SIAPA kata kita sebuah negara Islam khayal. Mereka yang menegaskan Malaysia negara sekular delusi- perdaya diri sendiri.  Kita, seperti ditegaskan Dr Mahathir Mohammad, “is neither an Islamic nor a secular state”.

Yakni kita bukan negara Islam juga bukan negara sekular. Kesimpulannya, kita sepinggan salad, rojak atau gado-gado. Madah Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia, Malaysia bukan sebuah negara sekular, kalau Malaysia demikian Perlembagaan negara akan menulis demikian seperti berlaku dalam Perlembagaan India, Turki dan Amerika Syarikat.   

Sudah lama orang Islam dan bukan Islam diperdayakan- lebih tepat- membenarkan mereka di kelentong oleh pemimpin politik  kedua belah pihak.

Jika rakyat rujuk hal ini pada Perlembagaan  negara- nyata dan terang- agama rasmi negara ini agama Islam tetapi ini tidak menjadikannya sebuah negara Islam.

Tun Salleh Abas dalam keputusannya dalam perkara Che Omar Che Soh vs PP dan Wan Jalil Wan Abdul Rahman dan Anor vs PP (1988) menegaskan dalam bahasa asal: "We have to set aside our personal feelings because the law in the country is still what is is today, secular law ...until the law and the sistem is changed, we have no choice but to proceed as we are doing today”. 

Ringkasan: singkirkan emosi, suka-duka, undang-undang negara ini masih sekular dan sehingga undang-undang dan sistem perundangan dipinda, kita tidak ada pilihan... mestilah mengikut dan patuh kepada undang-undang sedia ada.

Sudah terang lagi nyata, mahu disuluhkan lagi?  

Memulakan majlis dengan doa, memberi salam dari “selamat pagi” ke “Assalamualaikum”  dan menukar cuti umum mingguan dari Ahad ke Jumaat tidak menjadi negara kita sebuah negara Islam  atau kita seorang Islam yang baik, kata seorang pemimpin tertinggi.

Perlembagaan negara menjamin kebebasan beragama yakni masing-masing boleh mengamalkan agama masing-masing tanpa segan dan takut, tidak juga menjadi Malaysia sebuah negara sekular. 

Saya kira our founding fathers sengaja melakukan ini agar kita tidak sebuah negara Islam juga sebuah negara sekular. Mereka menyerahkan kepada keturunan akan datang untuk meneruskan warisan itu atau berubah mengikut kesesuaian dengan tuntutan politik dan masa.

Kisah sama ada kita sebuah negara Islam atau sekular tidak relevan sangat apabila memandang apa agama pun sekarang, sudah menjadi sebagai merchandise (barang untuk jualan).

Ada sesetengah manusia, ada pendakwah ataupun evangelists dan penyebar agama lebih bersifat mercenary (pendakwah upahan) lagi dari mendidik, lebih mengejar populariti dan status selebriti juga penghibur daripada mengajar, komen seorang pemimpin Islam.

Nasihat saya jika seorang serius mahu mengaji agama Islam pergi ke Kelantan, duduk di pondok- ada yang tradisional dan moden.

Di sana guru atau tok guru memberatkan pendidikan dari mengejar wang ringgit, status selebriti ataupun penghibur apalagilah mengejar title dan darjat.

Saya menghadiri satu ceramah tok guru pondok. Amat senang memahaminya. Apa yang diajar relevan dan sesuai dengan masa tanpa pula melanggar prinsip agama kita atau mempolitikkan agama.

Di Malaysia, pun sudah wujud satu tragedi bully pulpit, born again Muslims, personality cult dan witch hunt.

Kepada setengah pendakwah all things to all men. Terlalu ramai jumlah bilangan orang holier than thou hingga mengelirukan  ummah yang kurang arif tentang agama- mereka sahaja yang benar, lebih Islam dan akan masuk Syurga! Mereka ini memang sudah benar-benar delusional!

Apakah sekularisme sebenarnya? Pada kefahaman saya sekular  humanisme adalah satu "philosophy of humanistic values or practice of good behaviour independent of religion, a frequent target of religious fanatics.”

Satu falsafah dan nilai yang murni dan baik, bebas dari agama justeru sekularisme tidak disenangi dan dikeji oleh orang yang kuat agama atau fanatik.

Sekularis juga boleh disamakan dengan ethical atheists; ada juga sekularis yang percayakan tuhan walaupun majoriti mereka agnostics yang syirik pada kita kerana mereka lazimnya tidak mempercayai ada sesuatu yang menunjukkan kewujudan ALLAH SWT.

Atheis pula langsung tidak percaya ALLAH wujud. Pada mereka agama adalah personal, masalah peribadi, tidak bercampur aduk dengan kehidupan harian dan tidak ada kaitan dengan kerajaan.

Bukan Islam menegaskan kita sebuah negara sekular, ada juga orang kita yang pening lalat bahawa kita sebuah negara Islam.

Kita sebenarnya seperti ditegaskan awal, sepinggan rojak! Apa pun pada saya, amalan lebih penting daripada nama.

Ada manusia tidak minum arak, solat tetapi berat tulang - tidak menjalankan tugas dan menerima gaji buta.

Ada tahu agama tetapi tidak mengamalkannya.  Ada arif dengan agama dan mengamalkannya sebaik mungkin walaupun mereka tidak berjubah dan berkopiah atau berserban.

Golongan ini membayar zakat dan menyumbang banyak dana untuk kegiatan dan program fardu kifayah tanpa publisiti. Ramai gila publisiti. Ada yang kononnya lebai tetapi gemar menyebar fitnah dan berita palsu dan oportunis.

Golongan inilah yang merosak imej dan kesucian agama kita.  

Apa ada pada nama? Ada negara nama rasminya negara Islam, tetapi maksiat dan jenayah sama banyak dengan lalat yang didapati di negara itu.

Ada negara yang bukan Islam- bersih, tertib, berdisiplin, cekap dan beramanah; rumah ibadat semua agama ditadbir dengan baik.

Tidak kelihatan beggars atau pengemis.  Di negara Islam, hatta di Makkah dan Madinah, ramai profesional beggars mengganggu jemaah haji dan mereka yang mengerjakan umrah.

Di Kuala Lumpur, baik di masjid, di kedai makan dan di pusat beli-belah pun ramai pengemis -  sedihnya pengemis Islam sahaja berjubah, berkopiah - meminta sedekah.

Setengahnya ada minta wang tanpa memberi salam pun atau membaca ayat Quran. Sesetengah hulur tangan dan tadah tangan bisu seribu bahasa. Di Kelantan, tok fakir lebih tertib. Lazimnya mereka membaca ayat-ayat pendek sebelum menghulur tangan.  

Ada desakan daripada semua pihak agar kerajaan menjelaskan atau clarify sama ada kita sekular atau negara Islam.

Jangan layan permintaan mereka. Bayi pun tahu kita sebuah negara rojak.  Kita ada kasino dan seorang bilionair Cina Malaysia sedang memohon lesen kasino baharu untuk Berjaya Hills.