BEBERAPA peristiwa bulan ini akan mudah dikenang oleh saya - pelancaran buku His Royal Highness Sultan Nazrin Shah - Reflections and Recollections - oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah Selangor, 2 Mei; Pertabalan Tuanku Sultan Nazrin, 6 Mei; kelahiran Umno ke-69 (11 Mei) dan tragedi Mei 13, 1969 serta pelancaran buku Dr Mahathir’s Selected Letters to World Leaders Volume 2, esok.

Saya terlibat dalam kesemua peristiwa ini secara langsung atau sebaliknya kecuali kelahiran Umno kerana waktu itu saya baru berusia lapan tahun. Saya antara penyumbang buku Reflections and Recollections, editor dan commentator  buku Dr Mahathir’s Selected Letters to World Leaders.   
 
Buku tentang Baginda Sultan Perak ditulis oleh 28 penulis daripada beberapa bangsa dan latar belakang yang dianggap berwibawa dan mengenali subjek; ada locus classicus, dilihat sebagai berautoriti dalam subjek dan pengalaman masing-masing. Antaranya Dwight H Perkins, John W Thomas, Peter Timmer, Farhan Nizami, Anthony Milner dan Timothy Ong - semuanya bukan anak watan.

Antara anak watan pula Tan Sri Dr Munir Majid, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Dr Chandra Muzaffar, Datuk Seri Wong Chun Wai dan Tan Sri Visu Sinnadurai. Yang memilih menulis dalam bahasa Melayu adalah Datuk Abdul Aziz Ishak dari Utusan Melayu, Datuk Baharuddin Zainal, Tan Sri  Dzulkifli Abdul Razak, Datuk Hashim Yaacob dan Datuk Noor Azam. Saya memilih menulis dalam bahasa Inggeris bertajuk Modernising the Malaysian Monarchy: the New Architects of a National Institution.     
 
Apa pun saya berharap anda berpeluang membaca Reflections and Recollections sebabnya banyak: antaranya anda akan menimba lebih pengetahuan tentang sejarah Kesultanan Negeri Perak juga Sultan Nazrin yang anda belum mengetahuinya.

Terpenting keazaman baginda untuk melindungi dan modernising monarchy Melayu, Perak khususnya, sesuai dengan tuntutan era baharu, landskap dan geopolitik yang sedang dan akan muncul tanpa pula memberi impak negatif pada kesultanan, adat-istiadat dan tamadun Melayu Islam.  
 
Membaca Reflections dan Recollections akan memberi ingatan kepada kita bahawa kegemilangan sesuatu pemerintahan raja atau bukan monarki hanya berlangsung apabila raja/presiden/perdana menteri di negara di mana majoriti penduduknya Islam peka dan amat menghormati ilmuwan, public intellectuals dan ulama yang berani menyuarakan kebenaran dan keadilan tanpa takut, segan, tegas dan lantang.

Menentang sesuatu yang tidak adil dan saksama adalah ibadah; menegakkan sesuatu yang sederhana dan tidak menggalakkan sesuatu yang ekstrem adalah tuntutan agama Islam. Undang-undang mesti ditegak, memberi perlindungan kepada semua rakyat sama rata, tidak kira kedudukan mereka.

Saya percaya Tuanku Sultan Nazrin tidak akan berkompromi dengan mereka yang korup, menyalahgunakan kuasa, tidak cekap, pembazir dan megah, suka menunjuk dan menonjol gaya dan kehidupan mewah apa lagi yang keluar dari akhlak dan memperlihatkan kemerosotan moral dan aksi yang memualkan.
 
Apapun kita mesti jangan lupa daratan seperti kacang lupakan kulit. Mesti ada penentuan sempadan yang perlu digariskan imbangan antara tatasusila Melayu Islam dan nilai-nilai hidup moden secara bijaksana supaya kita tidak berkesudahan mempunyai imej Melayu pun tidak, Malaysian pun tidak dan Barat pun tidak! Kita mesti ada identiti tersendiri iaitu Melayu Islam atau Malaysian Islam. Ketua penyunting Reflections and Recollections adalah Datuk Seri Annuar Zaini.
 
Petang besok akan berlangsung pelancaran buku Dr Mahathir’s Selected Letters to World Leaders Volume 2 di Auditorium Perdana Leadership Foundation, Putrajaya. Buku volume 1 telah dicetak 10 kali oleh penerbit antarabangsanya, Marshall Cavendish yang berpengkalan di Singapura.

Satu kejayaan besar walaupun tanpa review dan publisiti sebab tatkala itu Dr Mahathir sedang bersengketa dengan penggantinya Badawi. Justeru Dr Mahathir, saya dan buku itu tidak dapat promosi dari media kita.

Maka mungkin kerana itu jualan buku itu laris dan sukses. Sungguhpun tidak dirancang oleh Dr Mahathir - secara kebetulan saja - pelancaran volume 2 ini berlaku semasa Dr Mahathir sedang 'berperang', bertelingkah  dengan Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Syukur kerana setakat ini tiada kelihatan tekanan terhadap volume 2. Sama-sama kita tunggu dan lihat sama ada review dan publisiti besar-besaran pada hari Selasa, 19 Mei.  
 
Sebagai editor kedua-dua volume saya dapati volume 2 lebih significant kerana surat-menyurat antara Dr Mahathir dan Lee Kuan Yew yang bersemangat lagi tajam bahasanya.

Anda akan berpeluang membaca warkah daripada Saddam Hussein, General Parvis Musharraf, Benazir Bhutto, deKlerk dan Presiden Bush, Presiden Clinton, Kofi Annan dan warkah Mahathir kepada King Abdullah II, Nelson Mandela dan Pope John Paul II.

Bakal Perdana Menteri Malaysia harus menguasai bahasa Inggeris kalau tidak sukar baginya untuk membela dasar dan mengutarakan aspirasi kita jika beliau (bakal perdana menteri itu) tidak fasih berbahasa Inggeris.

Beliau akan berasa handicap jika tidak pun mempunyai inferiority complex. Lain hal lah kalau kita kuasa besar yang makmur pula. Saya suka mendengar bicara Presiden Jokowi dalam bahasa bercampur - Inggeris dan Indonesia... Saya fahamnya seratus peratus kerana beliau guna bahasa mudah!  
 
Volume 2 Dr Mahathir’s Selected Letters sedang dijual di kedai-kedai buku ternama seperti Kinokunia, Times, MPH dan Borders di Kuala Lumpur dengan harga lebih kurang RM49-RM50 senaskhah.

Saya tidak hairan jika jualan buku ini melebihi 40,000 naskhah yang telah dicapai oleh volume 1.

Beli dan bacalah buku ini dan hayatilah the precise language yang diguna oleh Lee Kuan Yew dan Dr  Mahathir.  Tidak semua pemimpin bisa berbuat demikian- guna bahasa mudah,  nyata, terang dan tepat.
 
Hatta di sekolah dan di universiti pun saya tidak suka membaca buku termasuk buku teks. Saya hanya suka membelek buku  tapi suka membaca akhbar dan majalah. Kegemaran utama saya dulu, kini dan akan datang ialah bercakap! Apa pun saya suka menulis dan membuat komentar, juga membaca book reviews; prakata, ringkasan atau abstract/sinopsis dan indeks.  

Membaca bukan seperti bercakap dengan sahabat kerana buku tiada suara. Seperti kata seorang cendekiawan Barat, "what is reading but silent conversation?” Justeru jangan ikut saya.

Baca terus membaca hingga ke liang lahad! Saya gemar membuat nota tetapi tidak pandai pula menyusun dan memfailkan nota-nota itu. Saya  percaya apa yang tidak ditulis dan dicatat akan luput dari ingatan manusia seperti ditegaskan oleh Speaking “all that is not written is lost.”
 
Maka cubalah sedaya upaya dan secara berdisiplin menulis apa saja terlintas di minda, hasil pengalaman dan peristiwa untuk menjadi bahan bacaan, jika pun tidak untuk umum bagi keluarga dan keturunan kita akan datang.