WAKAF merupakan lambang ketundukan seorang hamba kepada Pencipta yang menjadi tonggak pembangunan dan kemakmuran tamadun Islam sejak berkurun lamanya. Wakaf mampu mendepani cabaran masa, tempat dan keadaan tanpa mengira bangsa dan bahasa. Walaupun diancam oleh ideologi, sistem dan teknologi dalam perkembangan sosioekonomi semasa, wakaf masih ampuh sebagai satu instrumen kewangan bagi menghadapi isu ketidakadilan, kemiskinan dan agihan kekayaan.

Namun kelebihan ini tidak mungkin berlaku tanpa usaha dan penyelarasan yang strategik. Kesedaran masyarakat, mujahadah pengamal dan kebijaksanaan kerajaan dalam usaha memperkasakan semula wakaf menjadi penentu kelangsungan tamadun Islam dan nasib generasi akan datang.

Wakaf mampu meniup roh agama dalam kerangka sosioeko-nomi masyarakat yang dihambat oleh kerakusan orientasi kapitalis dan ideologi sekular. Rasionalisasi taqarrub kepada Pencipta ter-jelma apabila seseorang sang-gup menyerahkan aset milik perseorangan dalam bentuk harta atau tunai untuk manfaat masyarakat umum. Tercatat dalam lipatan sirah, wakaf pertama iaitu tanah Rasulullah SAW bangunkan Masjid Quba’ diikuti dengan tanah milik dua orang anak yatim Sahl dan Suhyl yang dibeli dan diwakafkan oleh Rasulullah SAW. Di atasnya berdiri sebuah masjid agung yang menjadi tumpuan umat Islam seluruh pelosok dunia iaitu Masjid An-Nabawi di Madinah.

Semasa pemerintahan kerajaan Uthmaniyah di Turki, wakaf menca-pai zaman kegemilangannya apabila ia tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan penduduknya. Seorang bayi lahir di hospital wakaf, belajar di pusat pengajian waqaf seterusnya hidup dalam persekitaran institusi berasaskan wakaf sehingga akhirnya meninggal juga dikebumikan di tanah yang diwakafkan. Al-Azhar, universiti Islam tertua ditubuhkan oleh kerajaan Fatimiyyah pada tahun 969 Masihi masih teguh dibiayai oleh wakaf.

Jika ditinjau di peringkat antara-bangsa, wakaf diperkukuhkan dari semasa ke semasa dalam aspek perundangan, institusi dan tadbir urus. Terdapat negara yang mengukuhkannya dari sudut undang-undang seperti India yang mempunyai akta wakaf tersendiri. Indonesia melancarkan bank wakaf pada Jun 2017 manakala di beberapa negara di Timur Tengah telah lama mengkhususkan sebuah kementerian bagi mengawal selia wakaf dalam pelbagai jabatan seperti pendidikan, kesihatan, pembangunan infrastruktur dan sebagainya.

Keperluan dan kepentingan wakaf akan terus menjadi tonggak kemakmuran ummah. Di Malaysia umpamanya sudah menjadi satu keperluan mendesak ekoran dari beberapa faktor seperti dasar terbuka negara terhadap One Belt One Road (OBOR), isu pemilikan ekuiti, jurang agihan pendapatan, dominasi harga dan pasaran serta tahap kemiskinan. Projek pembangunan seperti Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) amat berpotensi dibiayai oleh dana wakaf berbanding menggunakan perbelanjaan kerajaan yang sudah kritikal atau sistem kontrak konsesi yang tidak menguntungkan rakyat.

Malaysia telah berjaya membuk-tikan kecekapan pengurusan haji dengan penubuhan Tabung Haji. Manakala Bank Negara Malaysia pula menjadi tumpuan dunia dalam kawal selia perbankan dan kewangan Islam. Malaysia mempunyai banyak kelebihan dalam menjuarai wakaf dengan memberi fokus kepada pembangunan kerangka, polisi, perundangan, institusi dan sistem tadbir urus wakaf yang berkesan, selaras dan cekap berbanding semua pihak terbelenggu dengan persoalan bidang kuasa.

Ketika pemilikan perseorangan kaum Muslimin lupus akibat kecundang di medan komersil, ketuanan wakaf milik bersama seluruh umat Islam tetap teguh mengurus aset-aset penting negara.

Wakaf bakal merealisasikan kestabilan sosioekonomi melalui pengembangan harta dan kesak-samaan agihan. Semua ini mampu ditentukan bergantung kepada kejayaan negara dalam memperkasakan semula sistem pengurusan wakaf.