MADAH De Gaulle, “since a politician never believes what he says, he is surprised when others believe him.”

Maksudnya  kerana pengamal politik tidak pernah mempercayai cakap mereka sendiri, mereka hairan apabila orang lain mempercayainya! Apa pun ingat undi adalah satu senjata raksasa yang boleh mengurangkan ketidakadilan, korupsi dan merobohkan tembok yang memenjarakan rakyat. 

Mutiara kata dari Franklin Adams: "elections are won by men and women because most people vote against somebody, rather than for somebody”. Ringkasan: pilihan rayadimenangi sebab pengundi memangkah undi menentang seseorang/parti bukan kerana mereka menyokong seseorang/parti itu.

Maknanya, reputasi dan karakter calon amat penting.

Satu lawan satu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan. Barisan Nasional diwakili oleh Gerakan lawan Pakatan Rakyat diwakili oleh DAP, generasi tua cuba menyekat generasi Y; politik lama menentang politik baharu.

Datuk Mah Siew Keong ,53, veteran dan berpengalaman, mencabar Dyana Sofya Mohd Daud, 27, peguam kelahiran Ipoh yang kelihatan segar, ceria, fotogenik dan menawan.

Kata seorang pemerhati politik pada saya, Dyana akan menang cemerlang jika 40 peratus pengundi Melayu dapat dipengaruhi oleh Pas dan PKR serta Dyana; menang selesa jika antara 30 dan 35 peratus Melayu menyokongnya.

Undi Cina dan India, nampaknya, majoriti akan tetap memihak kepada Dyana kecualilah dalam masa satu tahun sahaja warna PR sudah luntur.

Pas menegaskan pendirian Dyana dan DAP berhubung perlaksanaan hudud tidak jejas sokongan Pas untuk memestikan kerusi mendiang Seah Leong Peng terus berada dalam tangan DAP. 

Sungguhpun pertandingan kelihatan sukar tetapi tidak sengit, politik baharu yang dibawa DAP bisa mencipta sejarah baharu.  Begitulah lebih kurang tegas Lim Kit Siang - optimis politik baharu akan mencipta sejarah baharu dalam landskap politik baharu. 

DAP dilihat bijak dari BN kali ini dengan meletakan calon Melayu Islam angkatan Y yang berpendidikan tinggi. Masakan tidak ada dalam Gerakan calon muda? Agak sukar bagi BN untuk menafikan Siew Keong adalah calon kitar! Mendengar pemimpin BN, terutama MCA, mereka yakin akan meraih sokongan Cina.

Kalau begitu mengapa  tidak menaruhkan calon MCA di Gelugor tetapi mencuba di Kajang?  Profesor Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM)  Sivamurugan Pandian menegaskan golongan muda mampu membawa idea politik baharu seperti diidamkan pengundi kini.

Pengundi mahu memastikan wujud kesinambungan warisan kepimpinan dalam politik negara dan parti.

PR telah mendengar permintaan pengundi muda. 

Dalam PRK Teluk Intan, isu hudud tidak penting. Majoriti pengundi Cina dan India pun sedar perlaksanaan hudud sukar dan lambat serta akan mengambil masa lama lagi; mereka juga tahu DAP dan Dyana menentang hudud.

Isu sebenar dalam pilihan raya ini adalah keadilan, prestasi perkhidmatan kerajaan - negeri dan Pusat; korupsi, sara hidup yang melambung tinggi, bukan masalah perlembagaan.

Lagipun budak pun tahu siapa menang kalah pun tidak mengakibatkan pertukaran kerajaan. Kepada pengundi tradisi, checks and balances harus diperkukuh dan dikekalkan.

Seperti kata kolumnis Sinar Harian dan Star, Karim Raslan, dalam bahasa asalnya, "calls for hudud will keep coming back. Malaysia is essentially polyglot. We are deeply religious yet secular.”

Terjemahan bebas: panggilan untuk melaksanakan hudud akan berterusan, make no mistake about it. Tetapi semua sedar negara kita berbilang bangsa, agama, bahasa dan kebudayaan.

Di Malaysia, sukar hudud dilaksanakan. Lagipun sebagai bekas penolong kanan Whip dalam Parlimen zaman Tun Razak, saya tahu amat sukar  Private Members Bill untuk sampai ke peringkat perbincangan, kecuali itulah kehendak kerajaan.

Lazimnya Private Members Bill akan diletakkan pada akhir agenda mesyuarat.

Satu taktik yang bijak: terima bill itu yang berkemungkinan dibincangkan tiada langsung. Saya yakin taktik yang sama akan diguna oleh Perdana Menteri Najib seperti dilakukan bapanya dan sebelum itu Tunku Abdul Rahman Putra dan mungkin juga oleh pengganti mereka.

Pada keseluruhannya pengundi di Teluk Intan bukan daif pendidikan, pengalaman politik dan mereka tahu apa yang mereka mahu kerana kawasan Parlimen Teluk Intan adalah suburban yakni separuh bandar dan separuh luar bandar.

Mengikut tradisi, orang suburban akan menyokong kehadiran checks and balances tanpa, bak kata mat salih, rocking the boat.

Kedua belah pihak telah pun membuat perhitungan politik secara perinci; mereka sedar bukan mudah untuk majoriti yang begitu besar (7,313 undi dalam PRU13) diterbalikkan.

Kemenangan bagi Dyana berada dalam tangan 25,310 pengundi Cina dan 11,468 pengundi India. Dyana hanya memerlukan 30 peratus undi Melayu Islam yang berjumlah 23,301.

Dijangka jumlah ini akan didapatinya. Telah pun diakui oleh Siew Keong sendiri kedudukannya akan lebih muram kalau seperti diramal pengundi diaspora di Singapura, Lembah Klang, Ipoh dan Pulau Pinang kembali membuang undi.

Saya tidak nampak Siew Keong akan dapat sokongan lebih daripada jangkaan ini. Tiada juga jaminan Siew Keong akan mendapat 55 ke 60 peratus undi  Melayu Islam.

Apa pun punter politik dan mereka yang suka bertaruh menegaskan the odds are that the DAP will retain the seat or simply put Dyana will probably win it with ease atau barangkali  akan menang tanpa banyak masalah.

Suka-duka, setakat hari ini mengikut sumber saya, besar kemungkinan Siew Keong akan tewas sekali lagi.

Walaupun begitu alah menang kita tak tahu, bersorak  bolehlah.

Semua pihak harus berpolitik secara matang, sihat. Kalau pun mahu tukar wakil rakyat (dan kerajaan pun) buatlah dengan secara hormat. Jagalah maruah parti masing-masing.