DI Barat , Amerika Syarikat terutamanya, government by crony and crony capitalism bukan sahaja biasa tetapi kuat.  Mengikut Safire’s political dictionary, “an administration (a business) in which advisors (ministers and chief executive officers) qualify not by experience or talent but by their longtime friendship (connections) with the chief executive  (president and prime minister)."

Di negara kita perdana menteri di Pusat dan menteri besar atau ketua menteri di negeri. Secara ringkas pelantikan mengurus kerajaan, pentadbiran, GLCs dan  bisnes berdasarkan sedikit kepada kebolehan tetapi banyak kepada hubungan rapat atau reputasi demikian dengan perdana menteri atau pemegang saham terbesar. Sebenarnya fenomena ini bukan baharu, sudah lama berlangsung di Amerika, di Barat dan di negara maju lain, juga di negara kita sendiri. So what is new?

Satu masa Malaya dan Malaysia ditadbir oleh orang PJK iaitu Pahang (Tun Razak), Johor (Tun Ismail Abdul Rahman, abangnya Datuk Sulaiman dan Datuk Sardon Jubir) dan Kedah (Tunku Abdul Rahman Putra, Khir Johari dan Senu Abdul Rahman). Sekarang oleh PJS iaitu Pahang (Najib Tun Razak), Johor (Muhyiddin Yasin dan Hishamuddin Hussein), Sabah dan Sarawak (Shafie Apdal,  Anifah Aman, Abdul Rahman Dahlan, Rohani Abdul Karim, Nancy  Shukri, Joseph Kurup, Idris Jala, Fadillah Yusof, Richard Riot, Douglas Uggah Imbas, Dr Maximus Ongkili, Joseph Entulu Belaun dan Dr Ewan Ebin)

Di peringkat bisnes, korporat dan di perbankan oleh  kroni bukan peribumi yang memonopoli bidang ini. Fenomena ini kelihatan makin popular dan kuat. Kawan, kroni dan anak emas  chief executive officers atau pemegang saham terbesar memonopoli jawatan terpenting. Tidak salah pada segi undang-undang, mungkin tidak bijak dan baik untuk masa depan dari segi keadilan, moral dan keamanan tetapi siapa peduli? Begitu pun mereka terus  membolot keuntungan. Kritikan hanya timbul apabila personaliti, institusi, gedung , perbadanan atau konglomerat silap cakap sengaja atau sebaliknya. Kroni dan kroni kapitalisme wujud dan berleluasa. Kita harus ingat ada juga secara kebetulan kroni yang cekap walaupun jarang.
Kalau mahu parti politik, kerajaan, pentadbiran  syarikat dan organisasi terus dikritik dan perjorative biarlah fenomena ini terus subur. Wajar kah kroni kapitalisme juga nepotisme atau dinasti dalam politik dan bisnes wujud dan terus berlangsung? Bukan senang membasmi kronisme dan nepotisme - tetapi boleh- India baharu berjaya apabila Modi dan BJP menang hebat. Dinasti Nehru/Gandhi sudah tamat setelah berdekad-dekad memerintah India secara langsung atau tidak.  

Adakah Ahmad Zahid Hamidi dan Shafie Apdal berpeluang naik lebih tinggi lagi dalam sistem sekarang? Demokrasi di Malaysia mesti dididik, dibela agar demokrasi itu diberi equal opportunity, peluang setara atau kesamarataan dalam erti kata sebenarnya. Zahid dan Shafie, I am asking you in English so that I will not be misunderstood: Is this the equal opportunity Malaysian  democracy you both aspire to?  

Renungan:

Seri Mersing lagu Melayu,
Lirik ditulis lama dahulu;
Makan  pun  sudah tak lalu,
Mengenang  nasib orang Melayu!

Melayu ke pekan beli arang,
Balik ke dapur masak kerang;
Apa guna cakap garang,
Kalau tidak dipeduli orang?

Tidak dapat ku ikat,
Walaupun dengan tali benang;
Apa bila ku lihat-lihat,
Masa depan negara air mata berlinang.

Satu dua tiga empat,
Hampir Maghrib katak melompat;
Aku burunya merata tempat,
Hujan lebat air tak dapat!

Najib, Zhonghua Renmin Gongheguo

Sungguhpun ditentang hebat oleh anasir ultra konservatif atau pelampau kanan dalam dan di luar kerajaan dan parti, Tun Razak, empat dekad lalu dengan berani dan bervisi menjalinkan hubungan diplomatik dan persahabatan dengan Republik Rakyat China. Hasilnya jelas kelihatan dan sedang berkembang. Tugas utama anak sulungnya Najib adalah memperkukuh dan melebarkan lagi perhubungan dua hala termasuk strategic engagements sementara  Kuala Lumpur juga harus mengimbangkan hubungannya dengan Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Rusia, Jepun, Korea dan keluarga Asean. Najib mesti berani, seperti bapanya, melakukan apa yang manfaat dan betul bukan sekadar kecocokan masa sahaja.

Teluk Intan:  Politik Baru yang baharu

Jangan leka dengan kemenangan tipis di Teluk Intan.  Perjalanan Politik Baru baharu bermula. Banyak duri dan rintangan menunggu. Puteri Umno dan pemimpin Umno mesti buat kajian serius dan tidak oleh sumber tradisional- kenapa putera-puteri seperti Dyana Sofya Mohd Daud dan Rafizi tidak masuk Umno? Saya berdamping dengan ramai muda-mudi dan saya faham. Saya faham dengan aspirasi mereka. Belajarlah daripada BJP, Modi dan PAP.   Lihat gaya dan style hidup Jokowi serta lihat pula pemimpin kita! Amallah gaya hidup sederhana. Dekatilah rakyat jelata tanpa banyak protokol, pomp and ceremony! Muda-mudi kita mahu ruang yang lebih demokratik sesuai dengan pendidikan mereka dan tamadun kurun 21.