*SAYA tidak percaya sedikit pun, tetapi sesetengah orang menganggap 13 sebagai angka sial. Sebab itu ada bangunan tinggi – termasuk hotel dan hospital – tidak ada tingkat 13. Selepas tingkat 12, ada 12 A menggantikan 13.

Secara kebetulan pilihan raya umum kali ini adalah yang ke-13, maka ada yang berpendapat mengundi kali ini paling getir, paling hangat. Hatta ada yang meramalkan PRU13 boleh membawa padah.

Saya sudah mengundi lima kali PRU, tahun ini kali keenam. Tidak kira PRU nombor berapa, pasti ada padah. Tetapi ada juga tuah. Selalu ingat, kalau pangkah yang betul kita akan mendapat tuah; kalau tersilap pangkah kita akan dapat padah.

Jadi gunakanlah undi kita yang satu itu secara paling bijaksana, paling waras. Jangan percaya angka, tetapi percayalah kepada calon hendak kita pangkah.


*SEJAK Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen, suasana menjadi semakin hangat. Bertambah panas lagi apabila nama-nama calon diumumkan oleh pemimpin parti.

Sana-sini kecoh gara-gara nama tidak tersenarai sebagai calon. Dalam bab ini semua parti – BN atau PR – menghadapi masalah sama. Ramai yang tidak puas hati sebab diketepikan daripada menjadi calon.

Ada yang marah sebab wajah-wajah tua lagi toya yang sudah dianggap besi buruk, masih diletakkan sebagai calon. Kalau asyik kuda tua yang diberi peluang, bila orang muda hendak mengambil alih?

Ada pula marah wajah baru dicalonkan adalah mereka yang tidak ada jasa pada parti. Konon, sebab pandai membodek dan ada ‘kabel’ mereka dipilih, pada hal tidak layak lagi haprak.


*OLEH sebab tidak dipilih sebagai calon, ramai yang merajuk. Mungkin ada tidur menonggeng sambil menangis hentak-hentak kaki. Harap-harap jangan ada yang cuba bunuh diri dengan minum racun tikus.

Sesetengah yang tidak dicalonkan menjadi terlalu ‘emo’, sehingga nampak macam kanak-kanak hingusan. Sebab dikantoikan mereka bukan sahaja sensitif malah agresif. Semua mendakwa: “Saya paling layak, telah lama berjuang untuk parti, kenapa tidak dicalonkan?”

Maka orang-orang kantoi ini – sesetengahnya tokoh kanan parti – melakukan tindakan yang tidak sepatutnya. Ada membuat kenyataan tidak mahu membantu kempen untuk parti. Ada menutup bilik gerakan sebagai menyatakan kekecewaan.

Malah, ada yang terang-terang mengisytiharkan sabotaj terhadap parti: “Saya dan orang-orang saya tidak akan menyokong, sebaliknya akan memastikan calon parti kalah. Saya akan bertanding sebagai calon Bebas!”


*MEMANG mereka ada sebab berkecil hati. Almaklumlah, sesetengahnya sudah lama berkhidmat dan bertungkus-lumus untuk parti. Sudah ke hulu ke hilir membawa logo dan bendera parti.

Mereka sudah canang kepada rakyat akan berjuang untuk parti hingga ke titisan darah terakhir, sanggup melakukan apa sahaja untuk parti. Pendek kata hidup dan mati hanya untuk parti tercinta.

Tetapi tindakan yang mereka lakukan setelah tidak terpilih sebagai calon, nyata sekali tidak seperti mereka laungkan sebelum ini. Mereka kata berjuang untuk parti, tetapi menentang parti apabila tidak dicalonkan.

Maka rakyat kini boleh menilai, apakah mereka betul-betul berjuang untuk parti atau untuk kepentingan peribadi?


*SEPERTI diuar-uarkan Dayangku Intan menambahkan lagi bilangan artis yang bertanding pada PRU13. Penyanyi popular era 80an itu disahkan sebagai calon PKR bagi Parlimen Pengerang, Johor, menentang penyandang BN Datuk Seri Azalina Othman Said.

Seorang lagi artis yang telah disahkan bertanding ialah Aishah yang diletakkan Pas di Jempol, Negeri Sembilan. Ibu tunggal yang terkenal dengan lagu ‘Janji Manismu’ itu akan menentang vateran Umno, Tan Sri Isa Samad.

Kalau pengundian dibuat menggunakan SMS, seperti dalam program realiti TV, kedua artis itu akan menang. Secara peribadi saya tidak kedekut berbelanja RM-RM untuk undi SMS Aishah.

Tetapi, ini PRU13, bukan Akademi Fantasia atau Raja Lawak. Beribu-ribu SMS tidak membawa apa-apa erti, sebab penentu sebenar ialah satu pangkah di bilik mengundi. Maaf, saya mengundi di KL, tidak berpeluang memangkah Aishah!

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • *PERIHAL Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM55 bilion, menurut Perkasa upacara pecah tanah projek berkenaan di Kuantan baru-baru ini telah menghilangkan identiti Malaysia.
  • *BERITA baik, apa yang disebut dan dikempenkan sebagai maqasid syariah beberapa tahun dulu ternyata memberi kesan yang amat positif.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.