SEORANG putera, pada amnya, mempunyai banyak (atau sedikit) ciri bapanya. Pendapat Speaking, “a son is normally characterised by or regarded as inheriting a certain quality, trait, occupation and sometimes even looks and attribute of his father”.

Maksudnya: lazimnya sifat dan perangai baik (buruk), rupa, kerjaya dan kualiti dianggap semula jadi turun kepada puteranya. Sifat yang paling ulung Tun Razak ialah baik hati, sabar, penyayang, pendiam, tidak berdendam dan tahu mengenang budi. Amat sayang pada bangsa, agama dan watannya. Suka mendekati orang kampung dan the underdog. Selalu pilu mendengar ratapan mereka yang terpinggir dan miskin. Tidak bertolak ansur dengan kebenaran dan integriti. Lee Kuan Yew pula, tahan lasak, tekun, tegas, berintegriti tinggi, tidak indulgent yakni tidak menurut hawa nafsu. Seperti Tun Razak amat sayang pada bangsa dan negaranya. Amat fokus, berani, tanpa segan dan takut. Kedua pemimpin ini pintar, bijak semasa di sekolah dan universiti.

Terpenting, kedua mempunyai pandangan jauh (farsighted).

Anak kedua pemimpin - Najib dan Hsien Loong - Perdana Menteri kita dan Singapura nampaknya mempunyai hubungan peribadi dan kerja yang lebih akrab daripada kedua orang tua mereka sebab masa dan keadaan telah berubah dan terus berputar.

Saya bernasib baik mengenali Tun Razak secara dekat sungguhpun tidak kenal Hsien Loong kecuali berjumpa dengannya dalam satu majlis makan malam apabila dia menghadiri dan mendengar ucapan saya di Singapura yang juga dihadiri oleh bapanya, ibunya dan Presiden S R Nathan tentang perkembangan politik Melayu tidak lama dahulu. Saya boleh mendakwa Lee Kuan Yew dan saya are not exactly strangers - kami mengenali antara satu sama lain. Najib? Sejak dia belasan tahun, semenjak Ahli

Parlimen Pekan, Menteri Besar Pahang dan dalam kapasitinya memegang beberapa portfolio sebagai menteri; sebagai ahli Informal Group Umno zaman Dr Mahathir, waktu Najib Timbalan Perdana Menteri hingga kini. Untuk cacatan kaki sejarah - ahli Informal Group tidak sampai 10 orang; semua anggotanya, melainkan saya dan Allahyarham Tan Sri Noordin Sopiee, adalah menteri kanan.

Mengikut pembacaan dan perhatian saya, serta body language, nampaknya perhubungan antara Najib dan Hsien Loong (petah dalam Bahasa Inggeris, Mandarin dan Bahasa Melayu dan saya percaya juga dalam bahasa lain) baik. Kata Speaking: “they seem to enjoy good rapport” yakni perhubungan mereka agak erat. Apa pun, semenjak kedua memimpin, hubungan dua hala Malaysia dan Singapura sudah pulih. Business -like and realistic.

Kalau umur panjang, saya mahu sering ke Pulau Temasek hujung minggu, seperti waktu saya bujang, mengguna Speed Rail (kereta api laju) dari KL ke Singapura yang hanya makan masa selama 90 minit - ajaib dari perjalanan sekarang enam jam kepada hanya satu jam setengah. Jika rancangan kereta api laju dan juga jambatan persahabatan jadi kenyataan, dan saya rasa akan terlaksana mungkin sebelum 2020, kita akan melihat hubungan dua hala lebih rapat dan akrab pada dua negara yang asalnya satu. Satu connectivity atau satu rangkaian yang akan memesrakan dua jiran yang mempunyai sejarah yang sama dan mungkin masa depan sama satu hari. Apabila kereta api laju dan jambatan persahabatan wujud, satu era baru akan wujud - mereka yang lambat berubah akan lebih ketinggalan lagi.

Hsien Loong, 62, dan Najib satu tahun muda, dijangka memimpin negara masing-masing lama. Kedudukan Hsien Loong lebih kukuh daripada Najib namun jika Najib pintar, berani dan beriltizam kuat, kedudukannya juga bisa jadi kukuh kalaupun tidak sekukuh seperti rakan sejawatnya di selatan Semenanjung. Kalau Peribumi terus terasa mereka terpinggir, mereka akhirnya bertindak seperti Cina dalam PRU13. Sebagai seorang practising Muslim, Melayu dan ahli Umno, saya tidak mahu Umno/BN kalah. Seperti kata Dr Mahathir kepada saya apa guna jadi presiden sebuah parti pembangkang? Ini nasihat jujur saya. Jika pemimpin ada perasaan takut dan tidak selamat atau a sense of insecurity ,ia akan membantu Najib dan Umno merancang untuk terus berkuasa.

Sama ada pepatah like father, like son tepat-yakni sama ada watak, tindak-tanduk Najib dan Hsien Loong merupai bapa mereka terpulanglah kepada anda untuk membuat penilaian. Pada saya, ada merupai bapa mereka, ada juga tidak.

Menyingkap balik masa silam, masa yang lebih sejahtera, saya terkenang kepada budi baik mentor saya, Tun Razak dan juga persahabatan yang ditunjuk oleh Lee Kuan Yew, khususnya antara tahun 2000 hingga kini. Hati saya gembira, puas hati kedua tokoh telah memberi saya satu harga diri, satu status yang mereka iktiraf. Mengenali kedua menjadi kebanggaan. Kedua mereka adalah ketua kerajaan dan pemimpin politik dan negarawan yang agung di negara masing-masing. Tun Razak pencinta Malaysia dan Lee Kuan Yew pencinta Singapura yang sukar dicari ganti.

Nama, kenangan dan ingatan pada Tun Razak dan Lee Kuan Yew diharap terus menyala dalam jiwa rakyat Malaysia dan Singapura. Satu bangsa yang tidak tahu kenang budi pemimpinnya dan tidak menghargai pengorbanannya dan tidak pula mengenali sejarah tidak akan muncul sebagai bangsa yang gagah dan berjiwa besar dalam erti kata sebenarnya. As someone says, the real test of a leader is that he leaves behind in other men and women the conviction and the will to carry on. Saya fikir, Tun Razak dan Lee Kuan Yew sudah berjaya meninggalkan legasi ini.

Kurik Kundi Merah Saga
Kalau anda ke Kota Bahru,
Jangan petik bunga di taman;
Jika anda berjanji begitu,
Kita berdua boleh bersalaman.

Batu belah batu bertangkup,
Hendak makan ikan tebakul;
Dari awal saya tak takut,
Berani buat berani pikul.

Bismillah mengepal nasi,
Nasi panas dikepal jangan;
Bismillah memulakan mengaji,
Baca salah dikeji jangan.

Mana perginya pisang jantung,
Hendak dimasak santan kelapa;
Kalau kita mati digantung,
Kerana agama tidak mengapa.