KALAUPUN Rancangan Malaysia ke-11 sukses adakah kita megah jika Pribumi terus terpinggir? Semua orang dan negara bermimpi.

Bezanya ada terus berangan-angan dan ada yang berjaya capai hasrat diidamkan. Malaya (kemudian Malaysia) - pada keseluruhannya - antara negara membangun yang berjaya menjadikan impiannya realiti, satu kenyataan.

Tidak  ada sebab, walaupun ada keraguan, kita tidak akan berjaya seperti diharapkan dalam last lap Wawasan 2020. Kita, satu masa dahulu jauh di belakang Filipina, Indonesia dan Thailand; kini kita jauh di depan mereka (untuk berapa lama lagi?) tetapi jangan lupa Singapura, hanya dalam lima dekad, lebih jauh di depan kita.

Bisakah kita mengurangkan jarak dengan jiran kita di selatan, 50 tahun dahulu sebahagian wilayah kecil negara kita?  

Apa pun, melihat Perdana Menteri Najib Tun Razak, berpendidikan medium Inggeris, mempesonakan Ahli Dewan Rakyat, terutama MPs BN waktu membentangkan RMK-11, saya lebih yakin sekolah Inggeris mesti dihidupkan kembali.

Bahasa Melayu yang digunakan Najib baik dan tidak pelat. Isi ucapan Najib dan harapannya  diperjelas dalam bahasa yang mudah lagi baik dan meyakinkan rakyat.  Tetapi dapatkah pemimpin, pegawai kerajaan dan modal insan lain menyempurnakan tugas serta kewajipan supaya isi itu tercapai?

Malaysia kekal negara berdaya saing - ranking daya saing dunia kita nombor 14. Baguslah walaupun di takuk lama! Kita terus di belakang Singapura ranking nombor tiga, Hong Kong nombor dua, Taiwan (11) - ketiga-tiga negara itu berkebudayaan Confucius.

Tahniah kerana dapat hadiah sagu hati, nombor dua, antara negara Islam. Hanya Qatar di depan kita di tangga 13! Jepun (27), Thailand (30), Filipina (41) dan Indonesia (42).

Jangan cepat gembira Datuk Seri Mustapa Mohamed sebab, seperti anda tahu, menguruskan ekonomi dalam suasana politik dan era globalisasi bukan senang dan memerlukan keupayaan tinggi untuk menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Saya membangkitkan keraguan impian menjadi realiti kerana mengikut Mior Kamarul Shahid, seorang apologis tegar kerajaan, penjawat awam culas! Membantutkan slogan favourite 1Malaysia, 'rakyat didahulukan'.

Tegas apologis tegar ini, kerajaan mesti melakukan dengan sistematik perubahan kepada pentadbiran awam untuk mengelak urusan dan perkhidmatan kerajaan tergendala dan dikritik oleh pengundi serta bakal pengundi. Mior hanya mengulas kenyataan terbuka Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa (Berita Harian, 28 Mei) mengenai sikap tidak berdisiplin 5,000 kaki tangan awam (bukan 100 orang!).

Kakitangan kerajaan yang dipimpinnya sejumlah itu dianggap culas. Satu kenyataan yang berani, tulus dan telus. Apa Tan Sri mahu lakukan selain daripada mendedahkan hakikat ini? Beranikah kita bertindak seperti Kerajaan Singapura dan China?

Jika kita tidak - pada pendapat si bodoh penulis - terima sahajalah keadaan. Tak apalah! Jumlah yang tidak bertanggungjawab bukan satu pertiga daripada jumlah anggota kakitangan kerajaan. Tak apalah, asalkan kita terus dan menterjemahkan slogan “dahulukan rakyat, bersih, cekap dan amanah”.  

Lebih baik, apa lagi bagi KSN tidak berkokok walaupun motifnya murni, jika tidak berani bertindak seperti erajaan Singapura - tradisi dan sejarah perkhidmatan awamnya serupa dengan kita - lahir dari perut yang sama.

Seperti kata pepatah Melayu: “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Adoi, pemimpin bangsa - lebih bijak, lebih popular dan akan dipuja jika tidak rock the boat. Bicara dan ceritalah tentang yang baik sahaja. Bak kata orang Kelantan, "Lok gilah. Kita doh comel lote".

Sebenar perkara ini berlaku kerana penguatkuasaan kita lemah. Perintah Am untuk kakitangan kerajaan lebih kurang serupa sahaja dengan Singapura.

Kalau tidak sama, buat pindaan agar perintah am kita ditakuti. Pokoknya kita tidak ada political will untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang kita telah sedia ada.

Yang menghina mendiang Tuan Lee Kuan Yew dapat dibawa ke mahkamah dengan sekelip mata dan dihukum.

Di negara kita, mereka yang menghina raja - Yang di-Pertuan Agong dan sultan!- terus bebas dan terus mengulangi, tanpa takut dan segan penghinaan mereka kepada institusi monarki, kehakiman bahkan begitu berani menghina agama  majoriti penduduk.

"Why not", kata seorang pelajar kepada saya. "When you can get away with it?" Mereka berani kerana tiada risiko sebab penguasaan kita lemah dan lembab!

Orang berbakat cinta bahasa Inggeris

Adakah anda tahu tiap seorang daripada enam penduduk Amerika Syarikat terdiri daripada mereka yang tidak lahir di negara itu?  United Kingdom (UK) adalah negara yang mempunyai paling ramai penduduk pelbagai keturunan.

Tahun lepas, sejumlah 318,000 imigran baharu masuk ke UK dan yang meninggalkan UK jumlahnya jauh lebih kecil. Kenapa daya penarik UK begitu kuat dengan pendatang?

Nombor satu, kecintaan kepada bahasa Inggeris, kedua, ekonomi yang kuat (relatif), nombor tiga kewujudan universiti yang bermutu dan keempat kerana dasar terbuka dalam kebanyakan bidang termasuklah kebudayaan dan agama.

UK tidak payah berkempen untuk menarik pendatang, terutama yang berbakat. Kita sebaliknya berkempen untuk membawa balik bakat dan menarik bakat. Kejayaan usaha kerajaan ini, saya dengar, leaves much to be desired.

Bukan salah dasar atau pegawai kita tetapi selepas bakat ini pulang mereka ada second thoughts setelah melihat dan mengalami gaya dan cara kehidupan, pendidikan, kemudahan rekreasi,  gaji dan perks serta keselesaan dan kemudahan lain. Tidak kecil bilangannya berubah fikiran.  

Keadaan politik dan globalisasi hari demi hari menjadi lebih kompleks lagi. Sebelum merdeka, boleh dikatakan bilangan orang Melayu menetap di UK, Amerika dan negara English - speaking lain boleh dibilang dengan jari tangan dan kaki, so to speak.

Tetapi sekarang bilangannya besar dan sedang meningkat! Sebabnya seperti orang Cina dan India setelah negara asal sukses ramai rakyat negara itu merantau.

Ini bukan satu kerugian. Sebenarnya satu manfaat.  Globalisasi, suka-duka, telah melahirkan Kelas Menengah Antarabangsa Melayu, tegas Speaking, “that those who cannot fulfill their aspirations in Ibu pertiwi or in the Motherland will migrate and  they would enrich the nation that is lucky to have them.” Seperti  kata seorang kolumnis New York Times, David Brooks, “talent loves English (language)”.  

Bagaimana being a Malay atau Melayu di UK, Eropah, Amerika dan Australia? Bergantung pada level atau tingkatan pendidikan dan pendapatan seseorang itu. UK dianggap negara kulit putih yang paling toleran kepada mereka yang kulit berwarna dan kepada multi kulturalisme.

Keadaannya juga selesa di Ireland. Pengalaman perantau Melayu yang saya kenal menegaskan mereka kurang mengalami  diskriminasi berasaskan warna kulit.

Kebolehan mereka menyesuaikan diri tanpa pula merosakkan akidah, jati diri dan kebudayaan amat penting. Orang kulit putih, seperti kita juga, mahu pendatang menyesuaikan diri dengan  negara angkat mereka.  

Bahasa Melayu penting, tetapi bahasa Inggeris, Mandarin dan Arab mesti dipelajari bersungguh-sungguh oleh pelajar Melayu kalau kita dan kerajaan serius mahu merapatkan jurang ekonomi kita dengan orang lain, selain daripada mempertingkatkan lagi budaya dan etika bekerja.

Tanpa itu, kita akan terus kekal di takuk sekarang kalau tidak menjunam.

Bahasa Melayu, juga minda Melayu kini, sudah dirosakkan atau dibrutalisekan. Ibu saya jika dia hidup tidak faham bahasa Melayu sekarang seperti juga saya kurang memahami bahasa Melayu Hang Tuah!

Ibu saya tidak mengerti pemikiran minda Melayu sekarang sebab pemikiran itu telah dicemari oleh mereka yang tidak peka pada tradisi, budaya dan alam sekitar kita.

Akibatnya apa yang dikejar tak dapat dan anak di bawah ketiak tercicir serta bertaburan.  

Ingatlah apa kata George Orwell: “if thought corrupts language, language can also corrupt thought."  Sungguh tepat madah Orwell.