*SOALAN: Apa persamaan antara Pokemon Go dengan MO1? Jawab: Kedua-duanya membuat orang hangat hati. Kedua-duanya menjadikan keadaan tidak tentu hala. Kedua-duanya sedang diburu setiap saat.

Ada pun Pokemon yang baru masuk Malaysia ialah permainan dalam gajet yang menjadi kegilaan umum terutama dalam kalangan remaja. Di banyak tempat di seluruh dunia Pokemon telah mencetuskan kelam-kelibut, sebab orang memburunya sehingga sanggup menyabung nyawa.

Di tempat kita pun sana-sini orang berasa terganggu gara-gara pemburu Pokemon yang mencetuskan pelbagai masalah. Sebab itu ada sesetengah ulama berpendapat Pokemon adalah haram kerana berbahaya.

*TETAPI yang lebih menyakitkan hati dan membuat orang ramai tidak tenteram ialah Malaysian Official 1 @ MO1, yang disebut dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Tidak seperti Pokemon yang wajahnya dan wataknya boleh dilihat dalam skrin gajet, MO1 tidak boleh dilihat, jauh sekali untuk disentuh.

Walaupun disebut sebanyak 36 kali dalam dokumen mahkamah DOJ – berhubung salah guna @ songlap duit 1MDB – sampai sekarang orang tidak tahu siapakah hantu yang bernama MO1 itu.

Oleh sebab tidak diketahui siapa MO1, banyak ramalan dan andaian dibuat, sehingga ada YB Umno berani mengatakan MO1 itu adalah Yang Di-pertuan Agong. Sungguh kurang sopan!

*LEBIH lama MO1 menyembunyikan diri, lebih kalut pula jadinya. Maka sebelum kekalutan berlarutan, ramai pihak mendesak supaya MO1 dalam dokumen mahkamah DOJ itu menampakkan wajah.

Pas mahu Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan identiti sebenar MO1. Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ia bagi mengelakkan kekeliruan berterusan.

Tegas beliau Najib selaku Presiden Umno dan pemimpin BN perlu mengambil tanggungjawab menjelaskan isu. Agaknya Najib pun tidak tahu siapa yang memakai topeng MO1.

Pada hemat saya hanya dua pihak yang betul-betul tahu siapa MO1. Pertama: FBI yang memberi maklumat kepada DOJ. Kedua: Raja Bomoh ‘Datuk’ Ibrahim Mat Zain. Cer tanya dia!

*ADA pun MO1 yang sama-sama diburu seperti Pokemon itu disebut DOJ dalam laporan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset bernilai RM berbilion yang diperoleh melalui dana yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Pendek kata semuanya gara-gara 1MDB. Kalau tidak ada kemelut dan kontroversi 1MDB tentu tidak timbul MO1.

Maka sesetengah pihak tidak menyalahkan Najib dalam isu 1MDB, sebaliknya menuding jari kepada pihak pengurusan yang gagal mengendalikan syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani menganggap semua yang di dalam pengurusan 1MDB sebagai ‘mangkuk hayun’. “Semua yang di dalam pengurusan adalah mereka yang tidak bertanggungjawab. Semuanya mangkuk hayun,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Cheras minggu lalu.

Maka timbul persoalan: Siapa agaknya yang melantik mangkuk-mangkuk hayun itu ke dalam pengurusan 1MDB? Mungkin Raja Bomoh dapat menjawab soalan cepumas ini.

*WALAUPUN diwajibkan ke atas setiap wakil rakyat, sesetengah yang bergelar YB tidak bersedia untuk mengisytiharkan semua harta yang mereka miliki, atas pelbagai alasan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak mahu mendedahkan semua harta yang beliau ada atas faktor keselamatan. Beliau bimbang sekiranya semua hartanya diberitahu ada pihak cuba menculik anaknya, atau merompak hartanya.

Bagi Tengku Adnan yang memang sudah banyak harta sebelum menjadi YB, beliau dan keluarga tidak mahu hidup dalam ketakutan dan diancam penjenayah setiap masa. Maka tidak perlu isytihar semua harta.

Berlainan pula dengan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang mengakui tidak pernah diganggu atau diugut penjenayah walaupun telah mengisytiharkan harta. Katanya: “Saya isytiharkan semua harta, tidak ada pun penjenayah ganggu...”

Agaknya harta Rafizi tidak sebanyak Ku Nan, jadi tidak berbaloi buat penjenayah.

*AKHIR kalam, Olimpik Rio berakhir minggu lalu dengan pencapaian terbaik negara sejak menyertai sukan terbesar dunia itu. Kita meraih empat pingat perak – tiga menerusi badminton – dan satu gangsa. Itulah yang terbaik dan terdaya kita lakukan.

Apa pun setelah sekian lama menyertai sukan dunia itu, dan dengan sekian banyak prasarana sukan disediakan, serta pelbagai inisiatif diberikan, kita masih kempunan walau sebutir emas dari Olimpik.

Ternyata prasarana sukan bernilai RM juta-juta-juta belum membolehkan kita meraih emas. Mungkin kita perlu membawa Bomoh Negara ke Olimpik di Tokyo 2020 nanti...


TOK PERAK