LONDON 15 November: Bakal Raja Britain, Prince Charles, mendakwa Britons sudah hilang kaitan dengan desa dan tanah.  “Most Britons have lost any real connection with the land”  katanya pada rencana khas dalam Country Life (12 November), majalah mingguan yang mula diterbitkan pada tahun 1897 mendedikasikan, menyayangi dan mengambil berat gaya hidup, tradisi desa, kampung, luar bandar dan pendalaman.

Kerajaan dan Britons, tegasnya, harus memikir lebih serius tentang penduduk, perladangan dan pertanian (farming) di desa. Harus tanya kerajaan kita, setinggi mana nilai diletakkan pada desa, cara, gaya kehidupan orang kampung dan luas serta banyak mana kemudahan kurun ke-21 dinikmati mereka kini.

Setelah dua bulan melihat, menikmati dan mengagumi keindahan landskap England dan kehidupan di desa, minat dan cinta saya pada perkampungan di luar bandar dan pedalaman makin mendalam.

Saya berkhayal (fantasize) mempunyai sebuah cottage  di United Kingdom. Ramai kontemporari saya mempunyai mansion (rumah agam) di desa English. Sebenarnya, di luar London dan kota besar lain, harga rumah dan harta tanah lebih murah berbanding dengan kos rumah dan harta tanah di luar Kuala Lumpur, hatta di luar Kota Bharu pun.

Apa yang mahal dan membebani, kecuali mereka mega kaya, adalah mengurus dan menyelenggarakan (maintenance) mansion dan ladang itu. Saya ada rumah di Kelantan tetapi desa kelahiran saya tidak lagi seperti dahulu.

Kian hari tidak lagi damai dan permai sebab pembangunan dan kehidupan moden. Apa akan jadi pada desa kita? Pinggiran bandar atau suburbia?  
Orang kaya di UK seperti juga di negara maju lain lazimnya mempunyai beberapa rumah - di kota, di desa, di tepi laut, atas  bukit dan di dalam rimba.

Malaysia tidak terkecuali. Ada yang mempunyai banglo, rumah hinggap atau rehat di kampung, di Janda Baik, Genting Highlands, Morib, Pulau Pinang; di Langkawi, Pulau Perhentian; di Bali, Punchak, Singapura hatta di mana pun. Ramai orang Eropah mempunyai harta tanah dan rumah di Malaysia dan juga orang Cina dari tanah besar, Jepun, Korea dan Singapura.

Tempat popular bagi mereka adalah KL dan sekitarnya, Pulau Pinang, Johor, Langkawi, Melaka dan Kota Kinabalu.

Pesara suka tinggal (dan mati) di kampung, di luar bandar yang akses pada hospital senang, berdekatan pelbagai restoran  antarabangsa, hiburan, leisure, perpustakaan dan padang golf serta di mana kejadian jenayah tidak tinggi.

Kualiti hidup sederhana ke arah tinggi. Profesional Malaysia dan dagang mengutamakan, selain dari di atas kemudahan pra sekolah, tadika, sekolah menengah dan tinggi antarabangsa yang bahasa penghantarnya Inggeris kerana murid dan pelajar semuanya, kata Speaking “are destined for English, American or Australian universities”.

Bilangan bukan Melayu Islam dan Peribumi lebih besar kerana ekonomi mereka lebih tinggi dan subur. Semua mengejar pendidikan yang akan memberi nilai ekonomi tinggi dan mereka percaya boleh didapati di seberang laut sahaja.   

Saya bersetuju dengan pendapat Prince Charles. Jelas makin ramai orang kita juga telah hilang kaitan dengan kampung dan pertanian. Politik kita stabil dan kita terus makmur serta sejahtera kerana sokongan kuat (setakat ini) pengundi luar bandar.

Etos dan identiti orang kampung menunjukkan siapa kita maka mereka wajib diberi kedudukan lebih terhormat dan kesempurnaan mungkin dengan status mereka juga tuntutan zaman.

Seperti di UK, juga di negara lain seperti Amerika Syarikat, China, Jepun dan India, luar bandar adalah nadi dan  penyokong tegar kerajaan dan pemerintah.

Mati kampung hilanglah kuasa; lemahnya lemahlah pemerintah sebab itu mereka harus diberi nilai tertinggi. Asal-usul, tanah pusaka dan adat resam penyokong kerajaan ini mesti diletak di tahap tertinggi; kesejahteraan hidup dan cita-cita yang diidamkan mereka mesti didahulukan. 

Mobiliti sosial dalam kalangan orang kita berlaku cepat semasa Tun Razak dan Dr Mahathir Perdana Menteri. PM Najib, waktu peluang masih ada lagi, mesti mempercepat dan tingkatkan mobiliti sosial.

Lazimnya dalam kehidupan tiga dari empat orang bertukar status daripada keturunan: sama ada seseorang itu naik atau turun tangga bergantung pada pendidikan, era kehidupannya dan siapa pemimpin.

Bagi kita era keemasan atau golden age bermula dengan Dasar Ekonomi Baru.

Ada kontemporari saya turun tangga, ada naik tangga dan ramai status quo: tidak bergerak. Jika saya tidak berhijrah... If I had stayed in Kelantan, I would be less confident, less connected, think differently, speak differently and vote differently! Ini tidak bermakna kerana itu saya lebih baik.

Saya hanya menyatakan fakta. Apa pun persepsi saya terhadap kehidupan dan nilai hidup berlainan walaupun saya dan kawan-kawan juga saudara-mara dari satu kelas sosial.

Disebabkan saya berpendidikan di luar Kelantan dan Malaysia serta bekerja di luar, perjalanan sosial saya deras dan  banyak peluang.

Saya juga menikmati banyak leisure, kesihatan saya lebih baik mungkin kerana kurang menikmati makanan Kelantan yang lazat dan manis itu kecuali apabila saya berada di Kelantan. 

Perjalanan hidup - mobiliti sosial - saya jauh dari segi geografi juga pendidikan. Saya turun dan naik tangga bukan sekali tetapi tiga kali.

Dalam usia saya yang hanya baru 77 tahun, saya amat bersyukur pada Ilahi atas pencapaian saya walaupun tidak mencerminkan potensi sebenar. Ibu bapa saya tinggal di kampung  dan saya di KL.

Kedua-dua tempat mempunyai kekuatan dan kelemahan tetapi di kedua-dua wilayah saya hidup selesa. Kata Speaking, “that is a good thing”.

Apa pun kita harus ingat keindahan natural atau semula jadi dan tapestri desa serta luar bandar bukan berlaku dengan sendiri.

Ia adalah hasil daripada aktiviti datuk-nenek-moyang kita berkurun-kurun lama dan kita wajib, juga kerajaan, mengawasinya agar harmoni habitat natural di desa kekal untuk anak cucu kita melihat dan menikmatinya nanti.