Saya kembali semula ke Oxford. Bandar ini agak kurang meriah sekarang kerana cuti. Saya tidak sangka yang saya akan pulang ke Malaysia sepanjang dua minggu lepas. Selepas dua bulan berada di sini, saya sempat balik sekejap. Seseorang yang berjumpa saya semasa pulang baru-baru ini berkata: “Rasanya baru sahaja hantar ke airport”. Ya, dua bulan lepas dia rasakan baru sahaja.

Namun, bagi saya yang duduk di Oxport bersendirian, walaupun sibuk dengan pelbagai urusan merasakan agak lama. Sudah berapa artikel saya telah tulis sepanjang tempoh tersebut. Sudah berapa banyak seminar dan syarahan yang telah saya hadir. Sudah banyak orang yang sempat saya temui.

Masa saya, mungkin agak lebih panjang dari masa sahabat tersebut. Masa orang lain mungkin lebih panjang dari masa saya. Bahkan masa seseorang itu mungkin berbeza antara satu waktu ke waktu yang lain.

Konsep Masa

Saya pernah menulis artikel tentang Mencari Keberkatan Masa. Saya pernah sebutkan bahawa masa adalah ciptaan ALLAH yang paling hebat. Ya, sehingga hari ini ahli fizik dan falsafah masih lagi kebingungan dalam mencari formula atau memahami the concept of time. ALLAH TUHAN yang menciptakan masa.

DIA menciptakan sekalian makhluk dan menempatkan mereka dalam sistem masa. Masa adalah makhluk ALLAH. ALLAH pencipta segalanya. DIA tidak terikat dengan masa, bahkan DIAlah yang menentukan masa. Sebab itu DIA bersumpah dalam al-Quran dengan pelbagai masa; fajar, duha, malam, siang dan seterusnya.

Ini satu persoalan yang dapat difahami tetapi sukar untuk di mengertikan sepenuhnya. Apakah itu masa? Suatu keajaiban yang sedang diburu oleh saintis; time and space.

Jarak Masa

Mendekati persoalan ini membolehkan kita memahami perkara yang berhubung dengan keimanan kita kepada nas-nas ALLAH dan rasul-NYA. Umpamanya, antara tanda-tanda kiamat yang sebut oleh Nabi SAW: “Zaman menjadi dekat (pendek), ilmu berkurangan, dicampakkan kebakhilan (dalam jiwa) dan banyaknya haraj”.

Sahabat bertanya, ‘apa itu haraj’. Nabi: bersabda: ‘bunuh dan bunuh’. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Zaman menjadi dekat diulas dengan pelbagai andaian, antaranya umur menjadi pendek, atau peralatan canggih yang ada memendekkan waktu yang diperlukan untuk sesuatu urusan dan seumpamanya.

Itulah tafsiran-tafsiran yang dibuat tanpa mengandaikan bagaimana 24 jam sehari yang kita berada dalamnya boleh menjadi pendek atau dekat jaraknya. Namun, bagi sesiapa melihat dari teori relativity of time akan memahami maksud hadis ini.

Walaupun jam yang kita miliki menunjukkan setiap insan memiliki 24 jam sehari, namun setiap kita dapat merasai panjang dan pendek jarak waktu yang berlainan hari adalah tidak sama. Ada masa, kita rasa agak lama. Ada masa kita rasa terlalu sekejap.

Berdasarkan hadis ini, waktu kita pendek dan waktu yang dimiliki oleh orang terdahulu lebih panjang dari yang kita miliki. Bayangkan, tanpa teknologi Internet, tanpa telefon bimbit, tanpa semua yang kita miliki sekarang, mereka dapat menghasilkan pelbagai kerja-kerja besar.

Karya-karya besar dan bangunan-bangunan besar. Tanpa mengira tamadun, sama ada sebelum atau selepas kedatangan Islam, manusia berjaya mewarisi khazanah ilmu yang hebat tanpa peralatan canggih seperti kita. Walaupun hari ini, dengan segala kelebihan yang ada, yang boleh memintas jarak; seperti telefon dan Internet yang membolehkan kita menghubungi mereka yang jauh tanpa bergerak ke tempat berkenaan secara fizikal, atau kenderaan canggih yang membolehkan kita sampai ke sesuatu tempat dengan pantas, namun di zaman inilah manusia banyak mengadu tidak cukup waktu.

Tidak cukup untuk TUHAN, tidak untuk dirinya, tidak untuk keluarganya. Ke manakah masa 24 jam sehari itu pergi? Ia sebenarnya telah menjadi pendek.

Tidak Sama

Di samping waktu itu tidak sama masa antara seorang dengan seorang yang lain. Walaupun setiap orang memiliki 24 jam pada hitungan jarum jam, namun jarak waktu atau space of time yang dilalui oleh seseorang mungkin berbeza.

Seseorang yang diberikan ALLAH kenikmatan tertentu selama setahun mungkin merasainya lebih lama dari seseorang yang diberikan nikmat yang sama dalam tempoh sepuluh tahun. Seseorang yang dilihat menderita sepuluh tahun mungkin merasainya lebih pendek dari seseorang yang menderita perkara yang sama selama setahun. Maka jangan hairan jika kesabaran manusia berbeza. Jangan hairan juga syukur manusia itu berbeza.

Sebab, apa yang sama pada zahirnya, belum tentu sama pada batinnya. Tapi hairanlah bagaimana kehebatan ALLAH membahagikan kurniaan-NYA yang kelihatan sama tetapi berbeza disebabkan jarak waktu dan masa.

Masa adalah penentuan ALLAH yang mutlak maka insan tidak perlu hairan tentang banyak persoalan berhubung dengan keadilan ALLAH. Seseorang mungkin bertanya di manakah keadilan bagi insan zalim yang meninggal ratusan tahun dahulu yang diazab di kuburnya sehingga kiamat dengan si zalim yang baru meninggal.

Jika kiamat masih lambat, seakan tidak adil orang yang mati terdahulu terpaksa melalui waktu azab yang lebih panjang. Semua persoalan ini pada asasnya, kita meyakini keadilan ALLAH. Kedua, dengan memahami bahawa waktu itu sesuatu yang relatif maka kita akan faham secara umum hal ini.

Perbezaan Alam

Masa atau waktu sesuatu alam juga tidak sama. Alam dunia dan alam barzakh mempunyai konsep waktu yang berbeza. Kehidupan dunia dan kehidupan akhirat juga mempunyai konsep waktu yang berbeza. ALLAH berfirman: (maksudnya) “dan mereka meminta kepada mu (Muhammad) agar menyegerakan kedatangan azab, padahal ALLAH tidak sekali-kali akan memungkiri janji-NYA; dan (katakanlah): sesungguhnya satu hari (dari hari-hari azab) di sisi TUHAN mu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung”. (Surah al-Hajj, 47). Demikian ketika ALLAH menceritakan tentang penciptaan lagi dan bumi dengan firman-NYA: (maksudnya) “ALLAH mentadbirkan dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada-NYA (urusan) pada satu hari yang kadarnya seribu tahun menurut apa yang kamu hitung” (Surah al-Sajdah, 5).

Banyak ayat-ayat ini telah diterjemahkan dalam sesetengah al-Quran terjemahan Melayu secara semberono disebabkan penterjemah itu gagal memahami konsep masa yang hendak dijelaskan oleh al-Quran. Mereka telah mengubah terjemahan kerana perasaan ganjil mereka terhadap maksud ayat-ayat ini. Terjemahan bebas mereka telah merosakkan maksud asal yang terkandung dalam bahasa Arab yang indah.

Apa yang al-Quran jelaskan ialah masa itu tidak sama antara satu alam dengan alam yang lain. Bumi ini terlalu ‘halus’ bagaikan debu jika dibandingkan alam semesta yang luas. Masa yang dirasai oleh penduduk bumi tentu tidak sama dengan masa yang ada di tempat lain selain bumi. Dengan melihat keagungan ALLAH yang menentukan kadar masa yang berbeza bagi tempat yang sama dan yang berlainan, alam yang sama dan yang berlainan, maka dapat kita fahami betapa halus dan teliti kuasa dan keadilan-NYA.

Orang di sebelah kita mungkin hidup dalam satu lingkungan masa yang berbeza dengan kita. Seorang yang sedang sakit bertahun di atas katilnya mungkin merasainya hanya beberapa hari, namun yang menjaganya telah melaluinya bertahun lamanya. ALLAH mengatur segalanya dengan kehendak dan hikmah yang dalam banyak keadaan kita insan yang kerdil ini gagal memahaminya. Justeru ALLAH menceritakan tentang Ashabul Kahf yang tidur ratusan tahun tetapi dirasai hanya sehari atau separuh hari. Firman ALLAH : (maksudnya) “Dan Demikianlah pula KAMI (ALLAH) bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanya sesama sendiri. Salah seorang antara mereka bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” Mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”. (Surah al-Kahf, 19). Tiga ratus tahun hanya dirasai bagaikan sehari atau separuh hari. Ajaibnya masa!

Dalam ayat lain ALLAH menceritakan bagaimana seorang lelaki yang dimatikan ALLAH selama 100 tahun tapi merasainya bagaikan sehari. Firman ALLAH: (maksudnya) “Atau (tidakkah engkau hairan) tentang seorang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, dia berkata: “Bagaimana ALLAH akan menghidupkan (semula) negeri ini sesudah matinya (binasanya)? “ Lalu ALLAH matikannya selama seratus tahun, kemudian ALLAH hidupkannya semula lantas bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?”. Dia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”.

ALLAH berfirman:” (tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minuman mu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldai mu (yang telah hancur), dan KAMI (ALLAH) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan KAMI) bagi manusia”. (Surah al-Baqarah 259). Demikian apabila manusia mati, konsep waktunya juga berbeza.
Sementara di akhirat manusia menjawab tentang masanya di bumi apabila ditanya: mereka menjawab: (maksudnya) “Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari” (Surah al-Mukminun 113).

Ya! masa di sana berbeza dengan masa di sini. Masa di syurga dan neraka berbeza dengan masa di dunia. Masa di barzakh berbeza dengan masa di dunia fana. Masa antara kita dengan generasi lepas berbeza. Bahkan masa antara kita juga tidak sama. MAHA SUCI ALLAH dengan kehebatan ciptaan-NYA!