SECARA peribadi ada rasa berbeza berada di Jakarta dulu-dulu dan masa kini. Dulu saya - dan kebanyakan orang Malaysia - selalu berpersepsi Indonesia tinggi kadar rasuah.

Sebaik mendarat di lapangan terbang kita membayangkan para petugas di situ meminta imbuhan untuk memudahkan kita berurusan di kaunter imigresen. Kalau hendak cepat, kena bayar duit.

Kalau tidak mahu bayar, beg di hadapan mata kita akan diperiksa begitu teliti. Kita akan ditanya macam-macam. Hulur sedikit rupiah semua akan beres.

Malah kawan-kawan saya di Jakarta sendiri mengakui ketika itu bahawa korupsi memang teruk dan ketara. Selalu mereka kata: “Di Jakarta semuanya bisa kalau kita sanggup beri wang...”

*TETAPI itu dulu! Sekarang kawan-kawan di Jakarta pula menyindir saya bahawa apa yang dulu menjadi wabak teruk di Indonesia kini lumrah pula di Malaysia. Malah lebih parah kata mereka.

Menerusi laman web dan media sosial mereka mengetahui kes-kes rasuah mega yang kini sudah menjadi berita biasa di KL. Secara kebetulan ketika berada di Jakarta minggu lalu, ada berita penahanan seorang Exco negeri Johor ditahan oleh SPRM kerana disyaki terlibat dalam rasuah hartanah.

Sambil santai dan mengopi di coffee house mereka menyebut beberapa lagi kes korupsi tahap tinggi di tempat kita. Kata mereka: “Sehari dua ini korupsi dan Kim Jong-nam meletakkan Malaysia di peta dunia...”

Dulu di Jakarta, saya megah dan berasa tinggi diri. Kini terasa betul rendah diri. Sepatah kata Tegar dalam lagunya: Aku yang dulu bukanlah yang sekarang...

*SELAIN hakikat rasuah yang semakin meninggi di negara kita, satu lagi yang menjadikan saya rendah diri ialah nilai Ringgit yang semakin susut sekarang.

Dulu saya megah dengan RM, kalau tidak sempat menukar Rupiah, kebanyakan peniaga di Tanah Abang, Block M dan banyak toko gembira menerima RM tanpa banyak soal.

Tetapi sekarang RM tidak diterima seperti dulu-dulu. Peniaga borong di Tanah Abang - salah satu tumpuan orang Malaysia - menolak duit kita. Dia orang ‘buat dhek’ bila dihulur RM.

Malah Restoran Sederhana di Tamarin yang selalu saya kunjungi untuk makan nasi Padang pun tidak sudi menerima duit kita. Kasir yang kenal betul dengan saya berkata penuh diplomasi:

“Pakai Rupiah saja, Pak. Kita nggak bisa lagi terima Ringgit. Saya dimarahi tauke nanti kalau terima Ringgit. Maaf ya Pak...” Adusss, alangkah terlukanya perasaan ini!

*DI JAKARTA, juga di seluruh Indonesia, semua menggunakan bahasa Indonesia (BI). Iklan, poster, notis, papan kenyataan, pengumuman awam dan lain-lain semua dalam BI.

Stesen-stesen TV guna BI. Filem dan siri-siri drama juga kartun popular dari luar yang disiarkan saluran TV lokal semua dialih suara dalam BI. Tom & Jerry, Harry Porter, Kuch Kuch Hota Hai, cakap BI.

Semua urusan harian baik di jabatan kerajaan, korporat, kompleks membeli belah, lapangan terbang, pasar raya, hotel hatta warung bakso tepi jalan, semua dituturkan dalam BI.

Seluruh rakyat tanpa mengira keturunan dan agama baik Melayu, Tionghoa, Jawa, Minang, Batak, Sunda dan lain-lain suku kaum bertutur - dan megah dengan BI.

Di KL pun rakyat Malaysia megah menggunakan BI; bukan bahasa Indonesia tetapi bahasa Inggeris. Baik Melayu, Cina, India semua semakin terbiasa dengan bahasa Inggeris. Hatta lif pun bercakap Inggeris. Apa boleh buat...

*DIA orang kata bahasa menunjukkan bangsa. Bangsa Indonesia tanpa mengira keturunan disatukan dengan bahasa Indonesia. Bahasa Indonesia adalah identiti bangsa berdaulat itu.

Berbeza betul di tempat kita. Bangsa Malaysia tidak ada identiti bahasa sebab orang kita tidak sepenuhnya menghormati dan menggunakan bahasa Malaysia @ bahasa Melayu (BM).

Walaupun telah termaktub dalam Perlembagaan Perkara 152 sebagai bahasa rasmi negara, BM sudah semakin dipinggirkan. Pejuang-pejuang BM menangis sebab apa yang dinobatkan Perlembagaan itu tidak langsung dipedulikan, termasuk oleh orang Melayu sendiri.

Di KL orang lebih senang - dan bangga - berbahasa Inggeris. Mesyuarat korporat cakap Inggeris. Urusan bisnes guna Inggeris. Pengumuman awam - termasuk anak hilang - pun guna bahasa Inggeris. Waimma mesyuarat sesetengah jabatan kerajaan pun cakap orang putih.

Sesetengah menteri cakap Melayu lintang-pukang. Bila keluar TV lebih senang cakap orang putih. Drama Melayu di TV pun banyak guna dialog mat salih, konon nampak hebat. Pengacara di TV pun terikut-ikut cakap bahasa rojak. Konon bahasa Melayu tidak menarik minat penonton. Bahasa rasmi koman spana.

Bahasa rojak sudah menjadi bahasa rasmi. Itu telah diterima umum. Pejuang bahasa menjerit untuk memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia. Tetapi orang ramai termasuk pemimpin terus memperkosa bahasa Malaysia.

Kelakar setelah 60 tahun merdeka, bahasa Melayu terus terpinggir dan kita terus menegakkan bahasa rojak. Sebab itu kita menjadi bangsa rojak. Betullah bahasa menunjukkan bangsa.

*AKHIR kalam, pagi Khamis rakyat Indonesia menangisi kepergian Kiyai Hasyim Muzadi. Ulama besar berusia 72 tahun bekas pemimpin Nahdlatul Ulama itu disemadikan di Jakarta dengan penghormatan negara.

Sepanjang hayatnya, Pak Kiai dianggap ulama contoh dan dihormati semua kaum termasuk yang bukan Islam. Beliau menyatupadukan semua pandangan ulama. Apa-apa percanggahan pandangan dimurnikan dengan perbincangan.

Bagi Pak Kiai perbezaan harus dihormati bukan dikecam dengan saling kafir-mengkafirkan.

Di tempat kita percanggahan dalam kalangan agamawan - termasuk dalam hal-hal kecil seperti qunut - boleh memecahkan jemaah. Sesama ulama saling tuduh-menuduh, macamlah dia sahaja yang betul dan layak masuk syurga.

- TOK PERAK