Shah Alam Sabtu 13 Disember: Betul atau tidak benar saya tidak pasti. Dengar cerita daripada sumber yang sahih ada seorang pemimpin gagal masuk Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya kerana gagal peperiksaan statistik, langsung ditawarkan tempat di
Fakulti Pengajian Islam.

Apa pun dia akhirnya berjaya dalam kerjaya politiknya jika ukuran sukses adalah jawatan dipegang bukan legasinya. Saya belajar sambil lalu membaca statistik sebab kebolehan membacanya penting dalam politik, bisnes, journalisme juga dalam pentadbiran.

Saya terbaca dalam The Star, “The Star is tops again" maknanya edaran dan jumlah pembaca akhbar The Star juga e-papernya terus meningkat (28 November). Keesokan harinya Utusan Malaysia menegaskan, "Mingguan Malaysia kekal nombor satu” antara akbar bahasa Melayu. Kedua-dua penerbitan bukan memuji diri sendiri, kedua-dua sekadar menyiarkan statistik yang dikeluarkan oleh organisasi bebas.

Mereka bukan sahaja berhak berbuat demikian, bahkan mesti menghebahkan berita baik itu. Saya sentiasa memuji-muji, melahirkan kesyukuran kepada ALLAH SWT atas kemurahan dan perlindunganNya kepada saya dan keluarga.

The Star dan akhbar lain, dalam apa bahasa pun, terus relevan walaupun wujud kemajuan yang berterusan di alam informasi teknologi. Mengikut audit mutakhir - Audit Bureau of Circulations (ABC) Malaysia cetakan sirkulasi dan jualan The Star antara Januari-Jun 2014 meningkat kepada 291,068 dan Sunday Star pula kepada 293,195.

Sirkulasi The New Straits Times terus merosot kepada 74,711, merudum dari 115,570. New Sunday Times pula edaran dan jualannya 85,282 merudum dari 132,187.

Sunday Star pula edaran jualannya 293,195 bagi musim Januari-Jun 2014. Digital replika atau e-paper pada masa sama: The Star 81,367 dan Sunday Star 81,498, New Straits Times 3,347, New Sunday Times pula 3,334!

Dalam dunia media bahasa Melayu, seperti didakwa, Mingguan Malaysia terus nombor satu, antara Januari dan Jun tahun ini, edarannya berjumlah 360,919 naskhah; Utusan Malaysia 171,663, Kosmo Ahad 208,435, Kosmo 197,202; Harian Metro 313,690; Metro Ahad 328,700; Berita Harian Ahad 156,835 dan Berita Harian 125,514 naskhah.

Antara akhbar bahasa Cina (Mandarin) Sin Chew mengatasi akbar Cina lain di negara kita jumlah edarannya 365,297, edisi petang pula 14,207. China Press 174,429 naskhah pagi dan 59,284 naskhah petang.

Sinar Harian bukan anggota ABC, tetapi mengikut sumber yang sahih, sirkulasi runcit dan tunai berjumlah pukul rata antara 112,000-120,000 naskhah. Sinar Harian tidak ada bulk sales atau jualan pukal. Portal Sinar Online semakin diminati dalam kalangan pembaca internet.

Kini menurut Malaysia Digital Association (MDA) berdasarkan data yang diperoleh dari comScore Media Matrix(r) Service Sinar Online mencatatkan jumlah pengunjung seramai 931,300 menjadikan Sinar Online portal berita bahasa Melayu yang terbesar dan popular, manakala pengunjung Harian Metro 883,300 dan The Star 828,000.

Daripada statistik ini jelas menunjukkan sungguhpun orang Cina hanya 25 peratus penduduk Malaysia yang kini berjumlah 30 juta, akhbar terbesar di Malaysia adalah akhbar Cina yakni Sin Chew yang edarannya berjumlah 379,507 naskhah edisi pagi dan petang. Juga menunjukkan orang Cina suka membaca berbanding orang Malaysia keturunan lain.

Sungguh pun orang Malaysia tidak ramai menguasai bahasa Inggeris, akhbar Inggeris lebih laris dari akhbar Melayu pada keseluruhannya. Sungguh sedih!

Kenapa demikian? Kata mereka, baik Melayu dan Cina serta India, akhbar bahasa Melayu selain daripada Sinar Harian, sukaduka, “kurang telus dan tidak ada kredibiliti” dan rapat kaitannya dengan kerajaan.

Jika demikian sebabnya kenapa akhbar seperti The Star juga rapat dengan kerajaan dan dipunyai oleh MCA maju dan untung serta diminati ramai termasuk oleh orang Melayu dan Bumiputera?

Pada saya, umumnya orang kita tidak suka membaca; mereka lebih suka mendengar, menonton televisyen, DVD; melayari internet, Twitter dan Facebook.

Sebaiknya kita harus membaca semua pendapat, baik pro dan anti kerajaan agar kita boleh membuat keputusan yang adil dan saksama. Saya akan membela kebebasan membaca dan menulis, tetapi saya harap mereka akan membaca banyak pendapat - pro dan kontra. Kita perlu kepelbagaian perspektif dalam sebuah demokrasi.

Rakyat, termasuk orang Melayu, bosan dengan sesetengah media yang keterlaluan sangat menonjol sesetengah pemimpin dan menafikan pendapat alternatif. Barang kali The Star “lebih profesional" dalam news management atau cara mengendalikan berita.

Pokoknya, The Star mempunyai base yang kuat iaitu jumlah pembacanya besar. Walaupun mereka ini tidak bersetuju dengan pendapat akhbar itu, mereka “taat” pada Star!

Perayaan Tercentenary Worcester College, Oxford University di Kuala Lumpur

Jumaat malam saya dan isteri telah menghadiri jamuan makan malam di Marble 8 sempena perayaan Tercentenary atau perayaan tiga ratus tahun, Worcester (sebutan seakan ‘Wooster’) College bagi alumninya di wilayah Asia Pasifik yang dihoskan oleh DYMM Tuanku Sultan
Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Tujuan saya menyiarkan ini semata-mata kerana untuk menarik perhatian tentang rangkaian antara Worcester College dengan alumninya di seluruh dunia. Begitu juga kaitan antara kolej Oxford dan Universiti Cambridge lain dengan graduan mereka tidak terputus.

Tradisi Oxbridge berlangsung; doa dibaca dalam bahasa Latin oleh Profesor Datuk Sheikh Dr Afifi Alkiti.

Hubungan saya dengan UiTM, Cambridge dan Harvard tidak putus. Bahkan juga dengan MCKK. Saya juga bekas pelajar Universiti Malaya peringkat PhD yang tercicir, tetapi tiada hubungan dengan Lembah Pantai. Di mana salahnya, saya atau universiti?

Licin dan berkilat Majlis istiadat penganugerahan darjah dan bintang kebesaran sempena hari keputeraan ke-69 DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin Idris di Istana Alam Shah, Klang pagi Khamis, saya dapati seperti perhati Speaking, “sleek “ yakni lancar dan baik. Setinggi tahniah kepada Tuanku dan juga mereka yang dimuliakan (ennobled).

Waktu Encik Azmin Ali dilantik Menteri Besar Selangor saya di United Kingdom.

Apa pun wajar Tuanku Sultan Selangor tidak mengurniakan darjah dan bintang kepada menteri besarnya kerana terlalu awal.

Tunggu performance dan keberkesanan Azmin terlebih dahulu.

Reaksi Azmin - saya sempat berbicara ringkas dengannya - amat positif, tidak terkilan walaupun dia dicucuk oleh media sebab dua Exconya (dari Pas) dapat gelaran Datuk - Iskandar Abdul Samad, seorang bekas pelajar MCKK dan Dr Ahmad Yunus Hariri.

Seidealnya, kehormatan dianugerahkan apabila sekian lama memegang jawatan dengan baik kalaupun tidak cemerlang barulah seseorang itu diberi gelaran.

Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak memberi gelaran kepada pemimpinnya. Saya tahu Lim Kit Siang telah menolak tawaran gelaran Datuk Seri daripada Kerajaan Pulau Pinang. Wajar dan tahniah. Pemimpin DAP bukan seperti politikus lain yang suka melobi dan gemar membolot bintang dan darjah dari sebuah negeri ke sebuah negeri.

Jangan “main main" dengan Siam Siapa sangka Harimau Malaya membuat kejutan di Hanoi menewaskan Vietnam yang begitu gagah di Shah Alam (Harimau kalah 2-1). Lagi manis kemenangan itu berlaku di padang lawan.

Nampaknya Harimau kita lebih mengaum dan lebih sukses memburu di luar kampung! Tahniah. Apa pun jangan “main main” di final lawan Thailand. Diharap kali ketiga masuk final membawa tuah