LONDON, Rabu, 9 Oktober. Di Malaysia kebanyakan tulisan biasanya untuk menyedapkan diri penulis, atau buku yang hanya memegahkan diri. Adakah di tempat kita tulisan biografi yang menghuraikan semua keburukan dan kebaikan? Saya menunggu buku seperti itu!

Saya membaca dalam akhbar The Daily Mail siri ‘The Real Maggie Or Margaret Thatcher: Power and Personality’ oleh Jonathan Aiken, yang menulis sebuah biografi mendedahkan Perdana Menteri wanita pertama Britain itu, berdasarkan pengetahuan peribadinya dengan Maggie juga sumber penyelidikan terkini.

Aiken mengetahui secara mendalam apa yang hendak ditulis, sebab pernah bertugas dengan Margaret sebagai seorang Ahli Parlimen, dan yang lebih penting, bertemu janji dengan Carol – satu-satunya anak gadis Margaret – selama tiga tahun, di samping menjadi rakan keluarga.

Aiken menulis biografi intim ini dengan penuh sensitiviti, tetapi tidak memasukkan perkara-perkara kecil yang tidak berapa bagus, contohnya, “untuk tempoh dua tahun dia (Maggie) melihat tiga lelaki berbeza...” dan tidak menuliskan kisah beliau dengan tiga jejaka berkenaan.

Ketika belajar di Oxford University, Margaret telah ditinggalkan oleh kekasihnya seorang lelaki tampan bergaya daripada keluarga aristokrat sebab ibu jejaka berkenaan berkata Margaret adalah orang biasa, hanya anak seorang pekedai runcit.

Hubungan asmara itu berakhir dalam masa singkat kerana seperti yang dikatakan oleh Lady Craigmyle, “In trade and science! We know nobody who is in either”, ertinya lebih kurang saya kira seperti yang kita selalu sebut, “pipit dan enggang tidak boleh terbang bersama!”

Apakah boleh saya menulis dengan begitu terus-terang di Malaysia, tanpa sebarang kesan buruk? Pinangan seorang (kini VVIP) pernah ditolak oleh keluarga gadis sebab dia bukan enggang sepertinya!

Jejaka yang dicintai Margaret, Lord Craigmyle, terlepas. Seorang peladang yang mencintai Margaret pula berkesudahan berkahwin dengan kakak Margaret (Muriel). Teringat saya kisah benar tentang seorang kawan: SS mengurat adik tetapi si adik itu tertarik kepada rakan serumah SS. Langsung SS kahwin kakaknya. Apa pun, SS dan kakak gadis yang menolaknya hidup bahagia.

Buku berharga lebih kurang RM145 akan diterbitkan oleh Bloomsbury Continuum akhir bulan ini. Aiken melihat sebalik kehidupan ‘The Iron Lady’ yang hanya diketahui oleh sebahagian kecil masyarakat.

Dalam satu petikan Aiken mendedahkan apa yang telah dilakukan oleh Margaret untuk mencapai cita-cita politiknya, terhadap suami dan anak-anak, yang mengakibatkan keluarganya dalam keadaan sedikit ‘dysfunctional’.

Carol nanti akan menulis, “my mother’s political single-mindedness eclipsed our family and social life”. Margaret Thatcher adalah satu-satunya perdana menteri British yang pernah melawat Malaysia semasa berkuasa.

Tony Blair tidak pernah melakukannya sebagai perdana menteri tetapi selalu ke Malaysia selepas bersara. Margaret dan suaminya Dennis telah meninggal dunia tetapi anak kembar mereka, Carol dan Mark masih hidup.

Biasanya sudah menjadi lumrah bahawa dalam politik tidak ada masa dapat ditumpukan untuk membesarkan anak-anak dan mengeratkan kekeluargaan.

Setelah bersara Margaret pernah memberitahu seorang kawan “kalau saya diberi masa lagi, saya tidak akan masuk politik sebab apa yang telah terjadi kepada keluarga saya.”

Saya ingin bertanya kepada pembaca: adakah anda akan menyertai politik sekiranya anda mengetahui apa yang dilakukan oleh politik terhadap sebuah keluarga?

Di Malaysia ramai orang melibatkan diri dalam politik kerana sebab yang salah – untuk mengayakan diri mereka. Di Barat ramai orang yang pandai dan baik mengelakkan diri daripada politik sebab mereka boleh mendapat duit yang lebih bersih menerusi lain-lain profesion, dan mereka tidak perlu dijadikan bahan dalam media, kepada orang ramai juga parlimen.

Saya kira orang kita suka politik sebab politik adalah laluan mudah untuk menjadi kaya dan boleh berpengaruh dalam masa yang singkat.

Semasa cuti sabatikal ini – melancong, mengaji dan belajar sendiri – saya agak tertarik dengan ‘Cheltenham Literature Festival 2013’ pada hal saya bukanlah tahu sangat tentang sastera. Saya banyak belajar daripadanya.

Dalam pada itu, apakah kita ada, atau apakah kita tidak ada satu festival sastera seperti itu, baik di Lembah Pantai atau di Temerloh? Apa pun adakah anda seorang peminat sastera atau politik? Sekiranya anda ingat anda minat, cuba jawab dua soalan ini:

Pertama: Siapa yang menulis ‘Bismark’, kisah menarik mengenai kehebatan German dan juga Negarawan Eropah  pada abad ke-19?

Kedua: LBJ (Lyndon Baines Johnson, yang terkenal menerusi rancangan tanah Felda LBJ Labu) – satu kisah menarik mengenai seorang lelaki luar biasa; mungkin orang membencinya tetapi pasti tidak menafikan kebaikannya.

Thema Cheltenham Literature Festival seolah-olah ‘Eat books’ Seronok; syok! Apa pun ini ada sedikit ‘teaser’ untuk menguji anda:

Pertama: Niccolo Machiavelli adalah seorang tokoh di bandar mana?

Kedua: “History will be kind to me for I intend to write it.” Siapa yang menulis ini?

Jawab: 1. Florence. 2. Winston Churchill.

Sekiranya Najib Razak mahu sejarah berlaku adil terhadapnya, lebih baik dia sendiri menulis sejarah itu.