PUJIAN adalah reaksi seseorang yang memandang tinggi dengan pendirian atau tindakan yang telah kita lakukan. Lagi tinggi penghormatan mahupun persetujuan seseorang itu terhadap perlakuan baik kita, lagi tinggi melangitlah pujiannya. Kita lazimnya akan kembang hidung apabila dipuji. 

Proses mendidik anak menggunakan pujian sebagai cara menggalak seseorang anak itu mengekal atau memperbanyakkan sesuatu sikap yang baik. 

Apabila dipuji, seseorang anak itu belajar bahawa apa yang dilakukannya itu adalah baik. Si anak akan mengulangi perlakuan yang menerima pujian bagi mengesahkan kepada dirinya bahawa ia adalah suatu perbuatan yang disukai.

Si anak yang mahu keseronokan dipuji itu akan mengulangi perbuatan yang menerima pujian itu. Misalnya, seorang anak yang pandai bertepuk tangan, akan menerima pujian dari ibunya. 

Pujian ini menggembirakannya. Kerana suka, si anak akan bertepuk tangan lagi untuk dipuji dan dipuji lagi. Bagaimana pun, pujian itu ibarat gula. 

Demikian rumusan Dr. Richard Bailey dari Universiti Oxford. Katanya, jika pujian diberi secara berpatutan, ia adalah sesuatu yang membahagiakan. Sebaliknya, jika dilakukan secara berlebih-lebihan, ia akan merosakkan. Benar, katanya. 

Pujian yang melampau juga boleh menjadi suatu ketagihan. Orang yang menerima pujian yang berlebih-lebihan akhirnya melakukan sesuatu yang baik itu bukannya kerana dia bersikap sebegitu. 

Sebaliknya dia berbuat baik kerana mahukan pujian. Apakah seseorang itu jujur seandainya dia melakukan sesuatu semata-mata kerana mahukan pujian? Sudah tentu kita katakan tidak!

Jika begitu, kita kenalah berhati-hati. Kerana, akhir-akhir ini tanpa kita sedari, kita banyak kali juga melakukan sesuatu kebaikan bukannya untuk memperoleh pahala. Sebaliknya melakukan kebaikan kerana mahu dipuji. Bagaimana boleh jadi begitu? Facebook!

Kini kita mungkin perasan betapa Facebook membuat kita suka melakukan sesuatu yang baik itu bukan kerana mahu menyenang atau membahagiakan orang lain. 

Sebaliknya kerana mahu dipuji! Andainya anda belum perasan lagi, biarlah saya katakan sikap kita yang suka dipuji ini disebabkan oleh butang ‘like.’

Apabila Mark Zukerberg, tauke Facebook memperkenalkan butang ‘like,’ ia bertujuan supaya seseorang yang membaca status kita boleh memberi reaksi. Butang itu sebenarnya membolehkan status yang dipaparkan itu masuk ke dalam newsfeed kita apabila menekan butangnya. 

Ia diprogram agar mereka yang kita ‘like’ itu akan mudah hadir di depan mata apabila kita membuka laman sosial itu di lain waktu.

Bagaimana pun, ramai yang silap apabila mentafsir butang ‘like’ itu hanya menandakan seseorang itu menyukai apa yang kita catatkan. Walhal untuk Facebook, ia bertujuan untuk mengumpul data interaksi sesama individu, yang punyai minat yang sama, yang sekepala, yang sestatus agar mudah Facebook membuat psikografik pengiklanannya. 

Sebaliknya, kita hanya melihat butang ‘like’ itu semata-mata sebagai tahap pengukur kebaikan atau kebagusan kita. Apabila kita terpesona dengan berapa banyaknya ‘like’ sebagai petanda kepopularan, maka kita mula menaikkan sesuatu status semata-mata kerana mahukan pujian.

Kita membanding-bandingkan ‘like’ kita dengan ‘like’ orang. Kita muram bila hanya memperoleh dua ‘like’ untuk sebuah status yang kita paparkan. Dan kita berasa iri hati apabila ‘like’ orang lain itu berpuluh, malah beratus-ratus jumlahnya. 

Kerana itu, sudah timbul trend di mana ada di kalangan kita yang akan mengugut kawan-kawan supaya ‘like’ apa yang dipaparkan. Malah, ada yang beri amaran sanggup putus kawan jika mereka senyap sunyi tidak memberi reaksi terhadap apa yang dipaparkan.

Helo… di dunia nyata, kita tidak akan sekali-kali membuang kawan semata-mata kerana mereka tidak menjawab salam kita, tak hadir kenduri atau tak ziarah tatkala kita terbaring di hospital. Mengapa pula di dunia siber, kita sanggup buang kawan? 

Apakah kita punyai dua darjat perhubungan? Lain kawan di alam siber, lain kawan di alam nyata.

Oh, mungkin kita bertindak begitu kepada kawan-kawan di Facebook kerana kita tak kenal pun mereka walaupun setelah menerima mereka sebagai kawan. 

Maka, apabila kita mudah menerima mereka, maka dengan mudah juga kita membuang mereka. Rupa-rupanya silap kita juga kerana tidak berhati-hati memilih kawan selama ini. Nampaknya, kita juga tidak serius hendak berkawan dengan mereka. 

Jika begitu, jangan terkejut jika kita dapati ada di antara kawan yang sudah membuang kita sebagai kawannya!