• Idris Haron Idris Haron
1 /

MELAKA - Melaka kini mengenal pasti sebuah lagi kolam tadahan air iaitu Tasik Biru terletak di Chin Chin, Jasin yang sesuai digunakan sebagai sumber bekalan air negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata kolam yang mampu menampung lebih 100 juta gelen air (lebih 378 liter) itu boleh memenuhi keperluan air di negeri ini antara dua hingga tiga minggu sekiranya hujan tidak turun.

Katanya kolam bekas lombong itu dipilih kerana mempunyai air mengandungi kandungan mineral yang sesuai untuk diproses sebagai air kegunaan harian.

"Kita (kerajaan negeri) akan bergerak pantas untuk menyalurkan air dari tasik ini kepada jaringan bekalan air negeri terutama dalam menghadapi musim kemarau sekarang," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka hari ini.

Melaka pada masa ini mempunyai tiga kolam tadahan air iaitu Kesang Satu, Kesang Dua dan Ayer Keroh selain dua empangan iaitu Empangan Durian Tunggal dan Empangan Jus di Jasin bagi membekalkan air di negeri ini.   

Terdahulu Idris pada persidangan itu mencadangkan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob atas ucapannya merasmikan persidangan itu semalam. Beliau disokong Datuk M.S Mahadevan (BN-Gadek).

Usul itu kemudian dibahaskan Goh Leong San (DAP-Duyong), Datuk Ghazali Muhamad (BN-Rim) dan Lim Jak Wong (DAP-Bachang) sebelum Speaker Datuk Othman Mohamad menangguhkan persidangan hingga esok. - Bernama