*AKHBAR New Straits Times keluaran Khamis menyiarkan di halaman hadapan tajuk besar ‘Najib akan namakan calon BN pada 2 April.’

Semua orang berdebar menunggu tarikh tersebut. Semua hendak tahu berapa ramai muka baharu akan dipertaruhkan? Berapa ramai calon wanita?

Lebih menarik lagi yang orang hendak tahu, berapa ramai orang lama akan digugurkan? Pendek kata berita muka depan akhbar bahasa Inggeris itu memang penuh suspens.

Tetapi semalam Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan, berita tersebut tidak betul, dan hanya spekulasi media.

Apakah spekulasi seperti ini boleh ditakrifkan sebagai berita palsu atau fake news?

*SPEKULASI atau tidak, berita muka depan itu memang membangkitkan debaran kepada semua. Muka-muka lama bertanya, apakah mereka akan terus dicalonkan, atau kena tendang?

Potensi orang muda yang selama ini bekerja keras – dan melobi sakan – bertanya, apakah mereka akan menjadi calon mengambil tempat orang tua?

Sementara pengundi pula menunggu calon mana yang akan mereka pangkah, atau akan mereka nyahkan.

Pendek kata semuanya menunggu 2 April dengan seribu debaran. Tetapi rupanya 2 April pun sudah menjadi 1 April @ April fool!

*MENGENAI PRU14, lebih 1,100 individu berpotensi melakukan strategi serangan mengejut saat-saat akhir (SLMA) bertujuan menimbulkan kekecohan pada PRU14.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya memperoleh senarai individu berkenaan hasil analisis yang dijalankan selama dua tahun.

Kita serahkan kepada pihak polis untuk terus memerhati, dan bertindak sekiranya perlu. Rakyat khasnya pengundi tidak perlu bimbang, keluarlah beramai-ramai untuk memangkah.

Pangkahlah dengan tenang, bukan kerana ugutan, atau kena beli, tetapi kerana sayangkan negara, dan demi kesejahteraan anak-cucu kita.

*PDRM juga telah menyenaraikan sebanyak 149 kawasan panas yang akan diberikan perhatian khusus oleh polis pada pilihan raya akan datang.

Seperi yang dilaporkan 116 kawasan panas berkenaan terletak di sekitar Semenanjung Malaysia, manakala baki 33 lagi di Sabah dan Sarawak.

Antara kawasan panas itu adalah yang berkaitan dengan ketenteraman awam, terutama dari segi perkauman dan isu agama.

Bagus sekiranya kawasan panas itu telah dikenal pasti, supaya langkah dapat disusun, dan orang ramai tidak akan terganggu dalam menunaikan tanggungjawab di tempat mengundi.

Bab keselamatan dan ketenteraman awam biar diuruskan oleh polis, orang politik jangan campur.

*AWAS juga kepada mana-mana laman web dan portal berita yang menyalurkan maklumat bertujuan menimbulkan kekecohan menjelang PRU14.

Bukan sahaja di alam nyata, di alam maya pun pihak yang tidak betul @ kaki busuk akan sentiasa diperhatikan.

Tegas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak: Kita akan bekerjasama dengan pihak polis dan agensi yang berkaitan... tindakan akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melanggar peraturan.”

Pendek kata, jangan cuba buat kacau menjelang, semasa, dan selepas pilihan raya.

*DALAM pada itu, seperti dilaporkan Felda akan memperuntukkan RM300 juta untuk membantu menyelesaikan masalah peneroka yang mempunyai hutang melebihi RM180,000 dengan agensi itu.

Menurut Pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad, 3,238 peneroka di seluruh negara mempunyai hutang ekstrem dengan Felda.

“Kita akan perbetulkannya. Felda akan memperuntukkan RM60 juta setahun bagi tujuan itu dan ia dilaksanakan dalam tempoh lima tahun mulai tahun ini,” katanya selepas majlis ramah mesra bersama peneroka Felda Lakum di Temerloh semalam.

Syabas kepada Shahril kerana turun ke padang untuk bermesra dengan peneroka. Kena selesaikan segera masalah mereka... kalau boleh sebelum mereka keluar mengundi pada PRU14.

*AKHIR kalam, durian menjadi sakan di Pulau Pinang musim ini, menyebabkan harga raja buah itu menurun hingga 50 peratus berbanding musim lalu.

Musang King tahun lalu dijual pada harga RM125 per kg, kini ditawarkan antara RM50 – RM65 per kg. Duri Hitam gred A dijual RM75 per kg, berbanding musim lalu RM100.

Bagi yang berduit RM50, RM65, RM75 memang dikira murah. Tetapi bagi kebanyakan orang harga itu masih mahal. Walaupun harga jatuh, bagi sebahagian besar rakyat, durian hanya mampu lihat, atau mampu cium, tetapi tidak mampu beli...

* Tok Perak