SEJAK mula mengisi kolum Khalifah Bisnes, saya banyak menulis mengenai GLC, menegaskan peranan penting GLC dalam pembangunan masa depan negara.

Pengalaman kerjaya lebih tiga dekad di Johor Corporation (JCorp), sebuah GLC Johor, meyakinkan saya terhadap peranan strategik GLC membela kepentingan warga majoriti bawahan Malaysia, terutama orang Melayu.

Bukan sahaja Melayu, malah semua warga Malaysia mesti mempertahankan GLC daripada dicerobohi, dirosakkan atau dikompromi-politikkan. Dalam suasana ekonomi dunia didominasi bisnes, aset dan bisnes GLC sumber strategik pembangunan masa depan ekonomi negara.

Justeru, rakyat Malaysia wajib bangkit mementang habis-habisan jika terdapat rancangan menswastakan atau memperibadikan aset dan bisnes GLC, tidak kira kepada siapa.

Lagipun aset dan bisnes GLC milik institusi amanah warisan DEB bertujuan menegakkan keadilan membela kepentingan golongan warga majoriti miskin, berpendapatan rendah dan sederhana semua kaum.

GLC juga berupaya membanteras pembolotan harta kekayaan negara oleh segelintir warga swasta kaya-raya kesan sampingan sistem kapitalis liberal rakus dan nafsu-nafsi.

Amanah ini wajib GLC sempurnakan untuk melindungi hak dan kepentingan generasi muda Malaysia yang semakin terancam kehidupan dan tidak menentu masa depan.

Justeru, laporan akhbar nasional bahasa Inggeris The Star 5 Mei 2014 mengenai cadangan JCorp menjual 51 peratus ekuiti dalam syarikat Damansara Realty Bhd (DRealty) wajar mendapat perhatian serius masyarakat.  

Laporan disiarkan bertajuk: “Daing Malek tightens grip on DRealty” (Daing Malek ketatkan genggaman ke atas DRealty).

Akhbar The Star keluaran 3 Mei pula memberi komentar terhadap terma dan kaedah penjualan DRealty oleh JCorp.  

Di bawah tajuk “Is JCorp getting the best value?” The Star persoalkan kaedah jualan, menyatakan kemungkinan JCorp tidak mendapat nilai terbaik. Tegasnya, JCorp sepatutnya panggil tender terbuka mendapatkan harga terbaik memaksimumkan pendapatan.

Peristiwa JCorp menjual saham majoriti DRealty, iaitu salah satu syarikat tersenarai miliknya, membawa implikasi sangat besar bukan hanya kepada JCorp, malah terhadap peranan masa depan semua GLC amanah.  

Sangat penting masyarakat menyedari implikasi besar, memahami dan menilai baik buruk kesannya, terutama terhadap survival ekonomi bangsa Melayu dan impaknya ke atas kepentingan masa depan semua warga majoriti Malaysia golongan bawahan.  


Amalan korporat nafsu-nafsi?

Penjualan DRealty sebenarnya kali pertama dalam sejarah JCorp melepaskan pegangan majoriti syarikat tersenarai miliknya.

Jualan ini juga bermakna JCorp menswastakan DRealty.

Apabila langkah penswastaan dimulakan, ia membuka ruang kepada syarikat lain milik JCorp, seperti Kulim Malaysia Bhd, KPJ Healthcare, KFC dan Pizza Hut semuanya diswastakan satu hari nanti.  

Penswastaan bertentangan dengan prinsip amanah asas penubuhan atau raison detre JCorp yang sepatutnya JCorp pertahankan dalam apa jua keadaan sekalipun. Lagipun Melayu wajib belajar daripada sejarah. Jika tidak, tragedi demi tragedi akan terus Melayu ulangi.  

Bukankah dasar penswastaan sumber utama kebocoran milik ekuiti Melayu, melemahkan GLC, akhirnya menggagalkan pencapaian DEB? Tidakkah penswastaan punca utama keangkuhan kuasa, kroni dan korupsi, merosakkan perpaduan apabila Melayu semakin rakus, lupa diri, nafsu-nafsi?

Juga penting diperhatikan, penswastaan DRealty turut membabitkan jualan beberapa bisnes “intrapreneur” JCorp berperanan membina barisan usahawan anak bangsa.

Ia mengakibatkan JCorp melepaskan miliknya dalam bisnes pembangunan dan khidmat pengurusan harta, khidmat pembersihan dan penyucian, serta pengurusan parkir milik syarikat Metro Parking Sdn Bhd yang beroperasi bukan sahaja di Malaysia malahan juga di beberapa negara Asean.

Syarikat terbabit memberi khidmat sokongan penting kepada bisnes asas JCorp seperti KPJ dan lainnya. Justeru penswastaan DRealty kepada seorang pembeli terpilih bertentangan dengan semangat membina saf usahawan muda Melayu beramai-ramai berjuang menjayakan agenda DEB melalui program pembangunan intrapreneur JCorp.  
Program ini kaedah JCorp menyempurnakan amanah besar menjana peluang membuka luas pintu bisnes kepada generasi muda Melayu yang tidak mempunyai modal dan pengalaman serta terhad keupayaan bisnes; membimbing dan mendukung daya usaha bisnes mereka hingga berjaya ke peringkat paling tinggi.

Paling mendukacitakan, penswastaan DRealty juga membawa mesej atau signal sangat negatif, berpotensi merosak dan memusnahkan seluruh program pembangunan intrapreneur JCorp.

Jualan mudah dan murah saham majoriti milik amanah JCorp kepada individu swasta terpilih pasti mematahkan semangat eksekutif muda membangunkan bisnes.

Tidak ada eksekutif JCorp sanggup bekerja keras, berkorban jiwa raga mengambil risiko besar membina bisnes kerana menyedari pada akhirnya syarikatnya akan diswastakan dan manfaatnya dikecap orang lain.


Bukan kayakan swasta individu

Penswastaan aset dan harta amanah milik GLC, jika diteliti impak dan dihalusi implikasinya secara mendalam, satu tindakan yang sebenarnya bercanggah dengan prinsip menegakkan keadilan.

Malah penswastaan amnya boleh dianggap satu tindakan merampas hak dan menzalimi kepentingan besar rakyat dan negara, mendahulukan swasta mengetepikan bangsa.

Penswastaan juga boleh dipersoalkan kewajarannya daripada ukuran nilai asasi bangsa. Terdapat pihak menyifatkannya tindakan tidak beretika dan bermoral, juga satu kaedah korupsi tidak islamik apabila harta kekayaan amanah milik majoriti warga Malaysia dipindahkan menjadi milik peribadi individu terpilih.

Kaedah berbau kronisme ini juga menzalimi golongan rakyat miskin apabila harta yang diamanahkan untuk manfaat mereka dijadikan milik eksklusif individu kaya.

Menjual atau menswastakan syarikat GLC juga satu tindakan menepati doktrin sekular-liberal nafsu-nafsi anjuran kapitalisme Barat. Dalam buku “Khalifah ganti Superman” saya istilahkan pejuang dan pengamal doktrin sekular-liberal nafsu-nafsi Barat sebagai golongan “Superman”.

Fenomena Superman membolehkan orang menggunakan kuasa, pangkat, darjat dan kelebihan terbang tinggi mendominasi semua orang lain. Superman perkasa setelah menguasai imaginasi semua orang lain mengiktiraf superioriti dirinya.

Pada saya, ciptaan Superman satu kaedah halus Barat menjajah minda dan mengecilkan jiwa orang bukan berkulit putih memudahkan mereka dijajah dan didominasi untuk dieksploitasi, dengan persetujuan dan izin mereka sendiri!

Tokoh sejarawan Islam Ibn Khaldun pernah menyifatkan satu-satu bangsa ditewaskan musuh tanpa perang setelah menciplak ciri nilai budaya musuh kerana menganggap musuh superior.

Perhatikan: Melayu dan umat Islam pasti selama-lamanya tewas kepada Barat selagi menciplak gaya hidup Barat dianggap superior tanpa berfikir mendalam.

Penjajahan semula Melayu dan umat Islam dipermudah apabila terdapat anak tempatan sanggup memakai baju sekular-liberal dan nafsu-nafsi Barat menjadi Superman ciplak, lupa warna kulit bangsa dan juga lupa daratan.

Dalam konteks penguasaan bisnes dan korporat pasca-merdeka, golongan Superman ciplak anak bangsa terbang tinggi mengguna kaedah dan strategi sama. Setelah semua orang tunduk, takut dan akur, Superman Melayu bermaharajalela menyambar menghimpun sebanyak harta.

Kesimpulannya, bangsa Melayu dan umat Islam, terutama rakyat Johor, mesti bertindak segera menyelamatkan JCorp, sekali gus melindungi GLC. Seluruh warga Malaysia juga mesti bangkit membuang saki-baki doktrin liberalisasi dan dasar penswastaan ciplakan Barat merosakkan.

Bangsa Melayu dan umat Islam khasnya berkewajipan membina semula kekuatan, tetapi bukan dengan menciplak nilai budaya asing janggal, songsang dan kontradiksi.

Kekuatan hakiki dapat dipupuk hanya setelah semua orang berkuasa, juga semua ahli bisnes dan korporat anak bangsa, mengenali jati diri menyusuri akar kembali kepada asas nilai hidup warisan perkasa agama dan bangsa.

Pada akhirnya mereka wajib mengakui semua aset dan bisnes, harta dan kekayaan adalah milik mutlak ALLAH SWT. Justeru teraju dan pengurusannya wajib diserah kepada barisan kepimpinan usahawan entrepreneur atas dasar amanah, menjayakan bisnes menjana ekonomi bertujuan menegakkan keadilan dan memakmurkan kehidupan menepati sepenuhnya matlamat Maqasid Syariah - bukan diserah kepada individu rakus dan serakah!