BILL Gates, usahawan terkenal seantero dunia dengan perisian Microsoft pernah berkata, dia membaca 50 buah buku setahun.

Mengapa tauke perisian yang terkenal itu masih membaca buku? Walhal, dia boleh sahaja  melayari laman web? Katanya, itulah salah satu caranya belajar.

Meskipun dia kerap bertemu dengan cendekiawan atau menonton kuliah atas talian, buku membolehkan dia mengetahui perkara baharu dan turut menguji kefahamannya. Kadangkala, membaca membolehkan dia melihat sesuatu dari sudut pandang yang berbeza.

Memang menakjubkan bagaimana seseorang pakar teknologi maklumat yang hebat sepertinya masih bergantung kepada platform teknologi maklumat yang tua iaitu melalui buku sebagai caranya memahami ilmu. Malah, Bill Gates juga mengaku yang dia bukan kaki e-book!

Berdasarkan kata-katanya itu, kita boleh simpulkan tiga perkara. Pertama, membaca buku itu mempunyai keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri. Kedua, bahan bacaan di internet sama-sekali tidak dicipta untuk menggantikan buku secara fizikal.

Ketiga, jika teknokrat digital hebat seperti Bill Gates membaca buku sebagai platformnya, pasti dia nampak keistimewaan yang kita tidak sedari. Bagi kita internetlah segala-galanya.

Jurnal Social Science and Medicine, pula memaparkan dapatan kajian Universiti Yale yang menakjubkan! Menurut kajian selama 12 tahun universiti itu, mereka yang membaca lebih 3.5 jam seminggu akan hidup dua tahun lebih lama kepada sesiapa sahaja tidak kira yang berharta, berpelajaran mahupun menurut jantina.

Lebih 3,500 warga emas mengambil bahagian di dalam survei itu. Menurut laporan kajian itu juga, membaca buku lebih bermakna daripada membaca majalah kerana membaca buku mampu merangsang minda untuk berfikir dengan lebih mandalam.

Saya berpendapat, majalah yang mempunyai banyak artikel yang pendek-pendek itu hanya mampu merangsang minda secara sebentar.

Sebaik sahaja seseorang itu mahu tenggelam di dalam dunia pembacaannya, artikel yang dibaca sudah tamat dan fikirannya terpancung ke suasana semasa.

Sebaliknya apabila seseorang membaca buku, kontinuasi isi panjang sesebuah buku itu mampu menarik seseorang itu ke dasar pemikiran bawah sedarnya.

Setelah beberapa minit membaca, seseorang itu boleh relaks apabila pemikirannya fokus kepada apa yang dibacanya.

Apakah kita tidak boleh membaca e-book? Bukankah isinya sama juga dengan sesebuah buku yang dipilih? Sebenarnya ada banyak sekali pandangan yang menyatakan kebimbangan terhadap membaca di skrin komputer.

Majalah Medical Daily tidak lama dahulu menerbitkan pandangan berupa amaran bahawa membaca terlalu lama melalui skrin memberi stres kepada retina.

Stres itu pula boleh mengakibatkan insomnia. Tentu sekali kajian itu memaksudkan jika seseorang itu menghadap komputer dalam kadar waktu yang begitu lama. Tetapi, tidakkah ramai di kalangan kita boleh menghadap komputer selama berjam-jam?

Betapa pun, tanpa mengambil contoh Bill Gates, laporan jurnal Social Science and Medicine hasil kajian Universiti Yale serta majalah Medical Daily, kita sendiri boleh merasai perbezaan ketara jika kita cuba membandingkan sendiri kesan membaca buku dan juga e-book.

Mereka di dalam industri buku di negara ini perlu melihat tabiat membaca dari sudut psikologi dan kesihatan. Tidak semata-mata melihat dari sudut kewangan semata-mata. Jika dilihat daripada sudut kewangan sahaja, mereka yang di dalam industri ini akan risau kepada persoalan mengapa buku tak laku.

Sebaliknya, apabila mereka melihat ia daripada sudut keperluan manusia kepada buku sebagai ilmu, maka mereka akan bertindak apa sahaja secara semerta untuk menyelamatkan khalayak pembaca Malaysia yang kebuluran bahan untuk santapan minda!