ADA manusia fikir seolah-olah tidak sempurna hidup, tidak ada kesejahteraan jika tidak ada gelaran, justeru segala ikhtiar - bermaruah atau tidak berakhlak - digunakan untuk mendapat gelaran kehormatan.

Mengikut adat resam, baik Melayu atau Barat, sebutan putera puteri raja dan bangsawan adalah gelaran keturunan. Mereka yang berilmu lazimnya ditambahkan gelaran pada pangkal nama seseorang itu atau mereka dianugerahkan gelaran itu oleh raja pemerintah. Tengku atau Raja Ridwan, Tunku Murni, Prince William dan Princess Beatrice adalah gelaran keturunan. Tun, Tan Sri, Datuk dan Dato’ adalah kurniaan oleh raja pemerintah atau governor.  Profesor Diraja oleh Canselor Universiti dan Yang di-Pertuan Agong serta profesor oleh universiti. Ada juga Tunku, Raja, profesor, ustaz dan doktor dan peguam palsu atau kata Speaking, bogus.

Malaysia, dengan sembilan kesultanan dan empat governorship, dikenali sebagai sebuah demokrasi moden yang paling ramai rakyatnya bergelar atau ada titles - pusaka, dikurniakan, dibeli atau gelaran palsu (tidak sah, syok sendiri sahaja). Apa pun jangan malu dan segan, hatta di United Kingdom pun, bisa mendapat gelaran melalui derma kepada parti dan mereka yang berkuasa, dari dulu hingga sekarang.

Di sekolah, di universiti, dalam politik dan perkhidmatan awam, tentera, polis dan kehidupan biasa pun wujud nama jolokan  sempena sifat, perangai dan keunikan tabiat seseorang itu. Rahim Lambert (Rahim selalu lambat), Sam London (bunyi sebutan macam mat salih walaupun pendidikan hanya di Malaysia). Dato General Order (Perintah Am atau General Order adalah Koran dan Hadisnya), Tan Sri Know All (semua orang bodoh, hanya dia seorang pandai); Ibrahim  Burung, Ibrahim Musang, Mat Nor Terung, Mat Nor Pisang, Zainal Gajah, Nik Din Lemang, Saad Stocking Berdoa, Din Sultan (nama sebenar Din Sutan), datuk kedekut, tok lebai bakhil, profesor  keldai. Doktor botol, cikgu cha cha, ustazah munafaking, loyar buruk, tun ketot atau politikus loya dan lain-lain lagi.

Sebab kebanjiran gelaran palsu, pemegang gelaran sahih berada dalam keadaan yang tidak senang kerana mereka yang benar-benar berjasa dan berbakti rasa malu digolongkan dalam kumpulan yang tidak malu, tiada harga diri, marah seorang yang baru sahaja dapat gelaran Tan Sri tahun lepas.

Maka tidak hairanlah Majlis Profesor Negara (MPN) menerbitkan buku Garis Panduan Penggunaan Gelaran Profesor bertujuan mengangkatkan kredibiliti profesion dan imej ahli akademik. Dalam perkataan lain, usaha mengekang penyalahgunaan gelaran berkenaan untuk memperdaya orang ramai dan kepentingan bisnes. Ketika ini didapati ada 2,349 profesor berdaftar di bawah MPN.

Bercakap tentang jumlah profesor, di United Kingdom ada 18,500 profesor - hanya 85 berkulit hitam dan hanya 17 wanita berkulit hitam. Saya ingin tahu berapa banyak profesor Peribumi, Cina, India, Serani dan berapa pula di antara mereka wanita. Ada baik juga jika jumlah bilangan Dato/Datuk didaftar seperti jumlah profesor mengikut negeri, dan begitu juga Tan Sri mengikut  perkhidmatan. Agaknya buku daftar itu setebal buku direktori  telefon/telefon bimbit!

Apa ada pada nama? “Titles are but nicknames, and every nickname is a title"- kata Thomas Paine, 1781. Madah Shakespeare dalam Romeo dan Juliet - “What’s in a name? That which we call a rose/By any other name would smell as sweet.” Nama apa pun kita beri, bunga mawar baunya tetap wangi juga.

Hillary Clinton wanita pertama Presiden AS?

Meskipun 19 bulan lagi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, kempen awal atau Primary sudah bermula. Setakat ini  Hillary Rodham Clinton (HRC) adalah calon, tegas Speaking, “the most formidable”- yang terhebat: bekas First Lady, Senator dari New York dan Setiausaha Negara atau Menteri Luar Amerika Syarikat. Mengikut beberapa pemerhati terkemuka, sungguh pun HRC sudah lama menikmati kedudukan high profile, beliau terus seorang yang “opaque” yakni tidak lutsinar - cakap dan tulisannya payah difahami atau sengaja demikian. Dalam bahasa mudah, sukar memahami dasar dan matlamat politik sebenar HRC.  

Kelebihan awal HRC dalam Pilihan Raya Presiden Amerika beliau menghadapi calon daripada Parti Republikan yang berpecah-belah antara golongan ultra konservatif dengan kumpulan yang separa liberal, terbuka dan sederhana. HRC kalah jadi calon Parti Demokrat kepada Barack Obama yang tidak termasyhur sepertinya tetapi senang difahami oleh pengundi biasa Amerika terutama kaum minoriti, kulit berwarna dan berpendapatan rendah. Obama mencatat sejarah kulit hitam pertama menduduki Rumah Putih. Dalam tahun  2016, HRC berazam menempa sejarah sebagai wanita pertama mendiami Rumah Putih. Saya berharap HRC berjaya agar glass ceiling dapat dipecahkan.  

Suami HRC, Bill Clinton - dua kali jadi presiden - adalah sumber kekuatan dan juga kelemahannya. Jika kualiti positif dan bakat politik Bill Clinton yang bijak itu diguna dalam kempen Primary dan Pilihan Raya kelak, sukar HRC dapat dikalahkan. Nama
sudah ada, khazanah kempen dianggar 7-11 bilion Ringgit Malaysia gampang dan tidak bermasalah langsung. Apa pun berbagai boleh berlaku antara sekarang dan 19 bulan lagi.

Najib VS Dr Mahathir

Tengah minggu saya dijemput oleh seorang Duta Besar makan tengah hari untuk bertukar pendapat tentang politik semasa Malaysia. Beliau telah memberi tahu saya ada juga rakan sejawatnya berpendapat Perdana Menteri Najib Tun Razak agak sukar mempertahan kedudukannya angkara serangan bertubi-tubi daripada Tun Dr Mahathir Mohamad. Hos saya tidak bersetuju dengan pendapat itu kerana terangnya kepada saya, bukan senang menjatuhkan seorang perdana menteri yang incumbent kecualilah perdana menteri itu seperti Badawi  - menyerah diri sebelum berperang - setelah dijamin kepentingannya akan dipelihara! Duta Besar itu berkata beliau memahami psyche Melayu lebih daripada Duta Besar Barat itu. Hos saya bertanya; “What do you think?” Saya merujuk kepada ucapan saya pada 7 April, “That the Prime Minister can only lose by default” yakni Najib jatuh jika gagal melakukan apa yang beliau sepatutnya lakukan.

Keseimbangan, kewasatiyyahan

Pada satu majlis akad nikah, saya berkenalan dengan Tan Sri Dr Abdullah Md Zin, Pengerusi Institut Wasatiyyah Malaysia yang  juga Penasihat Agama kepada Perdana Menteri. Beberapa hari kemudian saya menerima beberapa terbitan tentang sebaik menghayati kesederhanaan, keseimbangan dan keadilan dalam sebuah negara pelbagai agama. Dulu lagi kita sudah mengamalkan dasar kesederhanaan, tetapi lama kelamaan dasar itu nampaknya semakin berkurangan atau kata Speaking is diminishing... kelihatan nilainya menurun. Saya kira ini bukan sekadar state of the mind sahaja yakni bukan sekadar dalam fikiran sahaja tetapi melihat apa yang berlaku, sedang dan akan berlaku dalam masyarakat kita.

Apa pun usaha kerajaan dan Perdana Menteri ke arah menjadikan wasatiyyah sebagai nilai dan rukun negara, kalau kita serius, mestilah dipertingkatkan lagi usahanya lebih tersusun dan lebih komitmen. Juga perlu makna dan semangat keseimbangan ini diperjelaskan kerana ada puak tertentu makna moderation lain dan matlamat mereka juga lain.

Sepanjang hidup golongan yang berlatar belakang sama dengan saya adalah jihad mencari hasanah yang seimbangkan dunia dan di akhirat.