LONDON, Rabu 2 Oktober – Saya tiba di ibu kota Inggeris ini tepat pada masanya untuk mendengar ucapan David Cameron pada Persidangan Parti Conservative. Ia, bersama Liberal Democrats, memerintah United Kingdom.

Satu ucapan bersemangat, komitmen untuk memenangi pilihan raya akan datang, dijangka dalam masa setahun dua lagi. Conservatives berhasrat untuk memerintah bersendirian, tidak mahu kerajaan campuran seperti sekarang.

Dalam respons langsung kepada Ed Miliband, pemimpin pembangkang Labour di parlimen, yang menentang keras perniagaan besar, khasnya firma-firma tenaga (energy), Perdana Menteri Cameron bermati-matian mempertahankan perniagaan besar, bersemangat menghujah bahawa hanya perniagaan besar dan konglomerat boleh menjadikan UK sebagai ‘benar-benar bumi bertuah untuk semua orang’.

Britain bukanlah sebuah negara yang sempurna, tetapi ia tidak berpecah sesama sendiri,. Sekurang-kurangnya kerajaan British tidak dalam keadaan tergantung atau separuh lumpuh seperti rakan karibnya, Amerika Syarikat.

Sungguh pun Britain mengamalkan sistem kelas, masyarakatnya tidak begitu, pada hemat saya, tidak berpolarisasi yang keterlaluan seperti pandangan rakyat Amerika ke atas ekonomi, politik dan urus tadbir.

Saya akan berada di New York pada 16 Oktober dan akan menulis mengenai hal ehwal negara itu nanti. Saya memuji sistem kerajaan Amerika selama ini, apabila ia berjalan lancar. Bagaimanapun kerajaan dan ekonomi Amerika kini menghadapi tentangan yang amat kuat daripada rakyatnya sendiri.

Walaupun keadaan nampak tenang tetapi ia sebenarnya tidak begitu apabila kerajaan berhadapan dengan masalah meluluskan bajet seperti sekarang.

Cameron yang akan ditemui oleh Najib Tun Razak hujung bulan ini, mengalu-alukan pemilikan kekayaan dan menegaskan dengan jelas, bahawa “keuntungan bukanlah satu istilah kotor.” Kedua pemimpin tersebut, saya agak, adalah daripada acuan yang sama.

Najib sedang berusaha keras untuk mewujudkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ditinggalkan kepadanya untuk dibersihkan! Tentu Najib akan bersetuju dengan Cameron bahawa hanya perniagaan besar, perusahaan kecil dan sederhana akan dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan kekayaan.

Najib, saya difahamkan, akan juga mengadakan pertemuan dengan Boris Johnson, Datuk Bandar London yang disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai berpotensi menjadi Perdana Menteri Britain yang dalam waktu sama mungkin lebih mengetahui hal sebenar daripada menerimanya terlalu serius.

Semasa Persidangan Parti Conservative di Manchester, banyak kedengaran suara menyebut “sahabat ku Perdana Menteri, David Cameron” demikian juga sama banyak dengan “untuk sahabat ku, Datuk Bandar London, Boris Johnson.”

Cameron berkata beliau akan mengalu-alukan semula Boris Johnson dalam parlimen pada pilihan raya akan datang. Langkah ini, sekiranya diterima oleh Johnson, akan menjadikan beliau sebagai calon utama menggantikan Cameron sebagai pemimpin
Conservative dan Perdana Menteri, di samping George Osborne, Menteri Kewangan atau dikenali sebagai ‘Chancellor of the Exchequer’.

Bagaimanapun, akhbar The Times, dalam satu rencana pengarangnya menyebut bahawa hanya setelah Johnson menolak atau mengetepikan cita-citanya itu, barulah beliau layak untuk menjadi pemimpin, memandangkan ada pandangan kononnya
Johnson percaya bahawa negara wujud untuk menjayakan cita-citanya, sementara orang lain wujud untuk menjayakan cita-cita negara mereka!

Adalah jelas bahawa The Times mahu beliau menamatkan penggal penuh sebagai Datuk Bandar, dan bukan untuk menjadi Perdana Menteri pada 2015. Sejak zaman persekolahan dan universiti dua tokoh ini dianggap sebagai musuh, walaupun kini mereka kelihatan seperti ‘dalam percintaan’. Speaking kata, “it’s a mere marriage of convenience and not a love match”.

Sungguhpun ekonomi United Kingdom (UK) masih bertahan rakyatnya - terutama orang biasa - tidak jelas menikmati dasar ekonomi kerajaan. Saya dengan ikhlas harap agenda ekonomi Najib dinikmati seramai boleh rakyat agar, kata Speaking,” so that not everyone is driven to the wall by the failure of earnings to keep pace with prices.”

UK, sama seperti Malaysia, berterusan menjadi bumi bertuah dengan seribu satu peluang, juga sebagai madu kepada sebahagian besar pendatang, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak takut untuk bekerja keras dan berminat untuk mendapatkan pendidikan terbaik yang wujud di UK.

Pendidikan bermutu dan menguasai bahasa Inggeris adalah satu aset terbesar, termasuk bagi penduduk asal UK. Tanpa pendidikan berkualiti mereka akan ketinggalan. Bahasa Inggeris bukan sahaja terpenting di Malaysia, Singapura, China dan di mana pun tetapi juga bagi penduduk asal UK sendiri!

Kalau Wilberforce memerdekakan hamba abdi, pendidikan bermutu melonjakkan orang kelas bawahan seperti Magaret Thatcher ke mercu kehidupan melalui meritokrasi.

UK adalah magnet bagi pelancong dari seluruh dunia termasuk orang Malaysia dan Melayu dari desa pun. Penerbangan penuh, kecuali empat kerusi kelas pertama, pada hari Selasa, MH004 Airbus 380 MAS laris dalam sektor KLIA/Heathrow, Heathrow/KLIA juga di mana Airbus 380 digunakan - ke Paris, Australia dan Hong Kong. Jadi, janganlah ‘privatisekan’ MAS!

Satu lagi yang penting: Terus kuasai bahasa Inggeris dan kejarlah pendidikan berkualiti, kerana kedua-duanya adalah aset di mana pun kita berada.