DI Barat, imej dan berat badan yakni gemuk atau kurus, menarik atau buruk, selain dari dasar dan rekod, adalah isu dalam PRU mereka. Di negara kita, jika di Pantai Timur - khususnya di Kelantan - imej kuat agama membantu, tegas Speaking, “his or her  electability” yakni peluangnya dipilih lebih baik.

Seorang calon sebagai perdana menteri yang tidak ada the right look, imej dan perangai yang dilihat cacat, cemar, tidak menolongnya dan parti. Pilihan kita dalam PRU14 adalah antara Datuk Seri Najib Tun Razak - jika beliau tidak dijatuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum itu - dengan Azmin Ali, Tok Guru Datuk Seri Hadi Awang, Lim Kit Siang atau anaknya, Guan Eng.

Di luar lingkaran pula, antara Datuk Seri Zahid  Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Shafie Apdal daripada Umno; Rafizi Ramli, Nurul Izzah, Datuk Mahfuz Omar dan Zairil Khir Johari daripada Pakatan Rakyat. Seorang pun daripada kumpulan bakal perdana menteri ini tidak overweight atau gemuk, melainkan Mahfuz agak berat sedikit.

Tetapi di belakang mereka ramai petugas dan pegawai parti gemuk gedempol. Bukan berat badan sahaja tetapi dibebani pula dengan berbagai bungkusan berbau busuk.  

Menurunkan kalori adalah satu perjuangan, satu jihad. Saya gagal dalam jihad ini. Di sekolah saya seorang atlet, maka tidak overweight, semasa dalam tahanan ISA begitu juga.

Waktu aktif bertugas dengan Tun Razak dan semasa Ahli Parlimen Kok Lanas, Duta Khas di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York dan Ketua Pengarang Kumpulan Media New Straits Times, berat badan saya stabil; ke arah overweight sedikit tetapi tidak gemuk.

Kini pun begitu juga tetapi alhamdulillah kesihatan saya baik. David Cameron, Perdana Menteri British, menghadapi PRU genting pada 7 Mei, telah hilang 13 paun berat badan dalam masa tiga bulan sebab berhenti makan kacang tanah goreng (peanuts), cookies dan mengurangkan karbohidrat.

Saya percaya kerana kempen teruk dan hangat yang sedang berlangsung, Cameron akan hilang berat badan lebih dari 13 paun lagi dan jika kalah lebih banyak lagi!

Saya lebih suka melihat pemimpin kita tidak gemuk tetapi janganlah pula kurus kering.

Keenam-enam perdana menteri kita, saya kira, seorang pun tidak gemuk gedempong atau gemuk gedempol. Tetapi ada antaranya tidak gemar bergaul dengan saudara-maranya sendiri tetapi lebih senang menolong saudara-mara isteri mereka.

Ada tidak menolong saudara mereka atau waris isteri mereka tetapi cepat membantu kawan-kawan baharu mereka.  

Pemimpin dunia yang sihat, tidak montok, berat badan sepatutnya, adalah Bill Clinton dan  Cameron kerana mereka suka berjoging, Barack Obama gemar bermain golf dan bola keranjang, Putin berburu, Dr Mahathir menunggang kuda dan Perdana Menteri kita suka bermain golf.

Sangat jelik melihat pegawai beruniform jika gemuk, perut buncit. Amat tidak menarik dan memberi gambaran mereka di bawah lembab; menggeleber; longlai; tidak berdisiplin dan tidak cekap. Apa pun janganlah semakin gemuk dan geleber - tidak baik untuk kesihatan dan memberi imej negatif. 

Maka sering bersenamlah secara teratur, selalu mengerakkan tubuh badan dan jagalah diet yang seimbang.

Bagaimana pula dengan wanita yang berprofil tinggi? Jangan ikut body imej model fesyen! Apa pun hindarilah mencontohi  sesetengah wanita - bulat, buntal dan gempal.

Contohilah badan terbaik - Nurul Izzah, Noraini Ahmad (Ahli Parlimen Parit Sulong) dan Siti Nurhaliza. Jika wajah molek pun, kalau tubuh badan seperti buntal, tidak menarik. Maka dalam PRU14 undilah kalori, selain daripada rekod dan potensi calon perdana menteri.  

Calon dan mendidiknya

Perkataan groom dalam bahasa Inggeris ada tiga makna: penjaga haiwan, lazimnya kuda; bersiap dan mendidik seorang pemimpin umpamanya dan bridegroom adalah pengantin lelaki. 

Di sekolah, di jabatan, dalam politik dan kehidupan mereka yang dilihat berbakat, berpotensi, selamat dan tidak bakal ancaman (threat) kepada pemimpin, dipilih dan digroomkan untuk menyambung kepimpinan.

Justeru seorang mentor mendidik dan menasihatkan mentee. Tun Razak mentor saya. Dr Mahathir dan Tun Musa Hitam mentor Badawi. Mentor Najib adalah abang ipar ibunya, Hussein Onn, dan pengganti Hussein, Dr Mahathir.  

Dr Mahathir amat kecewa dengan kedua-dua anak didiknya atau mentee. Suka-duka, Dr Mahathir memilih Badawi menggantinya dan Najib ganti Badawi apabila Badawi dipaksa letak jawatan.

Madah seorang pemimpin Umno yang benci Dr Mahathir, “Dr Mahathir continues to be a nuisance to his successors”.  Pemimpin ini, walaupun bahasa ibundanya cemerlang, suka berbicara dengan saya dalam bahasa Inggeris, sama ada dia anggap bahasa Melayu saya tidak baik atau dia mahu meyakini saya bahawa dia adalah juga daripada “Jemaah Speaking”.

Tegasnya, Dr Mahathir terus mengecam  penggantinya dan pengganti Badawi, Najib, kerana dia (Mahathir) seorang pengacau dan pengganggu!

Tunku Abdul Rahman Putra amat sayang pada Tun Razak, digroom untuk mengambil alih daripadanya.

Akhirnya hubungan kedua-duanya retak sebab persepsi dan matlamat politik berlainan. Lee Kuan Yew lebih bernasib baik kerana kedua-dua penggantinya diasuh, dididik dan diuji olehnya sebelum menggantinya, Goh Chok Tong, dan Goh Chok Tong pula memilih anak Lee Kuan Yew, Hsien Loong menggantinya.

Singapura tidak melalui pengalaman yang kita sedang alami sebab Lee Kuan Yew  lebih cerdik menilai, memilih, melatih dan menguji bakal penggantinya.  

Najib menang penggal kedua?

Hari Selasa lepas saya memberi taklimat politik kepada 50 orang bisnes dan diplomat tentang masa depan politik Malaysia anjuran ASLI di Bankers Club Kuala Lumpur. Inilah kesimpulan saya dalam bahasa asal, “If Najib desires a second term, which I know he desperately wants, then he must make sure as far as possible the economy doesn’t get any worse, preferrably, it improves, and equally important, he must select younger, talented, trustworthy candidates together with some old, well - tried and loyal members of Umno who can talk the talk and walk the walk, and serve the people and the government - not themselves.

Let us hope the Prime Minister does not let us down again”.

Kesimpulan dalam bahasa ibunda - Umno dan Najib menang hanya jika calon muda-mudi yang berpendidikan, amanah dan berwibawa dipilih bersama mereka yang berpengalaman dan telah teruji dan bersih.

Tanpa itu Umno dan Najib akan kecewa. Juga jika ekonomi boleh bertahan, lebih baik kalau meningkat.

Peribumi dan orang Islam puas hati dengan dasar dan tindakan kerajaan bagi menjamin kepentingan dan ketuanan mereka. Najib mesti berani, tanpa takut,  bertindak melindungi mereka; juga rakyat Malaysia yang taat setia tidak berbelah bagi dengan adil dan saksama.

Jika ini berlaku dan terang dilihat berlangsung maka Najib, Umno dan kerajaan selamat.