• (K) TAN SRI ABDULLAH AHMAD
1 /

KOK LANAS, JUMAAT. Tanpa aral, BN memenangi PRU13 dengan majoriti yang comfortable, kedudukan yang selesa. Pada mereka yang lebih optimis, BN menang 2/3. Tiada seorang pun, baik di Malaysia dan di luar negara yang rasional, meramal BN tumbang.

Yang taksub dengan pembangkang, seperti Mitt Romney dari Parti Republican, mereka yakin mereka akan menang. PRU13 dijangka satu disaster bagi Pakatan Rakyat berbanding 2008, satu musim yang terkecuali.

Penyokong pembangkang mengharapkan kejutan 2008 berulang. Lima tahun kemudian, di bawah kepimpinan Najib Tun Razak dan disokong kuat oleh Dr Mahathir Mohamad, Umno/BN telah jauh berubah, sedang dan akan terus beralih.

Pembangkang harus mengambil kira ini dan juga faktor incumbency atau kedudukan johan bertahan. Juga faktor ‘feel good’ majoriti rakyat, ekonomi, kemakmuran yang terus berkembang. Dari mula diadakan pilihan raya umum semenjak 1955, Umno (dulu kepala Perikatan dan BN mulai 1974) tidak pernah kalah dalam pilihan raya umum kerana medan perjuangan politik mereka sebenarnya bertambat di luar bandar, berakar umbi pada Peribumi dan Islam. Umno-Perikatan-BN jarang mendapat sokongan hebat di bandar. Itu lesson number one pelajar, pemerhati, guru dan penganalisis politik, di luar dan dalam Malaysia, harus belajar dan hafal hakikat ini.


Dalam Pilihan Raya Umum Parlimen ketiga pada tahun 1969, oleh kerana jumlah undi Cina masih besar lagi dan kerana ketaksuban keterlaluan mereka kepada semangat perkauman Cina, kerajaan Perikatan kalah undi populariti tetapi menang lebih kerusi daripada pembangkang.

Perikatan meraih hanya 49.3 peratus tetapi mendapat 95 kerusi. Opposisi perolehi 50.7 peratus undi popular tetapi hanya memenangi 49 kerusi sahaja. Pada 2008, BN dapat 50.27 peratus undi popular tetapi memenangi 140 kerusi, Pakatan Rakyat mendapat sokongan 49.27 peratus undi hanya memenangi 82 kerusi sahaja.

Dalam PRU13 jumlah pengundi dianggar seramai 13.1 juta dan dijangka 80 peratus akan keluar membuang undi. Terpenting mereka diramal untuk meneruskan kesinambungan. Lagi tinggi peratus rakyat membuang undi lagi besar peluang Umno/BN akan menang hebat.

Gendang nobat perang Umno telah dipalu oleh Pemuda, Puteri dan Wanita. Najib telah mengumumkan visi, hasrat dan ekspektasinya pada Peribumi dan rakyat Malaysia serta berikrar akan mentadbir negara secara adil, tulus dan ikhlas; bersumpah akan terus menjunjung dan memartabatkan rumpun Melayu, membentengkan aqidah dan memelihara agama Islam.

Pas telah pun bergendang. Dua jenis pukulan gendang dan tarian politik dari dua parti terbesar di Malaysia (baik Melayu atau bukan Melayu) telah memperlihatkan pukulan gendang, bunyi semboyan dan tarian politik masing-masing.

Yang mana lembut, merdu dan lebih menawan hati akan ditentukan oleh pengundi awal tahun depan. Keputusan PRU13, berdasarkan penyelidikan dan analisis saya pada minggu ini - saya bukan seorang yang smug juga tidak terlampau optimis - akan memberi pukulan pada Pakatan Rakyat yang meramalkan mereka akan menawan Putrajaya.

Sebaliknya, seperti kata Speaking, “a rude shock awaits them”. Mimpi seronok, realiti tidak! Apa pun pemimpin Umno/BN jangan terlampau over confident, jangan mulai relaks pula. Mereka mesti kerja lebih kuat, secara bijak, disiplin dan jangan cah keting. Kalau ini diikuti dengan jujur dan taat setia tidak berbelah bagi, saya tidak nampak BN tidak boleh menang di antara 145–160 kerusi Parlimen.

Umno mesti ambil iktibar dari kempen Barack Obama, bukan dari Romney. Selalu ingat, selalu berwaspada  – jangan lupa sokmo-sokmo kekuatan Umno adalah di luar bandar dan di pedalaman. Terus jaga hati, perasaan dan layanilah kehendak mereka serta lindungilah ketakutan dan keselamatan mereka. 

Kata Speaking, “Let’s face it: the fastest growing demographic in Malaysia is Peribumi who will always support the government if the leadership knows how to take care of them and without, of course, alienating, as far as possible, the others.” Secara ringkas lebih kurang – sokongan, taat setia dan budi pengundi luar bandar mestilah dibayar sewajarnya tanpa pula mengetepikan hak yang halal pihak lain. 

Pakatan Rakyat berharap DAP mendapat sokongan bulat pengundi Cina, dan melalui Pas sokongan majoriti Peribumi. Retorik yang kasar dan keji dari DAP terhadap Islam/Melayu dan dasar sempit Pas (terhadap tukang gunting rambut Cina dan hiburan) kata seorang pemuda Melayu, yang berlatar belakang agama, dalam Bahasa Inggeris, “the voters besides in Penang, Perak and Selangor are not going to vote DAP which sounds and behaves like it hates Malays and Islam. Nor will they vote Pas besides those Islamists in Kelantan because it is against fun and sexism.” Majoriti rakyat Malaysia dalam PRU13 akan menyokong parti yang senteris atau sederhana. 

Strateji pembangkang mahu pemerhati seluruh dunia meninjau PRU13 kononnya takut ada “penipuan”. Kita bukan sebuah banana republic atau seperti setengah negara di Afrika atau Timur Tengah.

Kita telah merdeka dan berdaulat lebih 55 tahun, kenapa sekarang? Tidak pada tahun 2004, 2008 dan sebelumnya? Lagi pun, NGO Malaysia akan dipilih sebagai pemerhati, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya kita. Tindakan pembangkang meminta pemerhati dari luar adalah satu tindakan pre-emptive mereka, yakni bertindak lebih awal cari sebab kenapa mereka kalah - kerana tiada pemantauan asing!

Pembangkang sedar Kerajaan Umno/BN tidak akan bersetuju dengan cadangan itu tetapi mereka melakukannya juga. Australia awal-awal lagi telah menolaknya kerana ini urusan politik dalaman Malaysia dan kita telah melalui 12 pilihan raya tanpa pemantauan asing.  Dalam 2008, tanpa pemantauan pun, PR memenangi lima  negeri dan 82 kerusi Parlimen. Kalau ada penipuan, masakan mereka menang?

Habis optimis, pembangkang boleh berharap kedudukannya seperti AS2012 iaitu “status quo election” - iaitu Democratic Party menang Rumah Putih dan majoriti dalam Senate, Republican Party  pula terus menguasai Dewan Perwakilan AS. Umno/BN menang majoriti kerusi dalam Parlimen, semua Kerajaan Negeri kecuali Penang, Kelantan, Kedah, Selangor dan Perak.

Tetapi pada pendapat yang informed itu tidak mungkin berulang dalam PRU13. Kalau kena hisab, strategi yang betul, calon bagus, molek dan tiada pula cah keting tidak mustahil Perak, Kedah, Selangor bisa dirampas dan prestasi BN meningkat di Kelantan dan Penang dan mendapat 145 – 160 kerusi Parlimen.

PRU13 akan jadi satu watershed bukan sahaja rakyat akan memilih semula BN tetapi juga memberi satu tamparan pada Pas, DAP dan PKR  kerana terlalu mempercayai ramalan mereka sendiri walaupun realiti di padang tidak seperti didakwanya.

Saya ke kamar tidur dan berfikir - apa pun dunia belum pecah ranah. Tunggulah 2017 atau 2018, cubalah lagi. Kelemahan pembangkang, pada pendapat ramai, mereka terus dibelenggu oleh minda 2008. Sebenarnya suasana dan kondisi tahun 2008 sudah pun berhijrah kecuali di kalangan Cina terutamanya di Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak.

Mengikut statistik dan analisis terbaru, seperti kata seorang teman dari seberang kepada saya: “Pak Dollah, Opposisi hanyut dibuai khayalan. Tak bisa mereka menang untuk memerintah negara Malaysia. Tak payah jadi seorang genius untuk mengetahuinya.”