SATU  paradoks - satu keanehan- sebuah negara tropika yang banyak sungai, danau, laut, bukit, gunung, mata air, telaga, hutan rimba, sawah dan paya mengalami catuan air bukan sekali tetapi berkali kali dari semasa ke masa.

Singapura, tanpa sumber alam untuk bualan pun tak cukup dan menerima bekalan air dengan harga yang murah pula dari Johor tidak “kemarau!”- tidak ada catuan air. Di mana salahnya?

Tegas seorang diplomat kanan Singapura dan disokong oleh seorang taulan juga dari pulau itu: “It’s management, it’s management , it’s management” yakni  pengurusan, pengurusan, pengurusan- mentadbir dan memelihara sumber air dengan efisien.

Maknanya suka duka kita tidak mengurus bekalan air kita dengan sempurna. Inilah paradox dan irony characteristics atau ciri gaya kita. Satu ironi bahawa Malaysia negara yang kaya dan hujan lebat serta rainfallnya tinggi kita tidak cukup bekalan air; kontang.

Kalaulah Langat II bermula enam tahun dahulu seperti dirancangkan besar kemungkinan  penderitaan separuh penduduk di Lembah Klang yang berjumlah lebih kurang empat juta dapat dielakkan.

Kononnya Langat II yang ditandatangani secara mengejut pada Rabu 26 Februari antara Kerajaan Pusat dan Selangor akan memastikan bekalan air cukup hingga tahun 2025. Tak payahlah menuding jari kenapa Langat II tergendala.

Pastikan air cukup dari minit Langat II beroperasi kelak. Mungkin saya tidak ada lagi untuk menikmati bekalan air tanpa gangguan.

Apa pun, apa akan jadi selepas 11 tahun akan datang? Walaupun begitu tahniah kepada Kerajaan Pusat dan Selangor kerana berjaya mencapai kata sepakat untuk membantu keselesaan hidup rakyat di Lembah Klang pada masa dan musim dua pilihan raya umum lagi.

Mengikut angka mutakhir Pejabat Statistik, penduduk Malaysia minggu lepas berjumlah 30 (tiga puluh) juta.

Dalam tahun 2040, populasi Melayu Islam berjumlah 20.9 juta, 5.2 juta Peribumi, Cina 7.1 juta, India 2.3 juta dan lain-lain 240,000; orang asing 2.3 juta. Saya rasa tidak kira pendatang haram.

Kini peratus populasi Melayu Islam dan Peribumi 67.4, Cina 24.6, India 7.3. Lain-lain 0.7. Dua dekad  lagi, lelaki akan melebihi wanita seramai 600,000. Senanglah wanita mencari pasangan!

Perlu tanya pemimpin negara/negeri: Cukupkah dalam perancangan mereka bekalan air dengan peningkatan penduduk ini? Sekali pandang tidak mencukupi! Saya kira akhirnya pi mai pi mai tang tu juga.

Masa kemarau saya tidak mandi- hanya “dry clean”. Satu perkara kami pelajar sekolah asrama penuh terpaksa lakukan apabila kekurangan air berlaku.

Mujurlah tidak berlaku sekerap zaman ini. Sehari dua boleh “dry clean” tetapi tidak selesa selepas satu minggu kerana udara, iklim kita sangat lembap (humid).

Dalam keadaan sekarang (tak cukup air) di mana kita hendak letak muka? Kita sedang menuju hanya enam tahun lagi ke destinasi taraf dunia pertama.  Terus selamba dan muka tebal sahaja pada pelancong, diplomat asing dan pegawai dagang?

Benarkah- dalam dunia sekarang- peribahasa kita, ‘air di tulang bumbungan turunnya ke cucuran atap?’ Maksudnya anak mengikut sifat dan teladan orang tuanya; sesuatu itu menurut asalnya?

Terlampau banyak contoh dalam sejarah lama dan kontemporari pepatah itu tidak tepat lagi. Bapanya baik anaknya tidak; ibunya takwa dia ingkar; bapanya pemimpin teladan, dia pemimpin tercemar.

Apa yang dimadahnya dicemuh dan tidak dipercayai.
 
Bangau oh bangau,
Bangau kecil bangau tinggi,
Aku tidak iri hati
Mereka sekata sehati,
Berapa tinggi engkau terbang,
Akhirnya hinggap di belakang kerbau juga!
 
Ingat berapa tinggi kedudukan akhirnya akan hilang juga, lebih cepat dan segera kalau rakyat terus menderita kekurangan air.
 
Apakah nasib bangsa kita tanya seorang pegawai PTD (pegawai tadbir dan diplomatik). Banjir pun perahu tidak hanyut, inikan pula masa kemarau.

Sedang waktu negara makmur kita tidak mewah apalagi waktu negara susah.

Setelah 57 tahun merdeka dan berkuasa, tambah diplomat pribumi tadi, kenapa Melayu Islam, pribumi masih jauh dari berkuasa penuh, menerima kenikmatan dan kesenangan hidup yang diharap dan dijanjikan? Jangan salahkan ibu mengandung.

Salahlah diri sendiri kerana meletak kepercayaan kepada yang tidak berhak, yang tidak ikhlas. Kita dungu! Musuh Melayu Islam dan peribumi bukan non-Melayu dan Islam tetapi adalah Melayu Islam/pribumi sendiri juga sebab ketololan kabilah majoriti berpolitik apa lagi tatkala digosok oleh badut profesional.

Akhbar rasmi kerajaan Selangor- Selangor Kini- yang diterbitkan setiap Jumaat dan diedar percuma di setiap masjid negeri Selangor dalam isunya yang mutakhir, 28 Februari, berita besar di muka satu adalah “Tiga program jamin bekalan air mencukupi, Selangor ambil alih industri air”.

Sekali gus angkut air tinggal sejarah, air percuma bakal “merebak” tegas lidah pengarangnya. Tambahnya lagi di Perak, Johor, Kedah juga Negeri Sembilan ada kekurangan air tetapi “teropong media arus perdana hanya nampak di Selangor.” Folks, that is what is called selective reporting.
 
Hikmah

 
Selepas fardu Jumaat, ana membaca dua terjemahan/tafsiran al-Quran tentang ayat yang sama. Satu dari tafsir Fi Zilalil Quran di bawah bayangan Al-Quran Asy Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah terjemahan Yusoff Zaky Haji Yacob: “Dan hendaklah kamu memerangi demi sabilullah orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh. Sesungguhnya ALLAH tidak sukakan orang yang menceroboh.”

Satu lagi dari al-Quran Cordoba, The Amazing: “Dan perangilah di jalan ALLAH orang yang memerangi kamu tetapi jangan melampaui batas. Sungguh ALLAH tidak menyukai orang yang melampaui batas.” Ayat 190 Surah al-Baqarah.
 
Dosa Besar
 
Kasihan! Ramai orang Melayu Islam, suka-duka, melakukan dosa ini iaitu gemar berhutang dan tidak gemar membayarnya.

Suka diingatkan dosa besar adalah berhutang tanpa menjelasnya. Sabda Rasulullah SAW, sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi ALLAH SWT adalah mereka yang berhutang dan tidak menjelasnya sebelum meninggal dunia hatta kalau orang itu mati syahid pun. Semua dosa orang mati syahid diampuni kecuali hutangnya.