MALAYAN Union dihancurkan dan kemerdekaan dicapai kerana Melayu Islam bersatu-padu. Baru 58 tahun saja bebas, agak senang sedikit mereka sudah mulai lupa sejarah, satu petanda tidak bijak dan menakutkan.

Penentang kesatuan Melayu Islam dan perpaduan Peribumi di Sarawak dan Sabah sedang memperkasakan dasar teruji: Pecah dan Perintah. Mereka yang menyokong teori, perjuangan berjaya dan teruji ini makin ramai - terdiri daripada golongan tradisional benci melihat Melayu Islam dan Peribumi maju serta terus memerintah negara ini.

Amat membimbangkan, menakutkan dan berbahaya ada antara mereka ini terdiri daripada Melayu Islam sendiri. Apa pun sebab mereka tidak senang sekali dengan politik status quo- yakni Melayu Islam didahulukan! 

Pada satu majlis tarawih menyambut puasa Rabu lepas, seorang pemimpin telah menyuarakan pada saya ketidaksenangannya dengan keadaan politik sekarang dengan perasaan yang memeranjatkan saya- perasaan meluat dan keras (with vehemence).

“Majoriti bukan Melayu sudahlah meluat dan geram pada pucuk pemimpin kerajaan sekarang.  Majoriti Melayu Islam pun begitu. Kita akan kalah dalam PRU14 sebab perasaan sakit hati, loya melihat tindak-tanduk pemimpin BN sekarang. Bukan kerana sebab lain!”

Agak merunsingkan mendengar pendapat pemimpin ini kerana dia boleh dikatakan masih berpengaruh sebab pemimpin ini lazimnya rasional dan tutur katanya selalu sederhana.

Ketidaksukaannya atau kebenciannya pada pemimpin sekarang seolah-olah juga kebencian rakyat! Tambah pemimpin ini, “rakyat sedar pembangkang lebih teruk lagi walau demikian pun, suka-duka, Najib dan BN mesti ditimpa bala dalam PRU14 semata-mata kerana pengundi sudah terlalu letih dengan Najib / BN.” Atau seperti madah Speaking, "the rakyat have become Najib/ BN fatigue”. 

Saya menjawab PRU14 dua tahun lagi, satu masa yang panjang;  dalam politik satu minggu pun lama. Berbagai perkara  akan timbul, berbagai isu dan kejadian boleh berlaku, dalam dan di luar negara, di luar dugaan dan kuasa kita.

Insiden dan peristiwa ini akan menentukan populariti kerajaan dan Perdana Menteri atau sebaliknya. Seperti saya tegaskan Ahad lalu, political realignment atau persepakatan baru akan berlaku.

Nampaknya realignment ini akan menjadi kenyataan baik dalam kalangan pihak yang bertahan (baca BN) dan opposisi. BN mungkin dapat rakan kongsi baharu! Pakatan Rakyat pula jadi Pakatan Rakyat Baru! Sama-sama kita lihat perkembangan antara sekarang dan PRU14.

Dalam politik, tiada perkara yang mustahil. Ramai Melayu Islam seolah-olah mati jika tidak high profile atau tidak dalam perhatian umum. Antaranya bekas pemimpin, orang kaya baru dan busybodies who are, kata Speaking, neither! Ada yang  sudah menubuhkan parti baharu, ada berura-ura menubuhkan parti baharu atau NGO.

Lebih ramai mengetuai NGO dan think tanks untuk meneruskan perjuangan masing-masing, ada yang berpindah dari kiri ke kanan dan ke kanan ke kiri atau semata-mata mencari kesempatan.  

Ada menyokong DAP, ada bersama BN, Pas, PKR kerana berbagai motif bukan semuanya altruisme. Jumlah parti politik serpihan Melayu nampaknya akan melebihi jumlah parti politik India! Datuk Onn Jaafar, setelah meninggalkan Umno, gagal memimpin IMP (Independence Malayan Party) dan Parti Negara.

Parti Berjasa dan Semangat 46 juga gagal walaupun dipimpin oleh bukan calang-calang manusia iaitu Datuk Mohamed Nasir dan Tengku Razaleigh Hamzah. Tengku Razaleigh disokong oleh dua bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra dan Hussein Onn. Jangan risau.

Melayu Islam yang waras tetap akan bersama sokmo-sokmo dengan hanya dua parti politik Melayu Islam yang berwibawa dan teruji, iaitu Umno dan Pas. Selagi itu kekal Melayu Islam kukuh, lebih gagah lagi  jika ada persefahaman antara kedua parti Melayu Islam ini.

Kecuali Mat Sabu amat bernasib baik dan defies history, saya tidak nampak menubuhkan satu parti baharu sebulan atau tiga bulan lagi akan membawa ekpektasi yang diharapkannya dan kawan-kawannya.

Menubuhkan parti senang. Mengurus dan membiayainya amat sukar kecualilah di belakang mereka ada bottomless pockets yang sanggup mengambil risiko, keuntungan tidak terjamin. Perbelanjaan PRU14 akan memecah rekod dalam sejarah perbelanjaan pilihan raya di Malaysia. 

Dalam PRU12, lebih setengah bilion ringgit dibelanjakan oleh parti pemerintah dan dua penderma telah menderma: yang pertama 300 juta  ringgit dan kedua 40 juta ringgit. Jika ada penderma seperti kedua-dua ini, parti baharu yang mahu ditubuhkan oleh Mat Sabu ada harapan berjaya.

Apa pun satu nasihat yang tidak diminta - unsolicited advice -  Mat Sabu akan lebih berguna pada pembangunan politik Malaysia yang progresif melalui menyertai DAP. Kehadiran Mat Sabu dalam DAP sama ada sebagai pengerusi atau timbalan pengerusi  akan menarik ramai Melayu seperti Mat Sabu pada DAP.

Tingkatkan ukhuwah

Jika anda kakitangan kerajaan gred tertentu dan pesara, anda bernasib baik dapat duit persiapan puasa. Tiada penjawat awam atau civil servants di mana pun bernasib baik seperti di Malaysia.

Mungkin menjelang hari raya, hadiah istimewa pula - duit raya. Saya tidak akan terperanjat jika bonus khas akan diberi untuk civil servants naik haji, mengerjakan umrah. Saya suka melihat kakitangan kerajaan, majoritinya Melayu Islam, perkukuhkan lagi tali persaudaraan antara satu sama lain, bukan dalam bulan Ramadan saja.

Ingat kedudukan politik dan kekuasaan Melayu Islam belum sekuat seperti dijangka, lebih mitos dari realiti; ekonomi terus lemah dan taraf hidup mereka terendah.

Dengan dasar pecah belah dan subversion daripada berbagai pihak, dalam dan di luar negara, jika mereka tidak amat berwaspada apa yang sedikit mereka ada akan hilang dan akhirnya akan terpinggir serta menjadi hamba sahaya dan kadam di negara tulen mereka.

Dengarlah pemimpin Melayu Islam denyut nadi hati sebenar rakyat majoriti, jika tidak terimalah padah dalam PRU14!

Kak Wan berkokok, ikhtiar DAP

Jarang sekali Ketua Pembangkang dalam Parlimen dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berbicara. Apabila dia bicara, tepat dan pendek. Dalam satu kenyataan yang berhati-hati dia menegaskan Pakatan Rakyat belum mati walaupun tidak berfungsi.

Mengikut Wan Azizah, kerajaan Pas di Kelantan dan kerajaan DAP di Pulau Pinang akan terus seperti biasa. Di Kelantan, kerajaan sokmo-sokmo Pas - tidak perlu Pakatan. Juga di Pulau Pinang sudah dua penggal kerajaan DAP - tak payah Pakatan.

Di Selangor, ceritanya lain. Jika polemik antara DAP dan Pas tidak terkawal- kedua pihak mahu menegakkan pendapat masing-masing besar kemungkinan Kerajaan Selangor menghadapi keretakan.

Apa pun kerajaan PKR akan terselamat dengan sokongan Pas atau DAP secara berasingan serta ditolong oleh bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan wakil  rakyat BN.

Parti mana pula akan jadi pembangkang jika new realignment berlaku di Shah Alam? Speaking says he will have friendly wagers with anyone which party would be in the opposition.

DAP dalam usaha mahu melembutkan imejnya sebagai parti cauvinis Cina sedang bekerja keras memujuk Melayu yang pada anggapan parti itu, berpengaruh dan berwibawa.

Saya puji usaha DAP ini kerana tanpa penyertaan Melayu yang dihormati oleh masyarakatnya, DAP akan terus gagal dalam percubaannya mahu memerintah di luar Pulau Pinang apa lagilah di Putrajaya.