SEMASA mantan Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak dipilih menjadi Perdana Menteri beliau telah memperkenalkan konsep 1Malaysia. Konsep ini diperkenal secara tiba-tiba atau dalam vakum tanpa ada apa-apa kajian atau penjelasan tentang konsep tersebut. Sebelum Datuk Sri Mohd Najib, Tun Abdullah Badawi, Perdana Menteri kelima, memperkenalkan konsep Islam Hadhari.

Pada awalnya ramai yang mentafsirkan konsep 1Malaysia ini dengan pelbagai tafsiran termasuklah mempertegas bahawa dengan adanya 1Malaysia semua rakyat bersatu tanpa mengira kaum agama dan bangsa. Malah tafsiran yang lebih ekstrem lagi ialah mengayakan dengan konsep 1Malaysia ini semua bangsa dan agama adalah sama tinggi berdiri dan sama rendah duduknya. Tiada apa-apa kelebihan antara satu dengan yang lain.

Namun Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) antara NGO yang awal menegaskan bahawa konsep 1Malaysia ini tidak boleh mengatasi undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. Apa pun yang dilakukan oleh kerajaan hendaklah tidak bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Hanya setelah itu Perdana Menteri menjelaskan konsep 1Malaysia ini tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkuat kuasa. Maka ramailah puak liberal dan pluralisme agama marah dengan penjelasan ini.

Golongan ini yang selalu mempertikai keistimewaan diberi kepada agama Islam dan orang Melayu sedangkan ia telah tercatat dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak perlu dipertikaikan lagi dan sudah terbukti menjadi ramuan menjamin keamanan di dalam negara sejak negara mencapai kemerdekaan lagi. Kenapa kini ada yang mahu mempertikaikannya?

Kini setelah PRU14 kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan dan memperkenalkan Malaysia Baharu berteraskan kedaulatan undang-undang. Ramai yang berpandangan dalam Malaysia Baharu ini apa sahaja yang telah dilakukan boleh diubah kerana kerajaan baharu telah terbentuk.

Ini juga merupakan pendekatan yang salah kerana konsep Malaysia Baharu sama seperti 1Malaysia juga tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa. Oleh hal yang demikian sepatutnya tidak timbul sebarang usaha yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.

Selagi mana Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tidak dipinda, seluruh rakyat dan pemimpin negara tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tersebut.

Nampaknya kerajaan baharu perlu memberi penjelasan tentang konsep ini dan tidak meletakkan rakyat secara semberono mengamalkan prinsip Malaysia Baharu ini. Apa pun tindakan mestilah dibuat  dalam kerangka sistem perundangan di Malaysia. Malah teras asal Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan istimewa agama Islam, orang Melayu dan raja-raja Melayu mesti terus dipelihara.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi juga perlu diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan khususnya dalam ucapan-ucapan pihak eksekutif. Malah iklan-iklan komersial di tempat-tempat yang strategik seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur juga langsung tidak menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama. Hal yang demikian menjadikan bahasa Melayu asing di bumi sendiri.

Saya berpendapat apa pun yang dilakukan oleh pimpinan sama ada di peringkat negeri atau negara mes-tilah mengambil kira kedudukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Mendapat kuasa memerintah bukanlah bermakna boleh memerintah mengikut suka hati. Pihak kerajaan masih perlu mengikuti Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang. Di samping itu ada sistem imbangan yang akan terus memantau pihak kerajaan dalam melakukan sebarang tindakan.

Mahkamah sebagai badan yang bebas adalah tempat untuk menyemak kemunasabahan tindakan diambil oleh kerajaan sama ada ia bertentangan dengan perundangan negara ataupun tidak. Rakyat masih boleh mepertikai sesuatu tindakan diambil  oleh kerajaan melalui permohonan semakan kehakiman di mahkamah.

Oleh yang demikian apa pun konsep diperkenal kerajaan semasa, ia tidak boleh mengatasi ketinggian Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa. Apatah lagi Tun Dr Mahathir selalu mempertegaskan kedaulatan undang-undang menjadi elemen penting kepada sebarang tindakan diambil kerajaan pimpinannya.

*  Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia