WEST End, London, Rabu 6 November: Suhu makin dingin, angin berderu-deru, ada masa kuat; daun mulai luruh. Waktu solat cepat, pendek. Apa pun saya riang, bersiar, membaca, menonton dan tidur.

Orang kaya mega lebih gembira; gelak ketawa kebank. Selalunya mereka pemodal pintar dan resilient, ada ketahanan. Dalam Kelas  Dunia Pertama hanya seorang sahaja keturunan Melayu, berbahasa Melayu, mengamalkan kebudayaan dan adat istiadat Melayu dan beragama Islam yang benar-benar mega kaya. 

Bukan itu sahaja personaliti ini juga tegas Speaking, “the guardian and defender of Islam, Malay language and custom in his nation.” Tuanku Bolkiah, Sultan Brunei, mengikut Christian Sylt dari The Guardian (Isnin, 4 November) dianggar mempunyai aset 20 bilion Pound Sterling. Dalam liga bilionair, Pound Sterling atau dolar Amerika, saya kira baginda berada dalam first division (division pertama).

Waktu saya dalam “buangan” di UK  awal 1980an, saya terkejut dan berasa terhormat Tuanku Bolkiah tegur dan bersalaman dengan saya di surau pelajar Malaysia di Bryanston Square; dan beberapa tahun selepas itu berpeluang menghadapnya dalam majlis santapan malam diraja meraikan hari keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar Pekan.

Saya berada di London apabila Sultan membeli Dorchester Hotel di Park Lane.  Reaksi saya ketika itu, "delighted that not only Arabs can buy trophy properties in London”. Saya juga bertanya diri sendiri; kenapa Tuanku tidak beli Harrods? (dibeli oleh Mohamed Al Fayed).

Kenapa Tuanku tidak beli akhbar? Masa itu The Daily Express dan The Independent berada dalam market. Saya juga mencadangkan kepada Daim Zainuddin, waktu itu Menteri Kewangan kita dan Ananda Krishnan membeli sama ada The Independant atau The Daily Express untuk menjadi “suara kita” di UK dan Eropah Barat. Satu peluang keemasan terlepas.

Media dan korporat British juga kenalan Mat Salleh saya konsensus menegaskan Sultan Brunei “overpaid” yakni membeli Dorchester Hotel terlalu mahal.

Saya meradang walaupun mereka tidak berkata demikian nuansa perkataan dan nada ungkapan mereka seolah baginda “tertipu”! Darah Melayu saya naik, “you wait and see. The Sultan will have the last laugh.”

Maksud saya walaupun mereka menyangka demikian saya yakin Tuanku Sultan Brunei telah melakukan pembelian yang bijak.

Hampir tiga dekad telah berlangsung Sultan Brunei boleh mentertawakan mereka yang menganggapnya tidak bijak membayar  begitu tinggi. Sekarang siapa yang bodoh! Siapa yang ketawa ke bank! Saya suka menambah sedikit, “He who laughs last laughs loudest!”   

Apabila membaca Financial section of The  Guardian -saya jarang berbuat demikian- lo and behold terpapar tajuk berita “sitting pretty Dorchester Hotels take record 304  million Pound Sterling.” London kini mengalami ledakan ekonomi, segala aktiviti melambung... terutama perhotelan, perumahan, restoran, teater, hiburan apa lagilah di kawasan elit seperti Mayfair, Belgravia, Knightsbridge, South Kensington, Chelsea dan Piccadilly.

Saya tumpukan kepada satu kawasan sahaja, Mayfair. Dorchester Group mempunyai 10 hotel berjenama di seluruh dunia termasuklah Dorchester di Park Lane. Mustapa Mohamed dan beberapa ahli rombongan ke Persidangan WIEF telah menginap di Dorchester Hotel. Dorchester Group telah meraih keuntungan 304 million Pound Sterling tahun lepas. Sultan Brunei mengikut Sylt, telah menambahkan lagi bilangan hotel kumpulan Dorchester Group.

Di depan Dorchester Hotel, 45 Park Lane, dulu Playboy Club, kini hotel ala Deco (45 bilik) dipunyai oleh Dorchester Group. Kedua-duanya untung. Sultan Brunei dua bulan lepas telah membeli Hotel Eden di Rome, hotel kesukaan Tom Cruise dan Mel Gibson. Selain dari itu baginda mempunyai hotel di New York, Beverly Hills, Hollywood, Paris, Milan, Singapore dan Kuala Lumpur.
 
Seronok bergelar seorang  bekerja sendiri. Saya seperti orang Korea Selatan, Jepun, Singapura dan Eropah yang lanjut umur yakni 65 tahun ke atas terus bekerja kerana berbagai sebab.

Pertama tak cukup hidup sempurna dengan wang pencen sahaja; ditinggalkan terbiar oleh anak kandungan sendiri (banyak kes seperti ini dalam kalangan orang Melayu Islam pun. Insiden ini meningkat); bosan atau bored apa lagi setelah suami atau isteri meninggal.

Sama ada kahwin atau berpartner sesama tua yang senasib; tidak sanggup, reda menumpang / tinggal di rumah kebajikan. Ada kerana menjaga maruah tidak mahu membebankan anak-anak.

Orang seperti Dr Mahathir Mohamad tidak tahu apa itu persaraan. Saya merancang apabila tidak lagi terdaya makan angin, menulis akan duduk diam-diam di rumah atau dipondok / di masjid. Sebelum itu the world is a stage!  

Anda yang biasa dengan tamadun barat tidak akan terkejut kenapa Broadway di New York dan West End terus makmur dan segar. Teater dan show di London adalah antara daya penggerak (driving force) yang menarik dan membawa ratusan ribu dan million pelancong antarabangsa yang menjadi UK destinasi favourite mereka. 

Tahun lepas sahaja tiga juta pelancong antarabangsa menonton musical, play, ballet dan opera di West End. Ramai menziarahi tempat kelahiran Shakespeare di Stratford -upon- Avon di mana kini mereka boleh menonton pementasan Richard 11.

The Lion King adalah yang paling popular di kalangan pelancong. Anda akan terkejut lebih ramai pelancong seberang laut pergi ke teater dari menonton perlawanan bola sepak dan ragbi.

Kelmarin (Selasa) di Covent Garden, West End. Selepas itu pergi ke Waterstone (kedai buku) di Piccadilly, makan di Mayfair; ke Harrods di Knightsbridge beli ikan bilis (whitebaits) yang sudah goreng di Food Hall. Kemudian pulang ke tempat hinggap.

 Chrismas - walaupun dua bulan lagi - sudah pun tiba di Harrods, Bond Street, Regent Street dan juga di Oxford Street yang amat popular dengan pelancong Malaysia selain dari Queensway. Saya dapati ramai pelancong Malaysia di Marks and Spencer, Selfridges, Primark, Whiteleys dan di outlet di Bicester di Oxfordshire.

Harrods, “the best known corner shop in the world” kata Speaking “is now owned by the Qataris after they paid Al Fayed  1.5 bilion Pound Sterling three years ago.”  Harrods kini begitu untung hingga dapat memberi dividen sejumlah 100 milion Pound Sterling kepada tuan punyanya tahun lalu. 

Seperti Sultan Brunei, saya kira Qataris  pintar dan bijak berniaga dan are laughing their way to the bank!

Anda mahu hantar hamper Harrods kepada siapa-siapa? Kekasih, menteri atau bos? Tidak mahal bagi OKB-orang kaya baru. Bukan orang Kota Bahru! Hamper yang termahal pun baru 20,000 Pound Sterling saja! Yang sederhana dan amat sesuai dengan tok guru, ustaz dan ustazah serta mentor agama anda adalah minyak zaitun disadur (infused) dengan 24 karat gold flakes yang boleh dimakan. Harganya murah sahaja -750 Pound Sterling satu botol!

Saya selalu ke Harrods berjalan kaki mahu selamatkan tambang black taxi bagi membolehkan saya beli ikan bilis British berharga 4 Pound Sterling sekali makan (bagi saya) dan masalodeh ala India utara (tidak begitu garing seperti yang terdapat di Kuala Lumpur). Harganya 1.50 Pound Sterling atau lebih kurang RM7.50 sebiji!

Jumaat lepas, solat fardu di surau kedai makan Khan di Queensway. Khutbah imam muda Pakistan peranakan London bagus, ringkas dan padat dalam bahasa Inggeris tanpa pelat.

Surah yang dibaca pun pendek sahaja. Jemaah ramai Melayu, termasuk pegawai Pejabat Pelajar Malaysia dan pelajar sebab musala di Malaysia Hall dalam renovasi. “Kita menumpang bersolat di sini.

Zaman Tan Sri dulu surau kita di Bryanston Square luas dan selesa, sekarang sempit. Kemajuan yang dibawa oleh Kerajaan Hadhari” kata seorang diplomat kita kepada saya. Kerana tidak mahu memburukkan Kerajaan Hadhari dan pemimpinnya yang kebetulan menghadiri Persidangan WIEF, saya senyum sahaja.

Habis makan di kedai Khan - nasi putih dan kari ayam dan satu botol coca cola berharga 4.50 Pound Sterling, harga murah untuk jemaah, saya pergi ke Whiteleys. 

Di situ, seorang juru jual, gadis gedempol dari Rumania memujuk saya membeli sabun kesukaan Siti Nurhaliza. Saya terpukau kerana si gedempol itu bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih.

Saya pun beli bukan satu jenis barang tetapi tiga! Saya bertanya “awak belajar bahasa Melayu di mana?” Jawabnya “boyfriend orang Brunei tetapi sudah pulang.” Tiada sebab dia berbohong kepada saya. Saya puas hati. Ada jurujual keturunan Melayu di KL pun tidak boleh bicara dengan begitu pintar dan memukau dalam bahasa kita.