*ADA dua nama yang sejak sekian lama menjadi sebutan di tempat kita. Pertama, P Ramlee, legenda yang filem-filemnya sampai sekarang masih diminati oleh rakyat Malaysia, khasnya orang Melayu.

Kedua, Burger Ramly yang sejak lebih tiga dekad lalu menjadi sebutan ramai, khasnya mereka yang meminati daging burger dan sosej.

Baik seniman agung legenda itu atau tauke produk halal berkenaan, keduanya adalah nama Melayu, nama Islam.

Maka tidak patut sangat nama-nama Melayu dan Islam itu dikaitkan dengan babi. Malangnya, itulah yang telah dilakukan oleh seorang bukan Melayu, bukan Islam yang menjadi pemilik Restoran Ninja Joe.

Dia menamakan salah satu hidangan di restorannya ‘Burger P. Ramly’. Apa sebenarnya muslihat tauke Ninja Joe?

*JIKA hidangan tersebut dinamakan ‘Burger P. Lam Lee’ – bunyinya seakan sama P. Ramlee atau Ramly – tentu tidak ada pihak berasa tersinggung. Tetapi restoran tersebut sengaja memilih nama Ramly.

Lebih menyakitkan hati dia mengakui huruf ‘P’ itu merujuk kepada ‘pork’ @ babi. Maka ‘P. Ramly’ jika diterjemahkan dalam bahasa Melayu boleh jadi ‘Babi Ramly’ atau ‘Ramly Babi’.

Dan, yang paling menyentak perasaan ialah apabila dia berkata nama ‘P. Ramly’ adalah sebagai satu penghormatan kepada pemilik syarikat produk halal yang terkenal itu. Memberi penghormatan kepada orang Islam dengan babi?

Sekali lagi, apa sebenarnya muslihat tauke Ninja Joe?

*SETAKAT semalam (Jumaat), pemilik restoran belum secara terbuka meminta maaf berhubung hidangan yang kontroversi itu. Seperti yang dilaporkan dia telah menukar burger berkenaan kepada nama lain.

Tentu ada sebab dia tidak meminta maaf secara terbuka. Mungkin dia tidak mahu benda ini menjadi lebih hangat. Mungkin juga dia menganggap dia tidak melakukan apa-apa kesalahan, jadi tidak perlu minta maaf.

Atau, boleh jadi juga dia berharap ada mana-mana pihak mengucapkan terima kasih kepadanya kerana memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada seorang pengusaha Melayu Islam.

*TIDAK kira apa keturunan asalnya, nampak sangat pemilik restoran berkenaan memang buta budaya, buta agama, buta kayu, buta hati. Dan, orang buta seperti ini telah dengan sengaja ingin menguji perasaan orang Melayu Islam.

Biarlah dia terus buta. Tetapi kita tidak buta! Maka bukalah mata seluas-luasnya dan lihat apa yang orang lain lakukan terhadap kita. Bukalah hati selebar-lebarnya, fikirkan...

Betapa sesetengah orang bukan sahaja tidak menghormati, malah telah memperlekeh dan mempersenda kita. Agaknya kita selalu terlebih budi, berlembut hati, bertoleransi. Sebab itu ada sesetengah pihak mengambil kesempatan dan take us for granted. Sengaja cakap orang putih, biar dia orang faham!

Bukalah mata, dan buktikan kita ada maruah, ada harga diri. Dan ada agama yang perlu dipertahankan.

*KATA Datuk Seri Hamzah Zainudin pihak berkuasa akan mengambil tindakan ke atas pengusaha restoran yang bertanggungjawab mengeluarkan burger daging babi menggunakan nama P. Ramly.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu – seperti yang dilaporkan media – kita ada akta yang boleh digunakan ke atas mana-mana pengusaha yang mengelirukan pengguna.

Akta sudah jelas, aduan telah dibuat, siasatan telah dilakukan, dan orang yang bertanggungjawab pun telah mengaku. Jadi jangan tunggu lama-lama untuk bertindak.

Ada masa kita boleh berlembut hati dan bertoleransi. Tetapi, jangan terus berlembut, sebab orang telah terang-terang berani memijak kepala kita. Kita ingin melihat apa hukuman yang akan dikenakan ke atas pemilik restoran babi itu.

*AKHIR kalam, kekeliruan berhubung makanan kesukaan ramai, ada di mana-mana. Di tempat kita burger babi menggunakan nama Melayu boleh mengelirukan. Di Amerika Syarikat, kekeliruan juga terjadi pada ayam goreng kesukaan ramai.

Seperti yang dilaporkan oleh agensi berita antarabangsa di New York, seorang wanita memfailkan saman AS$20 juta (RM83 juta) terhadap Kentucky Fried Chicken (KFC) kerana pengiklanan palsu (false advertising).

Anna Wurtzburger, 64, mendakwa KFC menipu ‘pelanggan yang sedang lapar’ dengan iklan ‘KFC bucket’ yang menunjukkan bekas dengan ayam yang melimpah keluar. Tetapi apabila dia membeli, dia hanya dapat separuh dari apa yang dilihat dalam iklan. Katanya, iklan itu menipu.

KFC bagaimanapun berkata, dakwaan Anna sebagai ‘tidak masuk akal’ dan bercadang meminta mahkamah untuk menggugurkan saman tersebut.

TOK PERAK