KESEMPATAN, peluang dan opportunists yang bijak mengeksploitasikan sesuatu dalam kehidupan, sama ada di bidang politik, perkhidmatan awam, bisnes, agama dan pendidikan sama saja dengan social climbers, iaitu mereka yang mengejar gelaran, kedudukan, pangkat, bintang dan pingat.

Madah Speaking, "a social climber is a person anxious to attain a higher social status;  social climbing is the action or process of raising one’s social position.”

Anda bacalah  media sempena hari keputeraan sultan, raja, gabenor, Yang di-Pertuan Agong dan Hari Wilayah Persekutuan  dan bacalah dengan senyum iklan itu.

“Social climbing is a huge business here,” stresses a newly-elevated datin who aspires to eventually become Puan Sri. Barangkali melalui suami yang kedua!

Dalam proses meningkatkan kedudukan masing-masing ramai mengorbankan prinsip untuk expediency atau memanfaatkan situasi  walaupun mungkin tidak betul, tidak adil dan melakukan sesuatu yang memalukan.

Sifat opportunists dan perkataan opportunist mula memasuki political lexicon kita dan jadi popular awal 50an tatkala kita berjuang untuk kemerdekaan dan kemuncak Perang Dingin (Cold War) antara Barat dan Blok Komunis.

Siapa opportunists?

Mereka yang sedang meningkat, berprofil tinggi, ambitious (bercita-cita tinggi), kontroversial, gila publisiti, ketagih kurniaan kerajaan (federal dan negeri) dan universiti. Ada antara manusia yang begitu bernafsu mereka sanggup memburu dan menerima hatta gelaran dan ijazah palsu pun.

Dalam politik seorang opportunist mengubah pendiriannya sekerap ia menukar baju dan seluar, mengikut angin, seperti ditegaskan oleh Speaking, "he or she becomes all things to all  men and women”  yakni bermuka-muka demi mendapat apa yang dikejarnya.

Ramai opportunist lazimnya terdapat dalam parti pemerintah, baik Umno/BN, DAP, PKR dan Pas. Bilangan opportunists kurang dalam parti pembangkang yang belum berasai nikmat kuasa.

Ada juga orang berubah pendapat dan prinsip kerana telah sedar kesilapannya tatkala minda mereka dewasa atau matang. 

Baiknya! Mereka ini bersedia mengakui kesilapan. Ada juga suka flip flop iaitu gemar menukar ideologi, perjuangan yang agak radikal sebelumnya seperti seorang pemimpin kanan Umno memasuki Pas atau pemimpin Pas meninggalkan perjuangannya untuk bersama Umno atau PKR. Mereka ini terbalik atau reverse gear.

Sebenarnya dalam politik, jika anda mahu berjaya janganlah mengikut sangat minda dan logik! Lebih bijak ikut angin, berpendekatan fleksibel. Apalah lagi pandai pula mengampu. Ikutlah nasihat ini buat kata mat salih "blow hot and cold with the same breath." Jual murah kejujuran, jiwa, dan sukma kerohanian anda.  

Apa pun perkataan opportunist adalah satu pejorative, satu ungkapan yang hina justeru elaklah dituduh opportunist. Bisa berjaya - sungguhpun jarang - tanpa dipandang hina oleh masyarakat.
               
Obama Oval, mengimbangi antara China dan AS

Walaupun populariti Barack Obama di negaranya sendiri menurun, Obamamania  berlaku di Jepun, Korea Selatan, Filipina, apalah lagi di negara kita.

Euphoria, kegembiraan menerima Obama terserlah. Kali akhir seorang pembesar Amerika Syarikat melawat kita adalah bekas Naib Presiden Al Gore lewat 1988, tersohor dengan sokongannya secara lantang pada gerakan reformasi menentang Dr Mahathir Mohamad dan membela Anwar Ibrahim yang baharu dipecat oleh perdana menteri.

Selama 48 jam Obama tetamu kita, dia nampak menghormati hostnya, Perdana Menteri Najib Tun Razak. Hubungan dua hala antara kita dan Amerika dikira baik.

Lawatan Obama telah mempererat lagi persahabatan dan perhubungan kita dengan Washington DC. Tunku Abdul Rahman Putra dihormati oleh Presiden Dwight Eisenhower juga Presiden Lyndon B Johnson. Dr Mahathir Mohamad tidak begitu rasi dengan George Bush atau Clinton angkara peristiwa Al Gore mengecam hostnya Dr Mahathir.

Najib dan Obama  kelihatan mesra, kedua memuji dan mengangkat satu sama lain.

Najib akan ke Beijing akhir bulan ini sempena memperingati  terjalinnya perhubungan diplomatik antara Beijing dan Kuala Lumpur yang ke-40 tahun. Sebaik pendekatan, Najib harus dipercayai oleh kedua belah pihak, iaitu Amerika dan China.

Ada orang berpendapat lawatan Najib ke Beijing kerana peristiwa MH370 dan reaksi rakyat China tidak begitu “opportune”, dalam bahasa kita, tidak sesuai dengan masa dan keadaan. Apa pun rancangan lawatan ini telah dijadualkan lama sebelum tragedi MH370.  

Sempena lawatan Obama ke Pusat Sains dan Inovasi di Cyberjaya, medan pusat itu telah diberi nama Obama Oval. Jelas "a level of trust between Obama and Najib has developed” mengikut Speaking.

Saya percaya Najib dengan pengalamannya akan berjaya menguruskan the delicate balance antara Beijing dengan kita dan antara kita dan Washington. Kan Najib berpengalaman mengurus isu sensitif antara Peribumi, Cina dan India. Maka menguruskan hubungan kita dengan dua kuasa besar ini gampang.

Wajar dan lebih bijak kalau Najib memfokuskan hubungan masa depan dan bukan pada masa lampau. Diplomasi dan realpolitik berubah dari semasa ke semasa. Kita mesti ingat, pada akhirnya kepentingan dan keselamatan negara kita mesti didahului dari segala-galanya.

Begitu juga dengan China dan Amerika Syarikat. Kesejahteraan mereka lebih utama daripada kesejahteraan kita.

Dari pondok ke kemuncak politik Thai

Dr Surin Pitsuwan atau Dr Abdul Halim Ismail, bekas menteri luar Thailand, adalah beberapa kerat Thai/Melayu/Islam  yang telah hampir sampai ke kemuncak pemerintahan negara mereka.

Dr Surin memang seorang insan luar biasa dan aneh: dari pondok ke Harvard, profesor, menteri luar Thailand dan Setiausaha Agung Asean. Seorang contoh yang harus jadi ikutan bagi orang kita. Orang Islam di Thailand dari segi kejayaan politik dan kerjaya jelas lebih berjaya daripada “our brothers-and-sisters-in-Islam” di Singapura.

Thailand sudah ada ketua Angkatan Bersenjatanya keturunan Islam, menteri luar dan menteri dalam negeri juga speaker Parlimen.

Presiden pertama Singapura, Yusoff Ishak berasal dari Taiping. Tiada Melayu Islam Singapura setakat ini yang mengetuai kementerian kanan. Mungkin belum ada lagi yang berbakat. Apa pun diharap masa depan mereka mungkin lebih cerah.

Sistem pendidikan ala pondok masih gagah dan bertapak di Kelantan, Kedah dan tanah Jawa yang dikenal sebagai pendidikan pasentran. Juga di Wilayah Selatan Thailand di mana majoriti ummah Islam Thailand tinggal.

Ada juga orang kita yakni Melayu  Malaysia yang berjaya melangkah dari pondok ke Parlimen, hatta jadi menteri besar dan menteri pun. Apa pun  Dr Surin atau Dr Halim adalah contoh dan teladan yang amat baik.

Nota kaki

Sedikit masa lagi, mengikut Financial Times, China akan muncul sebagai ekonomi raksasa dunia mengganti Amerika yang semenjak 1870an ekonomi yang paling dominan.

Tegas Martin Wolf dalam FT May 3, "US hegemony will last for years (to come)". David Pilling pula dalam edisi FT yang sama berkata, "China is already changing the world."

Sebab itu saya selalu tegaskan kita harus berbaik dan berkawan akrab dengan Amerika Syarikat juga China. Memenangi kepercayaan serentak kedua sukar tetapi tidak mustahil.  

Apa pun kedua kuasa besar ini akan terus bersaing hebat dalam ekonomi juga politik dan diplomasi. Amerika masih di depan dalam banyak bidang tetapi China sedang cuba menghampiri atau menyaingi Amerika Syarikat dalam segala bidang. Kepada kita, this is a wake up call.

Renungan
Kain pelekat lipat empat,
Saya letak di atas peti;
Mana mereka tidak lompat,
Kerana dijanji sagu hati.