ADA  pepatah Inggeris, "let sleeping dogs lie" - jangan usik anjing yang sedang tidur, jangan ganggu sesuatu isu yang telah selesai tegas Speaking: “which is safest left alone” - tidak waras membangkit isu sensitif (yang sudah ada keputusan) kecualilah pihak tertentu mahu mencetuskan kacau-bilau.

Ada peribahasa kita yang agak serupa dengan pepatah Inggeris itu: jangan jolok sarang tebuan kerana berbuat demikian dengan sengaja mencari bahaya atau kesusahan.

Saya telah berkali-kali menekan jika ada isu yang boleh memecah-belah atau yang mengancamkan ketenteraman - isu agama terutamanya - rujuklah kepada Perlembagaan negara kerana sekarang Perlembagaan negara adalah supreme atau tidak dapat diragukan lagi undang-undang tertinggi di negara kita sebelum constitution itu dipinda atau diganti.

Bawalah kes ke mahkamah dan setelah proses habis terimalah keputusan dengan hati terbuka.

Jangan hanya menerima keputusan mahkamah yang memihak kepada mereka sahaja atau puak lain menjunjung keputusan itu kalau mereka menang bicara.  

Malaysia bukan lagi, not yet an Islamic state; belum lagi sebuah negara Islam hakiki atau Islamic theocracy.

Kita juga tidak seperti didakwa oleh sesetengah pihak dan beberapa Melayu Islam liberal dan sekularis benar-benar negara sekular. Kita, saya ulangi, umpama sepinggan rojak, gado-gado atau sayur campuran.

Selagi itulah status kita semua mesti menerima dikotomi yang wujud.

Kalau itu satu beban yang tidak lagi boleh diterima mereka mempunyai pilihan.

Berhijrah ke negara yang model yang diidamkan mereka atau pilih kerajaan baharu di pusat yang aku janjinya mahu memperkukuhkan sifat kalaupun tidak menubuhkan sebuah negara sekular dalam erti sebenar. Agamawan dan sekutu mereka pilih Pas menerajui Putrajaya.  

Ada Melayu Islam - dalam  statistik sahaja - lebih berang daripada bukan Islam tentang dikotomi yang wujud.

Saya tahu dan simpati dengan golongan ini. Saya juga simpati dengan dilema bukan Islam. Suka-duka inilah facts of life dalam negara kita waktu ini, inilah kenyataan pada hari ini.

Tunggulah PRU14 untuk mencari penyelesaian muktamad kalau mereka dapat mempengaruhi dan memujuk pengundi di luar bandar dan pedalaman.  

Kenapa sesetengah orang begitu marah dengan kepimpinan di Putrajaya sehingga kemarahan itu bersempadan dengan kebencian walhal mereka ini menikmati segala perkara - bapa Tan Sri. Isteri Datuk Seri, anak dan menantu Datuk, hatta cucu pun bergelar dalam satu keluarga sahaja.

Ada bergelar baharu sahaja awal 20-an dan mereka tidak pun perlu mengetahui adat istiadat Kesultanan Kerajaan Melayu, hanya bayi sahaja belum bergelar! Tidak hairan kerana mereka sudah memegang kuasa ekonomi dan kewangan maka wajarlah mereka pula menguasai politik dan ketuanan.

Ada golongan syok sendiri - benar dan kelihatan berkuasa tetapi sebenarnya tangan mereka terikat; dibelenggu oleh vested interests/atau kepentingan tertentu.

Walaupun mereka terus disokong penyokong taat setia yang hanya dapat kuah dan tulang sahaja kerana menukar kerajaan, pada yang mendapat kuah dan tulang ini kononnya akan lebih buruk lagi. Benar dan tidak benar!  

Sehingga ada yang terlampau marah telah menggesa rakyat “to turn elsewhere”. Ke mana? Kepada kumpulan ISIL/ISIS di Iraq, Taliban, Wahabi, Syiah atau ala DAP di Pulau Pinang dan PAP di Singapura?

Dilema pengundi majoriti mereka tidak mahu bangsa, agama, bahasa dan kebudayaan mereka menerima nasib yang sama seperti di negara jiran. Jika lambat sedikit pun menjadi negara maju mereka rela.  

Walaupun keadaan kita tidak ideal, pencapaian Malaysia dalam kebanyakan bidang mengatasi negara idaman mereka yang tidak senang hati itu.

Dunia dan negara berkenaan pun menerima hakikat ini. Sebenarnya tidak ada negara yang benar-benar ideal di dunia ini seperti mana ada manusia yang maksum?

Saya tidak lihat perubahan crucial berlaku dalam jangka masa yang pendek. Benar, besar kemungkinan kita akan terus begini.

Kalau nasib tidak baik kita sedikit ketinggalan tetapi kita tidak mungkin jadi sebuah negara gagal. Negara kita terlampau kaya-raya. It takes real idiots to destroy it.

Melayu Islam dan Peribumi kalau mahu terus maju bersama mereka yang sudah maju dan sedang meningkat ke mercu yang lebih tinggi lagi, kita selain daripada mengekal kuasa politik janganlah sangat terlalu banyak membuang masa, fikiran dan tenaga dalam perkara yang remeh.

Pandang ke hadapan. Jangan menoleh ke belakang. Terima cabaran dengan penuh semangat. Siapa berani dan bijak akan berjaya. Kita belum lagi satu bangsa besar tetapi itu tidak bermakna kita akan terus tinggal begitu.

Siapa kita 60 tahun dahulu? Siapa kita sekarang? Siapa kita 60 tahun akan datang? Contohilah Korea Selatan.

Renungan
            Baik-baik menebang jati,
            Biar serpih tumbang jangan;
            Baik-baik mencari ganti,
            Biar terlebih kurang jangan.

            Masak sudah asam paya,
            Tidak boleh dijolok lagi;
            Rosak sudah hati saya,
            Tidak boleh dipujuk lagi.