KUALA LUMPUR, Jumaat 21 November: Sejak 1955, pemerintahan sendiri atau self-government dan mulai merdeka dan berdaulat 1957, Kerajaan Pusat hingga kini diperintah oleh satu parti sahaja: Umno/Perikatan, kemudian Umno/BN. Di negeri begitu juga, kecuali perubahan berlaku di Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, sekali di Kedah, dua kali di Terengganu, sekejap di Perak, sekali di Sarawak dan juga di Sabah.  

Adalah satu ironi majoriti penyokong setia kerajaan Umno/BN tinggal di negeri tidak maju - Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak. Kebanyakan penentang kerajaan duduk di tiga wilayah termaju- Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dan juga di beberapa bandar besar seluruh negara.  

Saya terbaca satu berita, agak kecil tersorok di muka surat 8, Utusan Malaysia Rabu 19 November - Kuala Krai paling mundur di Semenanjung berbanding daerah lain mengikut statistik 2010. Mungkin kedudukan serupa sekarang pun. Apa pun kata Penolong Pengarah Jabatan Perangkaan, Dr Fam Soo Fen, kemunduran itu diukur berdasarkan 23 jenis ukuran pemboleh ubah di bawah Indeks Umum Kemudahan (GID).

Jabatan Perangkaan menjalankan kaji selidik GID selama 30 tahun dengan tiga peringkat iaitu 1991, 2000 dan 2010. Tegas Dr Fam keperluan asas penduduk masih menjadi masalah utama di daerah  tertentu di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah. Pembangunan sosioekonomi di negeri ini tidak lengkap turut menjadi satu faktor kemunduran terus berlaku.

Tambah Dr Fam ketidakseimbangan dalam 81 daerah pentadbiran di Semenanjung menunjukkan perbezaan jurang pembangunan yang ketara. Sehubungan itu, tegasnya, kerajaan perlu memberi perhatian yang lebih khusus terhadap daerah miskin selain menyediakan kemudahan asas yang bermatlamat merapatkan jurang ketidakseimbangan sosioekonomi antara daerah-daerah di Semenanjung. Perhatian ini amat penting diberikan kerana kemunduran di daerah tertentu terus berlaku dalam tempoh yang begitu sangat panjang.  

Nyata dan terang antara isu terpenting dalam PRU14 nanti adalah kehadiran banyak pengundi yang tidak berpuas hati dengan kemajuan dan kesejahteraan hidup apa lagi mereka sedar Malaysia sebuah negara yang berpendapatan sederhana tinggi.

Secara ringkas, dalam bahasa mudah kemajuan dan kesejahteraan hidup tidak dinikmati secara adil oleh pengundi di seluruh negara. Seorang nasionalis Melayu Islam mengingatkan: “Jangan yang dikejar iaitu pengundi bandar tidak dapat (rekod jelas menunjukkan begitu) dan pengundi dalam tangan, iaitu pengundi taat setia di luar bandar, tercicir.”

Tidak dinafikan kerajaan telah membawa pembangunan di Kuala Krai pun. Persoalan besar - tidak cukup, lambat dan dilihat seolah-olah negeri tertentu didiskriminasikan kerana wilayah itu tidak ada nilai ekonomi tinggi. Kenapa kerajaan Umno/BN mengambil masa begitu lama untuk memberi pembangunan yang seimbang antara bandar dan luar bandar?

Laksanakan segera pembangunan yang adil dan seimbang sebelum terlewat; manfaatkan pengundi di kawasan setia terlebih dahulu. Jangan menyesal kemudian seperti berlaku di  Kelantan dan di Selangor dan mungkin berulang di Kedah, Terengganu  dan Perak. Dan merebak pula ke Johor, Melaka, Negeri  Sembilan, Sarawak dan Sabah.  

Di peringkat antarabangsa dan dalam hubungan dua hala (bilateral relations). Kita dan China dilihat dekat hasil usaha berpandangan jauh serta teliti Tun Razak pada 1974. China tahu apa ia mahu. Setelah berkurun-kurun dihina, China mahu status yang terhormat di dunia. Presiden Xi Jinping, observes Speaking, wants Beijing’s status as a superpower to be recognised and accorded consequential respect.

Apa pula keinginan Perdana Menteri Najib di rumah, di Wilayah Asean dan di dunia? Najib Tun Razak, saya fikir, mahu menjadi seorang pemimpin yang dihormati kalaupun tidak digeruni. Matlamatnya, dan munasabah, untuk mendudukkan Malaysia dan kita di meja utama (high table) bukan berselerak dan di belakang.

Najib boleh mencapai ini jika dia berani, tanpa segan dan takut, melaksanakan visinya dan konsolidasi kepimpinannya; jangan harap pada hari esok kerana hari esok mungkin tidak ada.
Dalam kehidupan banyak ironi. Dunia sungguh aneh!


Nasib tanah rizab Melayu dan bahasa Melayu

Di seluruh semenanjung ada tanah rizab Melayu dan tanah rizab pribumi di Sarawak dan Sabah. Juga tanah wakaf. Rata-rata kedua jenis tanah ini nilai ekonominya tidak tinggi dan pukul  rata tinggal terbiar, tidak dibangun dan dimajukan.

Kampung Baru ditengah ibu kota negara. Cerita pembangunannya timbul bermusim tetapi Kampung Baru terus tinggal seperti biasa! Suka duka, pada statistik masih banyak tanah rizab ini wujud. Hakikatnya berlainan- kuasa de facto berada di tangan bukan pribumi melalui sistem Ali Baba. Bukan salah mereka, salah kita sendiri.

Sanggup melakukannya kerana tidak dapat melawan godaan wang panas. Tragedinya ada dijual dengan harga paling murah kerana mahu wang segera.

Sepatutnya kita secara serentak memartabatkan kedua bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, situasi menang-menang. Bahasa Melayu mesti didokong selaras dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tunggal. Bahasa Inggeris sebab bahasa ilmu, bahasa global dan nilai ekonominya tertinggi justeru kita jangan sekali-kali pinggirkannya.  Kedua-dua bahasa mesti dimuliakan.

Tetapi hakikatnya bahasa Inggeris- selain di jabatan kerajaan- bertaraf lebih tinggi dari bahasa ibunda.