SEDERAP langkah menuju bulan pertama tahun 2018, semahunya diisi ruang harapan dan cita-cita rakyat dalam menggenggam kehidupan yang lebih baik pada tahun ini.

Setiap hujung tahun, pastinya setiap keluarga yang memiliki anak yang masih bersekolah merasa resah tatkala begitu banyak persediaan perlu disiapkan. Terutamanya untuk keluarga berpendapatan rendah atau B40 yang terpaksa menelan kepahitan sara hidup dari hari ke hari.

Biarpun terpaksa mengikat perut dan terbeban dengan dua kerja, ayah dan ibu tetap melunaskan tanggungjawab dalam memberi pendidikan untuk anak-anak.

Untuk sepasang baju sekolah, senarai buku dan alat tulis dan segala keperluan - semuanya tidak boleh dinafikan sedikit sebanyak menjerat ekonomi kelompok sasaran B40.

Mengenangkan semua inilah, yang mengakibatkan saya tidak terbendung air mata tatkala bertemu sendiri dengan keluarga mangsa korban buangan sampah di Blok 102.

Remaja berumur 15 tahun, mendiang Sathiswaran, menjadi mangsa dalam satu insiden buangan kerusi buruk di Blok 102, PPR Sri Pantai tempoh hari.

Bayangkan, ayahnya bekerja sebagai pegawai keselamatan, ibunya merupakan tukang masak, dan abangnya bekerja di pasar raya sejurus setelah tamat peperiksaan SPM.

Alangkah dahsyatnya trauma yang melanda keluarga ini yang saban hari bertarung di rimba kota demi sesuap nasi dan pendidikan yang baik untuk mendiang Sathiswaran, hanya untuk pulang ke rumah dan maut akibat dihempap kerusi dek budaya gemar membuang sampah dan isu sosial di PPR.

Mendiang merupakan simbol isu B40 yang diharapkan akan membuka mata masyarakat dan kerajaan khususnya dalam mengutamakan penyediaan jaringan sosial keselamatan yang mampu memperbaiki taraf hidup mereka.

Ternyata, tragedi yang menimpa mendiang adik Satish merupakan kemelut miskin bandar yang perlu diberi perhatian khusus digandingkan dengan pelaksanaan dasar yang mesra miskin bandar. Isu miskin bandar tidak hanya tertumpu kepada permasalahan ekonomi, tetapi berkisar dalam kitaran pendidikan, kesihatan, keselamatan dan kebajikan rakyat secara keseluruhan.

Ayuh kita buat perbandingan antara purata pendapatan bulanan isi rumah bagi penduduk Kuala Lumpur telah meningkat daripada RM3,371 pada tahun 1995 kepada RM4,105 pada tahun 1999.

Berbanding dengan purata pendapatan nasional sebanyak RM2,472 pada tahun 1999, purata pendapatan isi rumah bulanan di Kuala Lumpur adalah 66.0 peratus lebih tinggi.

Tetapi, tahap kemiskinan di Kuala Lumpur telah meningkat daripada 0.5 peratus pada tahun 1995 kepada 2.3 peratus menjelang 1999.

Makanya, dalam penyediaan prasarana perumahan, penye-lenggaraan fasiliti harus dijalankan secara berterusan dan dalam mengubah minda masyarakat - kita mulakan dengan diri kita terlebih dahulu.

Desakan supaya DBKL mema-sang jaringan netting dalam mengadang balingan objek daripada mencederakan orang ramai sebaik-nya disahut serta merta.

Pada masa yang sama, individu yang tidak bertanggungjawab dan menyebabkan sebarang kemalangan dan di dalam kes hiba mendiang adik Satish, dihadapkan ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada lainnya.

Ingatlah, berapa lama perjua-ngan para anbia dalam mengajak orang ramai berubah ke arah kebaikan, dan meninggalkan sa-rang maksiat. Makanya, kita harus optimis, dan memulakan dengan langkah pertama bagi menyantuni kehidupan rakyat.

Kerana itu, dalam memberikan belanjawan alternatif kepada rakyat, Pakatan Harapan tidak hanya mengambil pendekatan populis, tetapi lebih ke arah mencantas permasalahan pokok yang menjerat hidup rakyat. Cadangan untuk kadar sifarkan GST, pendidikan percuma, pelaksanaan gaji minimum serta skim rumah mampu milik bertumpu kepada penyelesaian masalah fundamental yang mereka hadapi.

 Jika kerajaan semasa memak-lumkan kutipan kini adalah untuk manfaat rakyat dalam bentuk BRIM, apakah ini membuktikan kegagalan urus tadbir yang nyata tatkala rakyat hanya boleh menghirup manfaat setelah dicukai?

Saya komited dalam menjaring aspirasi dan sinergi usaha dalam pendidikan terutamanya untuk anak-anak yang buta huruf dan tercicir dalam pendidikan formal.

Saban tahun saya bangkitkan tentang usaha i-Sina menerusi Projek Jom Baca dan mereka wajar diberikan akses kepada institusi literasi yang mempunyai kemudahan premis yang lebih baik.

Kita tak perlu lebih banyak pusat beli belah, yang sedia ada sudah cukup dan tidak membantu menjawab isu miskin bandar B40.

Marilah bergandingan da-lam usaha menjadikan tragedi pemergian mendiang adik Satish kepada iktibar yang menguatkan tekad bagi memperkukuh usaha memperjuang kemelut ekonomi dan beban miskin bandar.

***YB Nurul Izzah Anwar Ahli Parlimen Lembah Pantai