*TRAGEDI berdarah itu sudah lebih tiga dekad berlalu. Kecuali yang terlibat secara langsung, rata-rata rakyat negara ini sudah melupakannya.

Tiada siapa dapat menafikan bahawa peristiwa itu memang sesuatu yang amat menyayat – 18 orang, termasuk empat anggota polis, telah terkorban.

Tetapi, mengungkit perkara yang sudah dilupakan, hanya akan mendarahkan semula luka yang telah lama sembuh, dan itu tidak baik pada saat sesama kita sedang bertelagah kini.

Lagi pun Kertas Putih mengenai tragedi Memali telah pun dibentangkan di Parlimen. Tidakkah membuang masa, tenaga dan duit untuk menyiasat benda yang telah disiasat?

Maka ramai yang bertanya, apa perlunya ditubuhkan satu lagi suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi itu? Apakah ada udang di sebalik batu?

*SUDAH  30 tahun berlalu, mengapa baru kini Memali hendak diRCIkan? Kertas Putih telah dibentang dan didebatkan di Parlimen setelah kerajaan dan polis menjalankan siasatan rapi terhadap isu tersebut.

Seperti yang diakui banyak pihak, Kertas Putih berkenaan sudah menjelaskan kesemua aspek, iaitu punca kenapa kes ini berlaku, apakah tindakan yang telah diambil dan sebagainya.

Dan yang lebih penting segala butiran dalam Kertas Putih mengenai kejadian 1985 itu telah didedahkan kepada rakyat.

Malah, visual berkenaan anggota polis melakukan operasi di Memali itu juga sudah disiarkan untuk tontonan umum. Jadi, apa lagi yang hendak didedahkan?

*ADA yang berpendapat sekiranya RCI Memali hendak ditubuhkan, antara orang yang patut dipanggil sebagai saksi utama ialah Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor percaya ‘Amanat Hadi’ menjadi inspirasi kepada pengikut Pas ketika itu, dengan Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali Ibrahim Libya, antara yang memegang teguh amanat itu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang juga bersetuju Presiden Pas itu dipanggil untuk memberi keterangan. Maknanya ‘Amanat Hadi’ yang telah dilupakan orang itu, akan diungkit dan dibongkar semula. Apakah Abdul Hadi setuju?

*SETUJU! Itu jawapan – bukan daripada Abdul Hadi, tetapi daripada anaknya, Muhammad Khalil – apabila ditanya kemungkinan pemimpin Pas itu memberi penjelasan mengenai Amanat Hadi.

Tetapi, beliau mahu masa sejam untuk memberikan penjelasan secara live menerusi mana-mana stesen TV arus perdana. Kata Khalid, seperti yang disiarkan media:

“Sebab isu ini bila ditimbulkan dahulu, Tok Guru pernah minta satu jam mengulas tetapi tidak diberikan ruang... (jika diberi ruang sekarang) masyarakat akan dapat menilai dengan adil.”

Semua orang hendak mendengar daripada mulut Abdul Hadi sendiri. Namun, belum pasti RTM, TV3, Astro, TV Al-Hijrah rela memberi ruang.

Apa yang pasti TV Al-Jazeera, dan Sinar TV sentiasa bersedia memberi peluang kepada Abdul Hadi, bila-bila masa.

*MANTAN perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad setuju ditubuhkan RCI Memali, dan menyatakan kesediaan untuk dipanggil sebagai saksi.

“Saya akan bagi kerjasama sekiranya dipanggil sebagai saksi, tidak ada masalah,” kata beliau sambil menyatakan kesal sebab tidak dipanggil sebagai saksi pada RCI Forex BNM.

Mantan timbalan PM, Tun Musa Hitam pun tidak menentang RCI Memali, sekiranya ia benar-benar untuk kepentingan rakyat.

“Tetapi saya kurang setuju sekiranya RCI Memali ini ditubuhkan hanya untuk kepentingan politik sesetengah pihak bagi menghadapi PRU14,” kata beliau.

Ada baiknya, tambah beliau, sekiranya RCI Memali dibuat selepas PRU14. Itu lebih adil; tak ada udang, tak ada batu.

*SEMENTARA RCI Memali belum tentu jadi atau tidak, tumpuan umum sekarang ialah mengenai RCI Forex yang sedang berjalan.

Beberapa saksi telah pun memberi keterangan dan terdedah perkara-perkara tidak baik yang dikatakan telah disembunyikan selama ini.

Maka umum ingin tahu sekiranya terbongkar banyak pekung dan kurap hasil RCI Forex ini, apakah tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana yang salah?

Atau, apakah RCI Forex yang dibiayai oleh duit rakyat hanya untuk memberi aib pada individu tertentu, untuk modal PRU14 pihak-pihak tertentu?

*MASIH mengenai RCI, Forex BNM sedang berjalan, Memali masih di awang-awang. Kedua-duanya bertujuan untuk mendedahkan benda-benda lama.

Tidak mengapa menggali semula benda lama, jika untuk faedah rakyat. Almaklumlah, kebenaran memang perlu ditegakkan, tidak kira siapa dan bila.

Maka, bagi sesetengah orang ada isu terkini yang menjadi kemarahan rakyat, perlu juga diRCIkan. Ramai yang mahu ditubuhkan satu lagi RCI untuk menyiasat 1MDB.

*AKHIR kalam, setakat semalam Sukan Sea KL telah menunjukkan lebih dari 50 peratus pingat emas untuk kita mencapai sasaran 111. Syabas kepada atlet kita. Syabas kepada penyokong.

Hatta, syabas juga untuk KJ yang namanya semakin disebut-sebut, bukan sahaja sebagai Menteri Belia dan Sukan, tetapi juga sebagai jejaka paling tampan dan menawan. Wa caya lu!