Selalunya kita, siapa pun mahu menang; tidak ada orang mahu tewas, adakah? Memori kenangan manis masa di Aleppo dan Damascus Syria awal 20an kembali segar. Keazaban rakyat Syria amat memilukan.

Saya ingin pulang ke Syria apabila negara itu pulih kelak - antara negara Arab yang saya senangi. Bila Syria tenteram seperti dahulu bergantung kapan ‘perang proxi’ antara kuasa besar, kuasa wilayah dan permusuhan antara mazhab reda - kalau pun  tidak tamat.

Gendang perang melibatkan kuasa luar sedang dipalu bertalun-talun. Setakat ini hanya cakap besar sahaja, menzahirkan nafsu sahaja.

Apakah fikiran Perdana Menteri British David Cameron tatkala memanggil sidang tergempar parlimen? Dia begitu yakin, saya kira, akan menang sokongan MPs untuk mengampu Presiden Obama menyerang Syria.

Seperti ditegaskan oleh Speaking: “Cameron put his authority on the line – and he lost it... dia mengambil risiko meletak autoriti, wibawanya – dan tewas.”

Mengikut ahli akademik ini adalah kekalahan pertama bagi seorang Perdana Menteri British  – di mana usulnya untuk memulakan peperangan ditolak oleh parlimen  – semenjak pertengahan kurun lapan belas. Malu. Ada hadiah sagu hati: a fairly honourable defeat; aib tetapi tidak keterlaluan. Contengan arang di muka Cameron tidak begitu tebal. Kalah (out), but not down.

Adakah ini petanda kepimpinan Cameron kian tercabar? Bisakah dia pulih (recover) dari peristiwa itu? Boleh; tetapi hanya kalau dia belajar dari kegagalannya: Lebih merendah diri, lebih accessible yakni senang didatangi dan dijumpai; lebih mendengar dari bercakap, lebih berbincang; meminta dan menerima nasihat iaitu lebih konsultatif.

Kepimpinan kita wajar mengambil iktibar dari apa yang berlaku pada Cameron – jangan ada pengundian dalam Dewan Rakyat tanpa undi terjamin dalam tangan. Kerajaan Cameron, seperti kerajaan kita, sebuah kerajaan campuran. Ada MPs kerajaan hatta beberapa menteri - apa sebab pun - tidak hadir, yang hadir tidak mengundi!.

Dalam kerajaan campuran risiko ini sentiasa wujud. Dalam politik juga bisnes, NGO, kelab dan organisasi asas kontrol, kepimpinan atau ‘ketuanan’ adalah bilangan, angka atau nombor.

Pemilihan calon, kemenangannya, memenangi pilihan raya umum dan pembentukan kerajaan, bagaimana Perdana Menteri kontrol parlimen, parti dan kuasanya, semuanya bergantung pada jumlah bilangan dalam tangan.

Antara operatif – kalau pun tidak terunggul – bagi meneruskan leadership, pengawasan dan kontrol ini adalah setiausaha politik perdana menteri. Tegas Speaking: “the critical nexus in Tun Razak’s or Dr Mahathir’s political operation was between the political secretary and PPS (Principal Private Secretary) to him – the two (perhaps in addition the third man would be the Media Secretary) who were the eyes and ears to the Prime Minister... mereka penghubung, mereka mulut, mereka telinga dan mereka mata Perdana Menteri”.

Setiausaha Politik, terutamanya, mestilah seorang yang taat setianya tidak berbelah bagi, lebih terpenting berbakat, berintegriti, tegas, berimaginasi, senang didatangi dan fleksibel.

Tidak bermuka-muka, jujur, berani tanpa segan memberitahu Perdana Menteri perkara sebenar... hitam jangan dikatakan kelabu apa lagi putih! Justeru seorang setiausaha politik mestilah seorang yang konfiden dan secure yakni tidak takut hilang kerja dan bukan tukang gilap kasut bosnya.

Maaflah kalau saya bercakap demikian. Saya bicara dari pengalaman selama 14 tahun berkhidmat secara dekat, intim dan berkongsi pendapat dan rahsia dengan arwah Tun Razak, satu period berterusan dari hari memulai tugas (1962) hingga Tun Razak kembali ke rahmatullah (1976).

Begitulah juga pengalaman setiausaha politik Tony Blair, Perdana Menteri British yang memenangi tiga PRU berturut-turut. Tony Blair, seperti Tun Razak juga Dr Mahathir, sentiasa mempunyai setiausaha politik yang benar-benar Blairite; Tun Razak Razakian dan Dr Mahathir Mahathirite (kecuali seorang yang tidak begitu) itu cerita kemudian hari.

Mesejnya jelas: United Kingdom sekarang bukan UK zaman Margaret Thatcher atau Tony Blair; ia kini sebuah negara yang lebih lemah, lebih terdesak, terhad kepimpinan,  kuasa dan potensinya di dunia antarabangsa.

Begitulah juga Malaysia, BN, Umno bukan lagi seperti era Tun Razak, Dr Mahathir. Maka sesuatu drastik wajib dilaksanakan segera untuk mengembalikan zaman cemerlang, iaitu memenangi PRU dengan senang kerana mendapat sokongan pengundi dalam bandar dan luar bandar pada keseluruhannya.

Masa tidak menunggu sesiapa pun. Waktu bagai pedang, kalau tidak diguna dengan sebaik ia akan memancung tuannya. Penyokongnya sendiri mengundi bersama Parti Buruh (Pembangkang). Hujung minggu Cameron jadi tuan rumah di Chequers, di Buckinghamshire, rumah peranginan resmi Perdana Menteri British; antara tetamunya adalah mereka yang menentangnya.

Jemputan telah dihantar lama sebelum peristiwa yang berlaku dalam Parlimen. Orang bersopan begitu - Jangan tarik balik jemputan yang     telah lama dihantar dan diterima bagaimana pahit pun.

Jemputan berbuka puasa pada saya ditarik balik apabila saya dibuang dari NSTP November, 2003. “Small minded’, kata Speaking.

Suka duka, United Kingdom, - khasnya Cameron ketika ini terasa ‘terhina’ tetapi sayugia diingat UK dan Cameron mungkin ‘out’ berperang di Syria tetapi UK terus sekutu Amerika terdekat.

Jangan terpedaya. UK belum lagi ‘down –and - out’ yakni tidak papa
kedana tidak lagi berpengaruh. Masih berwibawa.