KUALA LUMPUR Jumaat 9 Januari: Apa kata orang lain tentang kita dan ibu pertiwi selepas sembilan hari memasuki tahun baharu? Madah seorang penganalisis asing kepada saya, “it is a shaky start for Malaysia unless oil price rebounds.

Still Malaysia is not entirely downbeat.” Maknanya Malaysia bermula tahun baharu goyang (dari segi ekonomi) kecuali harga petroleum naik yakni Petronas untung negara manfaat. Namun Malaysia, bak kata orang tua, tidak terketar-ketar  menghadapi 2015.

Begitu besar ekonomi dan standard kesejahteraan hidup kita bergantung pada Petronas, syarikat milik negara, yang ditubuhkan oleh Tun Razak. Gas dan minyak (gas and oil) menyumbang kepada Khazanah negara melalui dividen dari Petronas lebih kurang satu per tiga keseluruhan pendapatan kerajaan. Petronas telah pun memberi amaran kepada Putrajaya jumlah dividen akan turun jika harga minyak dan gas terus merudum.

Saya semula jadi seorang optimis, selalu melihat pada masa depan yang cerah dalam apa keadaan pun saya berada. Kalaupun langit ekonomi kita kelihatan redup-sebabnya banyak- tetapi kerana ini bukan artikel tentang ekonomi tidak payahlah saya hurai punca dan penyebabnya. Tumpuan saya adalah pada kemanfaatan besar 2015 akan bawa seperti tegas Speaking, “its unintended consequences”, terutama dari segi politik, perpaduan, kerjasama, muhibah, semangat kesukarelawan dan sifat murah hati serta dermawan dan minda  terbuka rakyat kita membantu mangsa banjir. Juga tidak kurang pentingnya sifat kekurangan atau defisit dalam masyarakat kita.  Suka-duka, keseluruhannya kelemahan kerajaan seolah-olah tidak bersedia menghadapi darurat dan malapetaka yang skalanya seperti banjir 2015. Kelihatan majoriti wujud sindrom adhoc- iaitu sesuatu disusun dan digerakkan bagi menghadapi tujuan semasa dan  sementara. Sudah sampai masanya kerajaan mengadakan agensi khas  untuk flood and disaster management and mitigation yakni agensi khas mengurus banjir, malapetaka seperti juga kita ada pasukan bomba (fire brigade).  

Hikmah banjir- luar biasa, bah betina atau jantan, kuning atau merah - banyak. Apa pun semua kerajaan dan agensinya - pusat dan negeri- baik Umno, Pas, PKR dan DAP mesti bekerja sama tanpa politiking. Kepentingan dan kesejahteraan rakyat mesti didahulukan. Banjir tidak kenal ideologi politik mangsa. Semua kena! Jika ada pihak yang mengambil kesempatan kepartian mereka mesti dikutuk  seteruk-teruknya. Mangsa banjir bukan bodoh, mereka tahu siapa bekerja bertungkus-lumus, siapa yang sibuk hanya waktu lawatan VIP; siapa gila publisiti dan siapa pula pelancong banjir.  

Saya gembira melihat kerjasama antara pusat dan negeri, terutama antara Putrajaya dan Kota Baru (tenggelam termasuk Kota Darul Naim) masa darurat bah. Kerjasama erat antara kerajaan Pas dan Pusat memulih dan membangunkan semula Kelantan mesti diutamakan. Hasil baik yang bakal dinikmati rakyat Kelantan akan membawa kepada kerjasama yang lebih intim lagi, bahkan kepada perpaduan ummah.  

Tun Razak, selepas peristiwa Mei 13, telah mengarah saya berbincang dengan Datuk Asri Muda, pada masa itu Menteri Besar Kelantan dan Presiden Pas, kemungkinan Pas dan Umno bekerja sama  menghadapi politik semasa dan masa depan. Pertemuan pertama dengan Asri berlaku di nombor JKR 10 Kampung Sireh (kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan) dihadiri oleh Amamaluddin Darus, Khaidir Khatib, Sallehudin Abdullah. Saya bersendirian kerana saya mewakili Tun Razak bukan Umno. Pendek cerita, akhirnya Asri berjumpa Tun Razak untuk mendengar sendiri hasrat tersurat dan tersirat Tun Razak.   Selepas itu terbentuklah kerajaan campuran melibatkan Pas, Gerakan dan PPP. DAP walaupun dijemput telah menolak. Kesimpulan cerita  itulah permulaan yang kesudahannya kerajaan Barisan Nasional  ditubuh pada tahun 1974. Permulaannya modest, kata Speaking,  kerana kedua pihak tidak menegak dan menegahkan diri. Seolah-olah kami segan. Terpenting pada Tun Razak ialah rahsia perbincangan permulaan itu disimpan sehingga outline / rangka perkongsian kuasa dipersetujui. Hasrat Tun Razak menjadi kenyataan. Kalau kedua pihak sekarang atau masa akan datang mempunyai minda terbuka dan demi masa depan ummah, saya tidak nampak ada masalah atau obstacles  menghalang persefahaman, permuafakatan berlangsung jika pun tidak bersekutu.

Ini baru ditimpa musibah yang bukan luar biasa sangat  seperti peristiwa 13 Mei 1969, Konfrontasi Indonesia dan darurat dan pemberontakan komunis 1948-60. Adakah kita kini benar-benar siap bersedia, baik minda, kelengkapan, alat dan aset untuk menghadapi musibah atau darurat skala 1948-1960? Atau seperti kejadian di Paris Rabu lepas?  

Cabaran ekonomi, sosial, pendidikan, politik dan hubungan antarabangsa terus kompleks. Tekanan (stres) hidup terus meningkat dan makin ketara. Provokasi menggunakan orang Melayu tertentu  seperti berlakunya Ali Baba dalam bisnes menjadi-jadi dan makin  tidak terbatas serta lantang. Betul, kata Tok Guru, contohilah  Rasulullah ketika menghadapi masalah atau ditimpa musibah dengan sabar, tabah dan banyak sembahyang dan berdoa. InsyaAllah  kita boleh mengurangkan tekanan dan berdepan dengan ujian dan dugaan.

Rasulullah makhluk kelainan, terpuji lagi terunggul.   Bagaimana mengurus, mentadbir dan mententeramkan massa atau rakyat jelata mangsa dari tekanan mereka yang sedang ditolak ke dinding  atau being pushed to the wall. Benar atau imaginasi keadaan itu  soalan lain. Ramai mempunyai persepsi mereka sedang diradikalisasikan oleh berbagai sumber.

Itulah yang harus difikirkan: bagaimana mengurus kehidupan rakyat yang menderita dan juga yang minda mereka diserang perasaan terus dihina, diketepi, dipinggirkan dan dicabar? Seperti kata Dr Mahathir Mohammad hari ini reaksi dan tindakan tidak boleh diduga apabila mereka diejek dan diprovokasikan.