuah parti besar yang akhirnya runtuh akibat berleluasanya politik wang. Biro Politik parti itu bersetuju untuk menyiasat aduan politik wang.

*PERIHAL politik wang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak ada tolak ansur atau pengampunan ke atas mana-mana ahli parti yang mengamalkan perbuatan hina ini.

Menurut bakal Presiden PKR itu politik wang jelas sekali bukan reformasi. “Kita perlu hentikan segera kaedah membeli orang, mengugut dan salah guna kuasa.”

Tambah beliau: “Menggunakan duit untuk membeli undi adalah kerja iblis, dan menunjukkan betapa rendahnya moral mereka yang terlibat.”

Beliau tidak akan membenarkan amalan iblis ini memasuki sistem parti, dan akan bertindak tegas sekiranya ada cukup bukti.

Seperti yang terbukti dalam beberapa parti besar sebelum ini, iblis bolah dilihat dan dikenal pasti, tetapi tidak dapat ditangkap, sehingga akhirnya parti lingkup. Janganlah ini terjadi pada PKR.

*AKHIR kalam, Bung Mokhtar akhirnya memohon maaf di Parlimen atas keterlanjuran katanya menyebut perkataan “p*** mak” di Dewan yang mulia.

Harap-harap beliau selalu dapat mengawal perkataan dan tidak lagi mencarut seperti budak tidak sekolah. Jagalah sikit title YB...

TOK PERAK