KUALA Lumpur, Jumaat 16 Januari: Hari Jumaat minggu lepas Sarawak dan negara kehilangan sebutir permata - seorang strategis politik, pemikir dan negarawan yang handal - kembalinya ke rahmatullah Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Yaakub, berumur 87 tahun, dan disemadikan di Petrajaya (Kuching), kota pentadbiran Sarawak yang diasaskannya dan amat disayanginya. Amat sesuai benar Allahyarham  menjadikan Petrajaya resting placenya.

Proses pembentukan Malaysia mengetengahkan namanya, menjadikannya lebih terkenal apalagi selepas hujah advokasinya tentang pembentukan Malaysia mewakili bangsa Melayu - Melanau, Peribumi dari suku Dayak dan Iban yang pro Malaysia memukaukan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meninjau pendapat rakyat Sarawak, sama ada mahu atau tidak mahu menyertai Malaysia. Rahman, panggilan popular semua orang, sebelum menjadi politikus, seorang queen‘s counsel berkelulusan undang-undang University Southampton, UK.  

Persahabatan saya dengan Rahman bermula awal tahun 1963, apabila saya dihantar oleh Tun Razak ke Kuching meninjau keadaan dan perkembangan politik di Sarawak dari kaca mata orang Melayu, Dayak dan Iban; serta mengenali dan berkawan dengan cerdik pandai Melayu, Dayak dan Iban yang pro dan anti Malaysia. Orang pertama yang saya hubungi ialah Rahman dan melaluinya graduan Bumiputera lain.
 
Selepas satu minggu di Sarawak saya melaporkan pendapat saya kepada Tun Razak yang mengarahkan saya kembali ke Sarawak selama tiga bulan membantu Rahman dan orang Melayu, Dayak dan Iban yang pro Malaysia menghadapi pilihan raya Council Negeri tahun 1963, sebelum pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Rahman kalah dalam pilihan raya itu dan dia dibawa ke Kuala Lumpur sebagai timbalan menteri dan selepas itu menteri. Kuota menteri Melayu dalam Kerajaan Negeri Sarawak diberi kepada Taib Mahmud melalui pelantikan.

Pemikiran dan kepintarannya, terpenting kepetahannya berbicara dan berdebat dalam dwi bahasa, telah mendekatinya dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra dan Timbalannya Tun Razak serta penasihat-penasihat kedua tokoh itu. Sebelum dia dilantik Timbalan Menteri dan keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur dari Kuching dia tinggal bersama saya di chalet kerajaan yang diperuntukkan kepada saya di Jalan Bukit Bintang.  

Rahman - keturunan perantau Kelantan dan Melanau - pintar dan berpendidikan tinggi, bermula dari bawah hingga sampai ke kemuncak kebesaran dalam negeri Sarawak - kerani, queen’s counsel, ketua menteri dan gabenor. Kerana dia sedar tanpa perpaduan antara orang Melayu, orang Islam, Dayak dan Iban, siapa pun memimpin Sarawak tidak dapat bertahan lama. Justeru, dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri tahun 1970 bermulalah permuafakatan politik antara Melayu, orang Islam, Dayak dan Iban. Rahman menang dalam pilihan raya itu, langsung dipilih bakal Ketua Menteri Sarawak yang ketiga - sebelumnya jawatan itu dipegang oleh suku Dayak dan Iban. Proses pemilihan Rahman berlangsung dengan penuh drama!  

Tun Razak terlibat secara langsung dengan penubuhan Kerajaan Negeri Sarawak kali ini. Saya mengiringinya ke Sarawak kerana wujud bangkangan kuat Rahman jadi ketua menteri, peliknya daripada orang Melayu tertentu di Kuala Lumpur dan juga di Kuching; lebih kuat opposisi daripada Dayak dan Iban, terkuat sekali daripada kaum Cina di Kuching dan juga di Kuala Lumpur. Kebuntuan ini mengancam perpaduan dan persefahaman antara parti dan kaum dalam Parti Perikatan Sarawak. Tun Razak menghadapi tentangan hebat daripada MCA, Sarawak Chinese Association, pemodal dan tauke Cina Sarawak dan Kuala Lumpur, SUPP serta Parti Pesaka, parti Dayak Iban serta SNAP. Saya telah menasihati Rahman agar menjadi ketua pembangkang, dan kerana kecewa dengan tekanan terhadapnya dia bersetuju langsung memberi kata dua atau ultimatum pada Tun Razak dan pihak yang menentangnya sama ada terima dia sebagai ketua menteri atau berdepan dengannya sebagai ketua pembangkang.  

Tun Razak terkejut dan menasihati Rahman jangan meneruskan dengan ugutannya, langsung mengarah saya memujuk Rahman. Rahman terus berkeras hati. Bagi mengelakkan perpecahan yang lebih besar dan kemungkinan krisis merebak ke Kuala Lumpur, suka-duka, pendek cerita, opposisi kepada Rahman reda dan mereka menerima pelantikannya dengan protes. Saya dan abang Ahmad Urai (sekarang Tan Sri dan bekas Presiden Senat) dengan pengetahuan Rahman dan juga Tun Razak, berjaya “memujuk" seorang Iban daripada Parti

Pesaka melompat dari Parti itu kepada parti yang dipimpin oleh Rahman, Parti Bumiputra Bersatu. Dengan coup de grace oleh Ahmad Urai dan saya, kekuatan opposisi terus reda dan makin lemah. As Speaking noted Rahman became powerful thereon.

Zaman baharu dan ketenteraman politik bermula di Sarawak apalagi setelah Parti SUPP menganggotai Kerajaan Barisan Nasional di Sarawak pada tahun 1974. Rahman berbaik dengan penentangnya tetapi, tidak sepenuhnya dengan Datuk James Wong, orang kuat SNAP.  Perasan pedih akibat permainan politik tidak pulih sehingga kedua-dua membawa rahsia masing-masing ke dalam kubur. Mendiang James Wong adalah bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak di bawah Kalong Ningkan.  

Dari masa itu hinggalah akhir tahun lepas, tanpa henti,  Sarawak ditadbir dan diperintah oleh bapa saudara (Rahman) dan anak saudaranya (Tun Taib Mahmud) selama 45 tahun. Taib sekarang Gabenor Sarawak. Tan Sri Adenan Satem adalah Melayu pertama dari Kuching menjadi Ketua Menteri Sarawak. Rahman meletakkan asas Sarawak moden yang diperluas dan diperhebat lagi oleh Taib. Saya berharap kemajuan Sarawak dipertingkatkan lagi hingga mencapai mercu harapan atau great expectations rakyat Sarawak di bawah Adenan.

Di peringkat nasional pula, Rahman telah memartabatkan bahasa Melayu tatkala dia menjadi Menteri Pelajaran - menukarkan sekolah Inggeris kepada sekolah kebangsaan. Mengganti bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar. Dia juga membantu Tunku mengeratkan perhubungan kita dengan negara Islam.

Apa pun hubungan yang amat erat antara bapa saudara dan anak saudara menjadi amat buruk selama dua dekad. Kasih sayang terputus antara kedua kerana usaha Rahman untuk menjatuhkan anak saudaranya tetapi usaha itu gagal. Namun mereka berdamai dan saya telah menghadiri majlis pendamaian  itu. Amat menyayat hati dan syukur kesudahannya baik. Masakan air putus dicencang.  

Apakah legasi Tun Abdul Rahman Yaakub? Membawa perubahan besar dan ketara kepada Sarawak menjadinya antara negeri yang termaju dalam Malaysia, memperkasakan politik Bumiputera (sebelum itu politik Sarawak didominasi oleh orang Cina), melaksanakan mini Dasar Ekonomi Baru di Sarawak; membantu Tun Razak menubuh dan meluaskan kegiatan Petronas di Sarawak, mendaulatkan bahasa Melayu  tetapi terpenting, pada pendapat saya, dia adalah unifier, Bapa Perpaduan Sarawak membawa semua Peribumi di bawah satu panji politik serta mengurangkan pengaruh tauke dalam politik Sarawak dan menamatkan pemberontakan komunis   melalui perjanjian Sri Aman 1973 yang diinisiatifkan oleh Rahman, langsung menyatupadukan semua kaum - Melayu, Dayak, Iban, Cina, Melanau dan suku-suku lain. Sarawak antara negeri di mana polarisasi kaum hampir tidak wujud, tahap toleransi tinggi.

Dalam persaraan, dia amat banyak beramal ibadat, mengajar agama. Sebuah surau terletak dalam kawasan rumahnya. Rahman seorang serba boleh: pemain dan johan badminton di peringkat universiti, juara dansa (ballroom dancing), linguist, pemidato handal, advokat pintar, pandai pula mengaji; jadi imam. Di samping itu Rahman  seorang murah hati, bertimbang rasa, berhemah tinggi dan tempat ramai orang bergantung. Dia telah meninggalkan tiga balu, dua di Kuala Lumpur, seorang di Kuching; 12 anak perempuan, empat anak laki-laki, 47 cucu dan tujuh cicit serta tiga anak angkat. Pokoknya, Rahman dalam hidupnya telah berjaya, pada pendapat saya, mengimbangkan tuntutan dunia dan akhirat. Doa saya semoga rohnya dirahmati oleh ALLAH SWT. Al-Fatihah...