SUKA atau tidak, Singapura yang dipisahkan dari Malaysia tahun 1965 - selepas kurang dua tahun bercantum - telah mencapai status dunia pertama dalam masa hanya tiga dekad dan sedang menuju ke arah mencapai kejayaan lebih besar. Satu hakikat diterima oleh semua. Tanda kekaguman dan penghormatan utusan (tributes) mencurah daripada pemimpin dunia kepada pemerintah Singapura dan keluarga Kuan Yew.

Pengasas Singapura moden dan perdana menteri pertama selama 31 tahun, Lee Kuan Yew, meninggal dunia pada usia 91 tahun pada pagi Isnin lalu dan mayatnya dibakar selepas upacara pengebumian negara hari ini. Abunya akan dicampur dengan abu isterinya, Kwa Geok Choo,  yang telah meninggalkannya lima tahun terlebih dahulu. Ini adalah mengikut wasiat kepada anak-anaknya kerana menterjemahkan makna sehidup semati.

Tidak besar bilangan negarawan dalam kurun ke-20 yang berjaya memakmur, memoden, memperkukuh dan memperhebatkan pertahanan negara mereka, sekali gus menghalang (deters) bakal musuh seperti yang telah dilakukan oleh Kuan Yew. Apa pun, mengikut kolumnis New York Times, Roger Cohen, “Perhaps no greater pragmatist (than LKY)" - tiada pemimpin yang lebih pragmatik dalam kurun ke-20 daripada pengasas Singapura moden.

Tidak salah bahkan baik mencontohi seorang pemimpin yang pragmatik, pemikir kelas dunia yang sahih telah berjaya. Singapura sukses sebab Kuan Yew telah mengamalkan kombinasi pendidikan, budaya dan elitisme Oxbridge dengan pragmatis, tamadun Cina dan budaya serta pengajaran Confucius - campuran antara karisma, intelek, ilmu, disiplin dan gerun. Penentang Kuan Yew mesti sanggup menanggung segala risiko kerana Kuan Yew mesti menang, padanya kekalahan bukan satu alternatif - atau seperti kata Speaking - “winning is all, losing is no alternative”.

Kehadiran Kuan Yew dalam minda kolumnis bermula dengan penubuhan People’s Action Party atau PAP tahun 1954 semasa kolumnis masih di sekolah. Saya terpengaruh dan teruja dengan dasar anti penjajahan parti itu serta personaliti pemimpin-pemimpinnya, terutama Kuan Yew. Paling penting kerana obsesi PAP dan Kuan Yew ingin mencantumkan Singapura dengan Semenanjung Tanah Melayu bagi mencapai kemerdekaan Malaya. Kepada mereka, Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu satu entiti yang sengaja dipisahkan oleh kerajaan penjajah British untuk mengekalkan pemerintahannya melalui pecah dan perintah. Walaupun baru berumur 17 tahun saya bersependapat Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu adalah satu dan mesti dicantumkan kembali. Justeru, 11 tahun kemudian, Syed Jaafar Albar, Setiausaha Agung Umno dan MP Kota Tinggi dan saya, Setiausaha Politik Tun Razak, membangkang pemisahan Singapura pada 9 Ogos 1965. Albar dipecat oleh Tunku kerana enggan mengundi pemisahan Singapura. Saya hanya dimarahi oleh Tun Razak dan secara berjenaka berkata “jangan you yang pengaruh Albar or is it Albar who influenced you?”. Apa pun, sebab kami menentang pemisahan Singapura tidak sama.  

Setelah berkhidmat dengan Tun Razak mulai 1962, saya diarah mendekati pemimpin Singapura, Sarawak, Sabah dan pemuda-pemudi radikal serta intelektual Melayu seangkatan saya. Tun Razak telah memperkenalkan saya kepada Goh Keng Swee, Eddie Barker, S Rajaratnam dan Kuan Yew. Kemuncak perkenalan saya dengan Kuan Yew bermula tahun 2000 apabila saya mengetuai media Kumpulan New Straits Times hinggalah beliau bersara sebagai Menteri Mentor. Saya banyak mendengar kisah kepintaran Kuan Yew dan Geok Choo daripada Tun Razak kerana mereka kontemporari di Raffles College dan masa mereka di England.

Kuan Yew seumur hidupnya, mengikut banyak sumber dan perhatian saya sendiri, berpegang kepada dasar pragmatisme. Itulah  kepercayaan fundamentalnya. Praktikal atau tidak; boleh atau tidak boleh sesuatu dilaksanakan. Singapura berpisah, mengikut Kuan Yew kerana beliau dipaksa. Sebab alternatifnya, kata Tunku ngeri untuk dibayangkan. Kuan Yew bersumpah dan berikrar kepada dirinya sendiri Singapura merdeka akan lebih maju, makmur dan gagah lagi melalui dasar meritokrasi, pendidikan melalui bahasa Inggeris - bahasa komunikasi terpenting - dengan mengadakan satu dasar pendidikan negara, yakni tiada sekolah Cina, Melayu dan Tamil hanya satu sistem pendidikan dalam sebuah sekolah Singapura. Bagi mencapai hasrat dan matlamat Kuan Yew “demokrasi terpimpin” diamalkan dan tidak mempedulikan apabila dituduh oleh kawan dan lawan sebagai seorang pemimpin autoritarian. Tanpa kepimpinan tegas, telus dan tulus, berani tanpa takut dan Kuan Yew memimpin melalui contoh ramai tidak fikir keajaiban Singapura berlangsung.
Kisah Singapura penuh drama dan komplot. Kemenangan besar PAP dalam pilihan raya berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) Singapura pertama tahun 1959 sebab Kuan Yew membentuk pakatan dengan komunis dan organisasi pro komunis atau Communist United Fronts.

Tidak lama kemudian, elemen pro komunis dalam PAP, mencuba rebut kuasa daripada kepimpinan bukan komunis di bawah Kuan Yew. Mereka gagal kerana kombinasi kuasa dan manipulasi British (masa itu British masih berkuasa di Singapura) dan kerajaan pemerintahan sendiri Kuan Yew dengan sokongan kerajaan Perikatan di Kuala Lumpur. Ketiga-tiga pihak tidak mahu komunis berkuasa di pulau itu. Isu asas The Battle For Merger atau terjemahan saya sendiri Perang Percantuman Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu adalah dua pilihan, sama ada Singapura diperintah oleh bukan komunis atau komunis di bawah Barisan Sosialis yang objektifnya mencantumkan Singapura dan Tanah Melayu menjadi Republik Komunis Malaya.

Dalam PRU Singapura kedua tahun 1963 - saya pemerhati tidak rasmi Tun Razak - PAP menewaskan Barisan Sosialis dan menghancurkan Umno Singapura secara total. Sebelum dan selepas Singapura memasuki Malaysia, Kuan Yew dan rakan-rakannya melalui banyak cabaran getir - ada juga kerana kesalahan sendiri, selain suasana politik di luar kuasa mereka. Dipendekkan cerita, apa pun tanpa kegigihan, iltizam dan keberanian Kuan Yew, terutama selepas Singapura merdeka, Temasek tidak bisa menjadi seperti hari ini.  
Singapura kini 50 tahun merdeka dari Malaysia, Kuan Yew telah membuktikan, tanpa banyak slogan, retorika dan cakap, Singapura boleh dan Singapura memang telah berjaya menjadi mini state kelas pertama, hab kewangan, ekonomi dan pendidikan dari sebuah koloni yang mundur. Sebab itu pemimpin dunia daripada Richard Nixon kepada Obama dan tiap pemimpin China daripada Deng Xioaping - Pengasas China Moden - sering bertemu, berunding dan minta nasihat Kuan Yew cara membangun sebuah negara moden, makmur, bersih, tiada korupsi; cekap, amanah serta mempunyai taraf hidup berkualiti yang menjadi impian sebahagian besar dunia.

Saya ditemu ramah Astro Awani dan TV Singapura Asian News Channel. Saya juga telah menandatangani Buku Takziah di Pesuruhjaya Tinggi Singapura seperti berikut.

“Many Singaporeans sob, weep for Lee Kuan Yew as they had never grieved before. His demise also grieves me and his many admirers in Malaysia - his one - time country. My heartfelt condolences to Prime Minister Lee Hsien Loong, his sister and brother and the people of Singapore.

Lee Kuan Yew was an exceptionally remarkable leader - pragmatic and visionary - one of the sharpest minds in the twentieth century. My various conversations with him were always sharp, thought provoking, stimulating and hard to disagree.

The world has lost a sage but his big ideas live on. Farewell to good conversations.

Rest in peace Mr Lee Kuan Yew.”

Pokoknya penyataan di atas adalah dunia telah kehilangan seorang negarawan dan geostrategis gergasi yang pintar juga politikus bijaksana dan praktikal. Saya tiada lagi seorang partner of good conversations.

Bisakah Singapura terus meningkat?.