Rebah bangun adat hidup apa lagi dalam politik, bisnes seperti berlaku pada ramai pemimpin dan ahli perniagaan kecil besar.

Saya mahu bicara tentang pengalaman diri – sebentar rebah (lima tahun di bawah tahanan ISA), sebentar bangun (kembali dalam Parlimen, aktif dalam dunia korporat, duta khas di PBB, ketua pengarang dan eksekutif direktor New Straits Times dan rebah sekali lagi pada tahun 2003 -  dan tidak bangun lagi semenjak itu! Meskipun turun naik seperti yoyo, hati saya sentiasa senang
kerana iman tidak terganggu. Syukur pada ILAHI.  

Bekas Perdana Menteri Australia Julia Gillard, wanita pertama menjadi PM negara itu, apabila dia digulingkan oleh bekas perdana menteri dan ketuanya Kevin Rudd berkata dalam bahasa asal: “losing power is like being punched – hilang kuasa seperti kena tumbuk”. Tidakkah terlintas di hatinya atau padanya bagaimana perasaan Rudd apabila dia dijatuhkan olehnya? Kan adil Gillard tersungkur demikian juga.

Berkatalah kawan dan seteru bahawa antara 1962 – 1976 saya amat berpengaruh hingga ada penganalisis dan penulis, dalam dan luar negara, memerikan (describe) saya sebagai powerful and influential. Bagaimana pula perasaan saya waktu hilang kuasa, pengaruh dan kedudukan tatkala tengah meningkat? Pasti tidak seperti Gillard; tidak terasa seperti kena tumbuk kerana saya percaya pada takdir. Sungguhpun telah ditentukan oleh Tuhan saya menghadapi kehilangan kuasa sebagai ujian-Nya; tetapi janganlah pula kita berpeluk tubuh sahaja.

Mula jatuh waktu baru sahaja berusia 37 tahun, kali kedua dan ketiga lewat 40an dan awal 60an. Apakah reaksi serupa? Kan qadak-qadar dan takdir sama? Apa pun saya lebih dewasa pada kali kedua dan ketiga. Saya tidak pernah mengalami kesakitan fizikal; ada masa kecewa apabila berasa keresahan, kebimbangan hidup dalam tahanan dan kurungan.

Saya jarang-jarang melalui kedukaan (distress) kerana tidak risau tentang makan minum, persekolahan dan tempat tinggal serta keselamatan isteri dan anak walaupun tidak risau tentang makan minum, persekolahan dan tempat tinggal isteri dan anak. Isteri seorang pegawai tinggi kerajaan dan kedudukan ekonomi keluarga stabil. Kasih sayang isteri, anak, saudara-mara dan sahabat handai adalah sumber kekuatan, ketahanan dan kesabaran.

Melawan rindu pada anak isteri, ke kampung halaman, kawan adalah cabaran terbesar; ada kala amat sedih bagai tidak terdaya menahannya kerana tidak dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan mereka tercinta. Kalau iman kuat lazimnya kita tidak mudah patah hati; hampa harapan. Rela menghadapi sebarang risiko dan cabaran.

Saya tidak sedih kalau kejatuhan itu sebab musuh dari parti lawan atau bangsa lain. Saya benar-benar terharu dalam ketiga peristiwa itu, saya ditikam oleh mereka yang telah dapat banyak manfaat dari kedudukan saya. Mereka berpura-pura kawan; mereka musuh dalam selimut. Nasihat saya jangan sekali-kali cari musuh tetapi jika ia (mereka) datang jangan berasa takut dan pengecut apa lagi kalau kita tidak bersalah. Lambat laun ALLAH SWT memihak kepada pihak yang teraniaya, mangsa fitnah
dan yang terkorban kerana cerita dongeng; cerita buat-buatan yang tidak munasabah dan logikal.

Siapa dalam politik dan bisnes tiada seteru? Dan “which politicians and business men/women who are universally liked?” Musuh rakyat dan alam sekitar mesti dikutuk dan dikeji. Mereka yang memusuhi bangsa, agama, bahasa dan watan sendiri tiada maaf bagi mereka.  

Terlintas juga di hati saya “I could be my own worst enemy – mungkin kerana visi saya terlalu ke hadapan; tindakan dan pendekatan bahawa hasil lebih penting dari birokrasi tidak bergema atau resonate dengan mereka yang berkepentingan dan birokratik”.

Tidak apalah!

Tun Dr Mahathir Mohammad pernah jatuh – kalah dalam PRU 1969 – kerana peristiwa buruk itu dia melompat naik dalam masa hanya empat tahun jadi menteri pelajaran dan dua tahun kemudian timbalan perdana menteri dan lima tahun kemudian perdana menteri (1976 – 1981).  Kekalahannya jelas satu rahmat!

Tengku Razaleigh Hamzah kalah ditangan Dr Mahathir tetapi masih berjuang untuk kemuncak hingga kini.  Selagi bernafas ada harapan! Satu lagi contoh iltizam yang kuat.

Anwar Ibrahim hanya satu tangga lagi dari kemuncak tetapi ‘sebab banyak sebab’ dia tidak kesampaian jesteru terus gigih cuba mendaki Gunung Mercu via ‘path’ lain.  Dalam politik semua tidak mustahil kerana itu dia sekarang sedang memperkuatkan pakatan DAP, PAS dan PKR untuk PRU14.

Turun naik proses biasa.  Seseorang pemimpin yang berwibawa pantang undur kebelakang walaupun peluangnya kekemuncak tipis!  Dalam politik dan bisnes tidak ada yang pasti berjaya atau pasti gagal. Takdir yang menentukan.  Apa yang terbaik bagi mereka yang gagal mestilah muhasabah diri mereka.  Kepada lebih 140,000 perwakilan/pengundi Umno yang tidak lama lagi akan menyempurnakan hak mereka, saya ucap selamat mengundi dan memilih. Najib Razak dan Muhyidin Yassin, saya rasa terus kebal.  Kemuncaknya: siapa antara tiga penyandang jawatan naib presiden akan gugur dan siapa pula antara tiga pencabar itu akan menang?.  Itulah berita besar, itulah headline yang kita semua menunggu.