Akrabkan lagi hubungan dua hala dengan jiran seberang, dekat di mata, mesra di hati


SABTU, 7 Februari: Masa persekolahan, saya senang bergaul, bersua; cepat mesra. Sifat setia kawan mesti ada untuk survive dan prosper di sekolah berasrama penuh.

Dalam politik dan kerjaya begitu juga - berpakat, bergandingan, rakan seperjuangan dan berkongsi kepimpinan menuju matlamat yang sama. Apabila gol menjadi rebutan bermulalah salah faham, berpangkal dan berputiklah perselisihan hingga berjauhan;  ada kala bermusuhan dan berdendam.  

Dua puluh tahun satu waktu yang lama di mana saya “dipersarakan" daripada aktif politik akibat tekanan dan kehendak “anak emas” perdana menteri waktu itu.

Dua tahun kemudian, “anak emas” itu disingkirkan. Kata Speaking: “man proposes, God disposes.” Kisah saya berwarna-warni, turun naik seperti yoyo!

Ada yang mahu saya menulis riwayat hidup saya, ada ingin jadikan tesis; ramai lagi suruh saya tulis autobiografi. Saya menolak kedua-duanya dan belum lagi terpanggil menulis autobiografi.

Dalam usia hampir 78 tahun, saya mengambil keputusan untuk tidak lagi menoleh ke belakang, tetapi ke depan. The past is finished. Done. I must move on.   

Riwayat negara juga seperti individu. Apa pun, saya perhati, isu berdekad dulu pun masih juga jadi isu hari ini - terus bergema. Tuntutan multiple pada beberapa pulau di lautan China Selatan, isu pemisah, autonomi; kebangkitan agama menjadi-jadi begitu juga dengan nasionalisme dan etnik dan persempadanan perairan.

Ini antaranya dan semuanya, bak kata mat salih, “All are threatening national and regional stability now as they were then,” yakni mengundang ketidakstabilan dalam negara dan dalam wilayah kita.

Serta dikusutkan lagi dengan isu imigrasi - sah dan haram - tenaga kerja, ekonomi serantau dan perlumbaan menarik pelaburan asing, pelancongan dan berdikari dalam pertahanan dan keselamatan. Keselamatan, pertahanan dan perdagangan terus menimbulkan kegelisahan.  

Kita mengalu-alukan lawatan Presiden Joko Widodo (Jokowi). Semoga lawatan berkenalan dan bermesra hujung minggu lepas memanfaatkan kedua-dua negara serumpun.

Namun dalam hubungan antarabangsa, seperti sejarah membuktikan berkali-kali, kedaulatan, maruah dan kepentingan negara masing-masing mendahului segala-galanya.

Emosi dan kebanggaan sejarah, serumpun, seagama, sebahasa dan lain-lain adalah yang kedua. Lihatlah hubungan antara negara Arab sama Arab, Iran dan Turki serta Arab; China, Taiwan dan Singapura.  

Mengikut berita pagi semalam, diakhir lawatan Jokowi, Indonesia Malaysia telah sepakat untuk melantik Duta Khas selesai isu persempadanan maritim, nelayan memasuki kawasan bertindih diusir, tiada tindakan lain, saluran khas mengambil amah atau pembantu rumah, sekolah Indonesia dibenar di Sarawak, seragam waktu Asean akan disegerakan.

Proton akan membantu membangunkan kereta nasional Indonesia. Semua ini baguslah.

Saya mahu tekan di sini, kedua-dua negara hanya dihormati jika keputusan dilaksanakan seperti dipersetujukan. Dalam hubungan luar tiada sentimen, tiada nostalgia yang ada hanya praktikaliti.

Kisah persahabatan antara negara juga seperti persahabatan antara individu - naik-turun, banjir dan surut berdasarkan perkembangan sosiopolitik, ekonomi, keselamatan dan tekanan geopolitik.

Menoleh ke belakang, isu besar adalah penggantungan Wilayah Asean pada ekonomi global, era 1970-an isu krisis petroleum, pertumbuhan ekonomi dan ketidaksamarataan pendapatan antara negara dan rakyat yakni economic and income inequalities yang terus membesar hinggalah ke era ini.

Indonesia di bawah Presiden Jokowi, baru tiga bulan masuk pejabat. Pemilihannya kata Speaking, "gives a sense of great anticipation towards democratic consolidation, justice, prosperity, security and unity.”

Harapan besar rakyat Indonesia ingin melihat amalan dan tradisi demokrasi diperkukuhkan lagi, keadilan ditegakkan, kemakmuran, keselamatan dan perpaduan serta kesatuan meningkat;  korupsi berkurangan, ketidakadilan sosial dan perbezaan pendapatan tidak berapa; serendah-rendahnya, if possible.

Pada penglihatan kasar saya atau pada permukaan (superficial) atau kulit sahaja, nyata amalan demokrasi di Indonesia lebih nyaring dan bertenaga (vibrant) dengan segala consequences dan musibahnya.  

Demokrasi di Indonesia, nampaknya, memberi kepuasan dan keseronokan  yang dirasai oleh semua golongan.  

Skandal rasuah di kedua-dua negara membingungkan dan tidak memeranjatkan. Bisakah kedua-dua pemimpin, Jokowi dan Datuk Seri Najib Tun Razak bertindak tanpa takut dan segan?

Ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara dan program sosial serta pendidikan akan berkembang lebih cepat tanpa kebocoran, hatta menitis pun kerana korupsi yang keterlaluan.

Selain dari itu, kedua-dua negara harus dapat segera membendung ketidaktoleranan antara puak, agama dan budaya yang agak makin ketara sama ada kerana pengaruh luar apalah lagi jika puncanya dalaman.

Kita di Malaysia kelihatan berpecah-belah sesama serumpun dan seagama; perhubungan antara etnik retak, makin koyak kalau tidak dibendung. Kerajaan mesti lebih berani dengan mereka yang keras kepala seolah-olah mahu meletupkan rusuhan kaum dan agama melalui tindakan, aksi dan kenyataan mereka.

Kedua-dua bangsa asal tidak dihormati sewajarnya secara terang. Apatah lagi di belakang kerana bangsa asal dilihat tidak setaraf, tidak se pendidikan apa lagi pencapaian ekonomi dan iktisas.

Penganalisis bukan bangsa asal juga penganalisis liberal  bangsa asal sendiri secara terang, berani dan nyaring memburukkan kerajaan sebab Malaysia tidak maju oleh kerana kerajaan didominasikan oleh Melayu Islam.

Mungkin mereka betul kerana kerajaan, kadangkala bertindak tidak secara konsisten, seolah-olah ada masa takut dan segan melakukan sesuatu yang wajar dan wajib dilaksanakannya.

Jika Melayu Islam terus dilihat sebagai pengemis politik dan ekonomi  dalam negara sendiri, siapa mahu pandang apalagi mahu memuliakan kita, tanya bekas Ketua Umno dari utara semenanjung.

Tanpa hard power, military/police capability; ekonomi  yang kukuh, reserve negara mega, perpaduan dan kesatuan, perpaduan dan kesatuan negara yang jitu, lebih baik jangan berkokok berlebihan sangat nanti kita ditelanjangkan.

Seperti kata orang tua, cakap besar, omong kosong sahaja. Tidak ada kemampuan untuk bertindak dan  beruntung daripada tindakan itu. Jangan kerana rasa dan emosi badan binasa dan mati.