DALAM ucapan di Sandakan, Sabah pada hujung minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa Malaysia bukan negara gagal bersandarkan kepada pengumuman bahawa syarikat minyak nasional Arab Saudi, Saudi Arabian Oil Company (Aramco) bakal menyuntik AS$7 bilion ke dalam Refinery and Petrochemical Integrated Development (Rapid), sebuah projek hiliran industri minyak dan gas mega milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Dengan cadangan pelaburan terbesar di luar Arab Saudi ini, Aramco berhak memiliki 50 peratus kepentingan dalam usaha sama dan aset terpilih projek penapisan dan petrokimia di Pengerang Integrated Complex (PIC), Johor, sebuah hab Asia Tenggara bagi industri minyak dan gas hiliran. 

Pertama, ingin saya tegaskan bahawa saya tidak sama sekali menentang mana-mana pelaburan asing, malah mengalu-alukan lebih banyak sebarang bentuk pelaburan, sama ada domestik atau asing di Malaysia, asalkan ia bersifat produktif, berteknologi tinggi dan mesra alam, dalam domain alaf baharu yang mencipta banyak peluang pekerjaan moden, lantas memperteguh asas dan pertumbuhan ekonomi dalam mendepani cabaran-cabaran abad ke-21.

Namun, ingin saya ingatkan kita semua agar sentiasa berwaspada dengan pengumuman pelaburan seumpama ini kerana ia bukan 100% pasti akan terlaksana memandangkan banyaknya cadangan pelaburan yang diumumkan dalam acara penuh gilang-gemilang sebelum ini tetapi akhirnya menemui jalan buntu untuk direalisasikan. 

Maka, amat penting kita faham perbezaan besar antara pelaburan nyata yang sudah terlaksana dan cadangan pelaburan yang heboh diuar-uarkan kerana wujud risiko di mana cadangan pelaburan gagal direalisasikan meskipun semua pihak berkepentingan sudah menandatangani perjanjian.

Apa jaminan yang boleh diberikan kerajaan bahawa perjanjian ini adalah berbeza berbanding perjanjian-perjanjian terdahulu, terutamanya melibatkan syarikat-syarikat dari Timur Tengah dan 100% pasti akan terlaksana? 

Sudahkah diambil kira impak sekiranya tawaran awam permulaan (IPO) Aramco yang dijadualkan berlangsung tahun 2018 ditangguhkan atau sekiranya penilaian keseluruhan Aramco yang dianggarkan sekitar AS$2 trilion oleh kerajaan Arab Saudi dinafikan oleh pasaran, menjadi serendah daripada jumlah tersebut, lantas mengurangkan hasil IPO?  

Tambahan pula, maklumat mengenai Share Purchase Agreement atau perjanjian pembelian saham yang termeterai ini masih samar-samar. Apa yang diketahui hanyalah Aramco akan membekalkan 70 peratus keperluan minyak mentah kepada Rapid, manakala bahan mentah lain seperti gas, tenaga dan utiliti pelbagai akan dipenuhi oleh Petronas. 

Hakikatnya, kita masih kabur sama ada jumlah AS$7 bilion itu merujuk kepada suntikan modal oleh Saudi Aramco atau mungkin ia hanyalah nilai setara bagi bekalan minyak mentah. 

Sekiranya andaian ini terbukti benar, maka jumlah sebenar pelaburan langsung asing atau foreign direct investment (FDI) oleh Aramco yang amat dibanggakan pentadbiran Perdana Menteri Najib tidaklah sebanyak mana, jauh lebih rendah daripada apa yang dicanangkan kepada rakyat.  

Jadi, sekiranya kayu ukur kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara dinisbahkan kepada pelaburan yang penuh kesamaran ini, tidak wajarkah sekiranya ramai ulangi pertanyaan berikut: Adakah Malaysia benar-benar sebuah negara yang berjaya?

Tatkala Perdana Menteri Najib begitu berbangga kerana Malaysia dipilih sebagai destinasi utama Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dalam siri lawatan Asia baginda, ingin saya persoalkan rasional beliau yang menamakan Raja Salman sebagai ‘Raja kepada semua Raja’ sedangkan kita semua adalah rakyat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah ulung di negara ini.

Sedang kita memuji dan memuja pimpinan luar, jangan sampai kita lupa kedudukan dan kedaulatan negara sendiri.

 

 

 

 

 

 

 

* YB Nurul Izzah Anwar ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai