Menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan Islam. Perbuatan ini dapat mempererat lagi silaturahim sesama Islam. Sebenarnya amalan ziarah dalam kalangan orang-orang Islam dituntut dilakukan pada bila-bila masa, bukan ketika sakit sahaja.

 Amalan ziarah ini telah dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap kaum keluarga, yang tua, bujang dan lain-lain. Amalan seumpama ini mendapat ganjaran yang besar, sebagaimana disarankan Baginda Rasulullah SAW.

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana ALLAH TAALA, maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkah mu dan ambillah tempat tinggalmu di dalam syurga” (Riwayat: at-Tirmizi)

Baru-baru ini seorang sahabat karib saya dimasukkan ke hospital kerana kencing manis yang akhirnya membawa beliau terbaring di wad ICU kerana komplikasi kencing manis mengakibatkan paru-parunya kembang berair.
Sesungguhnya keadaan itu memberikan kesan amat berat terhadap saya dan sahabat-sahabat lain memandangkan enam hari selepas beliau dimasukkan ke wad ICU, berlangsung pula majlis perkahwinan anak sulung lelaki beliau. Dalam suka, perasaan kami berbaur duka.

Tatkala memandang wajahnya hati saya sebak. Melihat wajah bakal pengantin pula, hati saya keliru. Kami serba salah hendak bergembira pada hari penting beliau diakad nikah, segalanya kerana mengenangkan ibu tersayang tidak dapat hadir pada hari istimewanya itu. Bagaimanapun alhamdulillah majlis itu selamat diadakan pada hari minggu yang lalu.

Memang betullah kata pepatah, sakit datang bagai ribu, hendak pergi pula bagai semua... saya azab melihat penderitaan mereka yang terbaring di katil hospital. Ada berteman, ada bersendirian. Ada yang nampak tabah mengharungi dugaan itu, namun ada juga gelisah, serba tidak kena.

Bunyi mesin penyambung hayat, bunyi bib bib bib... pelbagai mesin yang ada dengan wayar berselirat di keliling katil mengingatkan kita hanya kepada yang satu. ALLAH Yang Maha Esa, ALLAH Yang Maha Berkuasa; dia menjadikan kita, dia juga berkuasa menjemput kita kembali.

Memanglah beliau tidak dapat berkata-kata kerana alat penyambung oksigen ditekupkan ke hidung dan mulutnya di samping keadaan dirinya lemah, tidak berdaya. Kita juga tidak sanggup hendak berkata-kata panjang kerana bimbang itu akan menambah deritanya hendak menarik oksigen dan melepaskan semula. Setidaknya pun, kami hanya berbalas kata-kata melalui sekeping kertas yang dihulurkan.

 Kita selalu diingatkan, melakukan ziarah itu ikhlas kerana ALLAH TAALA dan dengan niat yang baik. Kita juga disaran menyampaikan ucapan yang baik, dapat menghiburkan hati orang sakit dan menguatkan jiwanya. Contohnya beri ucapan: “Tidak apa-apa Insya-ALLAH lekas sembuh.”

 Sunat dibacakan doa untuknya yang bermaksud: “Ya ALLAH... Hilangkanlah penyakitnya, wahai Tuhan bagi manusia sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan tidak ada sembuhan melainkan sembuhan dariMu jua, sesuatu sembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit”. (Riwayat at-Tirmizi)

 Selain itu pendekkan waktu ziarah. Sebolehnya, kadangkala pesakit ingin tidur, atau ingin makan ubat dan tukar pakaian, kecuali pesakit menghendaki sebaliknya. (Wanita boleh menziarahi lelaki. Dalilnya: Aisyah ra pernah menziarahi Bilal bin Rabah ra yang sakit demam panas. Boleh juga menziarahi orang bukan Islam. Dalilnya: alBukhari meriwayatkan dalam bab menjenguk orang musyrik).

 Hukum menziarahi orang sakit adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat dituntut. Menziarahi orang sakit tidak hanya terbatas kepada sahabat atau jiran tetangga yang sakit sahaja, bahkan disunatkan juga menziarahi saudara Islam yang tidak dikenali hatta musuh atau orang yang pernah menyakiti kita.

Kini keriuhan majlis perkahwinan telah berlalu, kami kembali mengulangi wad ICU itu, melawat sahabat yang amat memerlukan sokongan. Sekarang ini hanya doa dan kata semangat sahaja dapat kami bantu.

Setiap kali melawatnya, kami seberapa boleh tidak mahu langsung menunjukkan muka sedih... kami juga mahu setiap pesakit yang berada di wad ICU itu segera sembuh, akan kembali ke sisi keluarga tercinta. Mudah-mudahan.