PRAGUE, Republik Czech, 14 Oktober - Ketika saya Pengerusi UK Proton Cars Limited pertengahan 1980-an, saya dijemput melawat Prague, ibu negara Czechoslavakia- berpisah menjadi Republik Czech dan Slovakia pada tahun 1993, namun Prague atau Praha terus menjadi ibu kota Republik Czech - dan saya ditawarkan menjadi pengimport kereta nasional Czechoslavakia, Skoda ke Malaysia dan juga kereta Lada buatan komunis Soviet Union dan mereka membeli Proton untuk pasaran mereka.

Dipendekkan cerita, tidak jadi. Tatkala itu kereta Proton lebih canggih daripada kereta Skoda atau Lada!

Hampir lebih 28 tahun kemudian, saya kembali ke Prague sebab Mrs Speaking tidak pernah ke sana dan juga saya mahu melihat kemajuan yang dicapai negara tragis ini semenjak ia bebas dari dominasi komunis Soviet Union. Asal-usul sejarah Republik Czech tragis.

Bermula sebagai tanah takluk jajahan Empire Moravia kemudian Holy Roman Empire, Republik Czech di tengah-tengah Eropah atau bagai jantung pada badan ia menjadi tanah jajahan monarki Hapsburg atau Austria/Hungary.

Merdeka selepas peperangan dunia pertama, tetapi pada tahun 1939 menjadi tanah jajahan Nazi Germany dan selepas peperangan dunia kedua menjadi negara komunis di bawah dominasi Soviet Union hinggalah Czechslovakia merdeka dan berpecah menjadi dua bahagian - Czech dan Slovakia.

Dalam masa singkat, 75 tahun, Czech dijajah dua kali! Saya berdoa sejarah kita lebih baik - lepas Portugal, Belanda, British, Jepun/Siam (Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu) dan British balik, kemudian merdeka pada tahun 1957 kita akan terus demikian selama-lamanya.

Apa pun melihat keadaan kini dan masa akan datang jika kita tidak berwaspada dan salah perhitungan politik, kita akan ditakluki kembali - kalau ini berlaku akan berlangsung beratus-ratus tahun lamanya oleh satu kuasa Asia.

Lebih buruk kita akan diasimilasikan! Namun, saya optimis ini tidak berlaku dua dekad atau tiga dekad akan datang, tetapi jika keperibadian, pekerti, kebudayaan, bahasa dan semangat kebangsaan serta agama kita terus diperkecilkan dan kita pula tidak minat atau kurang minat mempertahankannya kita akan ditakluki lebih awal lagi, mungkin selepas setengah abad pertama kurun 21.

Setelah empat hari dan tiga malam di Prague serta sekitarnya, saya lihat negara ini lebih makmur, makin maju tetapi masih mundur berbanding dengan ibu kota negara Eropah barat.

Apa yang menarik, Prague dapat mengekal wajah lamanya dan bangunan bersejarah dipelihara; bangunan moden dan hodoh tidak banyak dibina bagi mencacatkan bandar bersejarah dan cantik ini.

Prague lebih berjaya mengekalkan identiti asalnya walaupun ia mengejar kemajuan, tidak seperti berlaku di negara lain termasuklah kita.

Industri pelancongan di antara yang terpenting dan popular. Ramai pelancong dari Asia, majoritinya orang Jepun, Korea dan China apa pun asas pelancongannya ialah orang Eropah barat, AS dan Rusia.

Saya mendapati pengangkutan awam - kebanyakannya tram dan teksi - baik.

Tetapi yang ketara bagi saya tidak banyak kelihatan kereta Skoda atau Lada di Prague. Majoriti kereta adalah dari Jerman, Korea dan Jepun.

Saya diberitahu Skoda sekarang sudah menjadi upmarket kerana syarikat itu dipunyai oleh Volkswagen Germany dan kereta itu banyak dieksport.

Bangunan dan tempat bersejarah seperti muzium, balai seni lukis dan perpustakaan awam diurus dan dipelihara dengan baik, terutama perpustakaan yang menyimpan manuskrip lama, yang lama ada lebih seribu tahun. Banyak manuskrip yang lebih baru pun, yakni dua tiga ratus tahun bertulis tangan.

Saya sempat melawat Muzium Alphonse Mucha, memperingati pelukis Czech yang terkenal; pelopor dan pendukung conscience nasionalism Slav dan Czech.

Yang menarik saya ialah warna digunakan oleh Mucha dan saya agak bersetuju dengannya tentang simbolisme warna itu. Warna hitam tanda perhambaan atau pengabdian (bondage), biru masa silam atau the past, kuning kehidupan yang seharusnya gembira dan jingga (orange) masa depan.

Sekarang barulah saya tahu “Buku Jingga” itu buku masa depan!

Satu sajak Czech yang menarik minat saya adalah tentang Charles Bridge yang kuno itu, telah beratus-ratus tahun menyambungkan bandar baru dan bandar lama Prague. Bagi orang Czech kiraan baru bermakna beratus tahun. Maksud sajak itu lebih kurang begini:

Sepanjang usianya Charles Bridge banyak cerita,
Kisah cinta yang bahagia juga yang sengsara,
Manusia mudah lupa kegembiraan dan derita,
Di titian ini ramai dara, perawan hilang dara,
Lebih ramai lagi belia jadi haiwan, hilang perkiraan.


Charles Bridge adalah destinasi terpopular dulu, kini dan saya percaya akan datang pun kerana seolah-olah tanpa berjalan di atasnya yang menyeberang Sungai Valtava seperti tidak melawat Prague!

Perjumpaan dengan ilmuwan di Oxford Centre for Islamic Studies petang dan malam Rabu 15 Oktober amat memanfaatkan. Saya dijemput kembali Selasa depan untuk melawat kampus baharunya yang hampir siap itu.

Apabila siap kelak, skyline Oxford akan berubah memperlihatkan pertama kali hampir seribu tahun sebuah menara masjid di kalangan spires di pusat ilmu terulung di dunia ini.

Saya akan menulis tentangnya lebih lanjut, begitu juga pertemuan dengan hampir 45 bekas pegawai Polis British dan isteri mereka atau waris mereka yang pernah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia terutama zaman darurat 1948-1960. Beberapa orang masih fasih berbicara dalam bahasa Melayu.