*SETELAH 40 tahun gigih dan tabah berjuang dalam Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed akhirnya mengumumkan keluar dari parti itu.

Ahli Majlis Tertinggi yang juga mantan menteri itu meninggalkan parti cap keris kerana mendapati parti itu telah tersasar dari hala tuju asalnya.

Empat dekad adalah satu tempoh yang panjang untuk membuktikan setia dan cintanya yang mendalam terhadap parti terbesar orang Melayu itu.

Tetapi macam mana cinta dan setia pun terhadap kekasih, tersentap juga perasaan apabila kekasih berubah haluan.

Maka setakat rencana ini ditulis, Tok Pa menjadi wakil rakyat tanpa parti untuk Parlimen Jeli.

*HANYA beberapa jam setelah pengumuman Tok Pa, Umno kehilangan seorang lagi anggota Parlimen, apabila Datuk Seri Anifah Aman juga keluar parti.

YB Kimanis (Sabah) yang juga mantan Menteri Luar itu merasakan Umno yang ditolak rakyat pada PRU14, sudah tidak serasi dengan jiwanya.

Kalau mengikut apa yang tular di media sosial, ramai lagi pemimpin dan nama-nama besar dalam parti dijangka cabut dari kapal bocor itu.

Biasalah apabila kapal bocor, layar pula koyak, ramai anak kapal menuding jari menyalahkan nakhoda. Maka terkial-kial nakhoda berusaha menyelamatkan kapal yang terumbang-ambing.

*SAMA ada yang tular itu betul-betul menjadi kenyataan atau tidak, satu hakikat yang jelas di hadapan mata ialah ramai YB Umno telah meninggalkan parti.

Hanya beberapa hari setelah parti cap keris itu tewas dan ditendang pada PRU14, beberapa anggota Parlimen telah meninggalkan parti itu.

YB-YB Umno yang awal cabut ialah Anggota Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).

Dengan Tok Pa dan Anifah meninggalkan parti, bilangan YB Umno di Parlimen kini tinggal 49 orang, maka tidak boleh lagi mendakwa sebagai parti tunggal dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.

Sementara itu sebanyak 13 Adun Umno dari berbagai negeri juga telah meninggalkan parti itu sejak tsunami 9 Mei.

Maka bahtera yang dulu gah kini betul-betul dilanda gelombang. Tetapi bukan sesuatu yang pelik, sebab sejarah telah membuktikan Titanic pun boleh karam...

*TENTU sekali renyah, resah dan gelisah apabila kerap naik mahkamah, turun mahkamah. Ada yang simpati, ramai juga yang benci terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Beberapa hari lalu bekas Perdana Menteri itu sekali lagi dihadapkan ke mahkamah atas 25 pertuduhan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad.

Beliau mengaku tidak bersalah, dan minta dibicarakan ke atas semua tuduhan baharu, juga tuduhan-tuduhan sebelum ini. Untuk tuduhan terbaharu, beliau diikat jamin RM3.5 juta.

Meski renyah naik mahkamah, turun mahkamah, masuk SPRM, keluar SPRM, tuduhan demi tuduhan, dan ikat jamin RM juta-juta, Najib masih mampu tersenyum.

Tidak gubra, malah dengan tenang beliau berkata: “Inilah (perbicaraan ini) adalah peluang terbaik untuk saya membersihkan nama.”

Dulu, kini dan selamanya Najib memang hebat!

*SEPERTI biasa setiap kali Najib ke mahkamah ada sahaja sekumpulan penyokong tegar mengadakan tunjuk perasaan, begitu bersemangat dan penuh emosi menyuarakan simpati terhadap mantan PM.

Bagaimanapun jelas sekali yang menyertai kumpulan tersebut semakin berkurangan, walaupun yang datang semangat masih berapi-api.

Ada artis yang turut sama dalam kumpulan tersebut, mungkin untuk menarik perhatian umum. Tunjuk perasaan terkini tidak pula kelihatan Ellie Suriaty yang sebelum ini begitu beremosi.

Ellie tiada, tetapi muncul pula penyanyi popular 1980-an, Sahara Yaacob yang beremo tinggi mengajak rakyat bersolidariti menyokong Najib.

Selepas ini siapa lagi agaknya artis wanita yang sudi menjerit-jerit tanda simpati terhadap orang yang dituduh?

*AKHIR kalam, seperti yang diberitakan, kerajaan mengakhiri amalan pentadbiran terdahulu yang memberikan jawatan Duta Besar atau Pesuruhjaya Tinggi negara kepada orang-orang lantikan politik.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berkata ketua misi diplomatik negara yang merupakan lantikan politik akan dipanggil balik dan perkhidmatan mereka akan ditamatkan.

Kita ada PTD yang memang dilatih untuk kerja-kerja diplomatik, maka apa logiknya orang politik – sesetengahnya yang sudah tidak laku! – dilantik menjadi Duta? Buat malu kompeni!